Mahasiswa perlu bijak! Cuti semester bukan berehat sahaja! Tapi manfaatkan dengan aktiviti berfaedah!
Published by
Cuti semester bukan sekadar masa untuk berehat, tetapi juga peluang bagi mahasiswa untuk mengembangkan potensi diri melalui aktiviti yang produktif dan memberi nilai tambah kepada kehidupan.
Sehubungan dengan itu mahasiswa perlu manfaatkan tempoh cuti dengan aktiviti yang dapat meningkatkan kemahiran dan pengalaman mereka.
Institusi pengajian tinggi (IPT) melalui universiti masing-masing pastinya mengalakkan kelab, persatuan dan organisasi mereka merancang dan melaksanakan program sepanjang cuti mereka itu.
Sebagai Alumni Universiti Utara Malaysia (UUM), Alumni Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI), Pemenang Kluster Kepimpinan Pelajar kategori Angerah Kepimpinan Kolej Kediaman Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Felow Akademik di University of Texas, Presiden Inapan Siswa MAS/TNB UUM dan lain-lain lagi, Muhammad Saniy membuktikan penyertaan dan usahanya itu membuahkan hasil bukan sahaja dengan mencipta nama pada peringkat kebangsaan malah sehingga ke peringkat antarabangsa.
Bagi saya mahasiswa juga boleh menyertai latihan industri, kursus kemahiran, atau aktiviti sukarela bagi menambah pengalaman dan kebolehan mereka nanti.
Pastinya aktiviti seperti ini penting untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan pada masa hadapan, katanya.
Muhammad Saniy (dua dari kiri) bersama peserta dari negara lain yang menyertai program Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI) ketika cuti semester.
Saniy berkata, antara aktiviti yang boleh dijalankan ialah dengan menyertai latihan industri atau kerja sambilan untuk mendapatkan pengalaman kerja dalam bidang yang relevan dengan pengajian selain menambah kemahiran yang dapat membantu mereka memahami dunia pekerjaan sebenar nanti.
Melalui kursus jangka pendek atau menyertai bengkel yang dikendalikan oleh universiti atau agensi luar pula mahasiswa boleh menyertai kelas bahasa asing, kemahiran IT dan bengkel kepimpinan yang dapat memperluas pengetahuan dan meningkatkan daya saing, ujarnya.
Bagi mendekatkan dengan komuniti pula mereka boleh menyertai program sukarelawan di rumah kebajikan atau menyertai kempen kesedaran yang dapat memberi peluang kepada mahasiswa untuk berbakti kepada masyarakat dan membentuk nilai kemanusiaan yang tinggi, tambah beliau.
Selain aktiviti akademik dan kemahiran mahasiswa juga boleh melibatkan diri dengan aktiviti rekreasi dan keseimbangan hidup bagi menjaga kesejahteraan fizikal dan mental dengan menyertai aktiviti seperti bersukan, mendaki atau melancong ke destinasi yang memberi inspirasi.
Dalam pada itu, kata Saniy, mereka juga boleh menyertai program yang dianjurkan oleh pihak universiti sepanjang cuti semester termasuk kem kepimpinan, pertukaran pelajar, dan seminar motivasi.
Program-program ini bukan sahaja memberikan peluang pembelajaran yang bermakna tetapi juga membantu mahasiswa membina rangkaian dan meningkatkan keyakinan diri, katanya lagi.
Sebagai kseimpulan, Saniy berkata, cuti semester adalah masa terbaik untuk membina diri bukan hanya untuk berehat semata-mata.
Perancangan yang bijak akan membantu mahasiswa mencapai keseimbangan antara rehat, pembelajaran, dan pengalaman baru.
Oleh itu, tambah beliau, mahasiswa boleh merancang cuti mereka dengan baik dan mengambil peluang daripada pelbagai program yang disediakan dengan memanfaatkan cuti semester secara produktif mereka bukan sahaja dengan meningkatkan kualiti diri tetapi juga bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan kelak. - KitaReporters