Putra Cakna Alumni Care! Prihatin kebajikan pelajar! Alumni UPM sumbang komputer riba, pelan data!
Published byPelajar yang hadir pada sesi penyerahan tawaran dan taklimat penerima bantuan komputer riba.
Kasih sayang dan keprihatinan perlu dipupuk sejak dari alam persekolahan rendah hinggalah ke institut pengajian tinggi (IPT). Pasti anda tahu maksud kepimpinan melalui teladan. Siapa lagi yang boleh menunjukkan contoh kalau bukan seseorang yang tinggi kedudukannya.
Pemimpin perlu tunjuk contoh kepada rakyat. Ketua perlu tunjuk contoh kepada orang bawahan. Majikan perlu tunjuk contoh kepada para pekerja.
Begitu juga kalau di IPT, bekas pelajar (alumni) perlu tunjuk contoh kepada adik-adik atau anak-anak yang sedang bejalar di universiti.
Antara pelajar yang menerima bantuan komputer riba.
Justeru, atas tanggungjawab dan sifat prihatin akan kebajikan pelajar, alumni Universiti Putra Malaysia (UPM) telah berinisiatif untuk menyumbangkan komputer riba kepada pelajar-pelajar yang berkeperluan melalui projek Putra Cakna Alumni Care: Heart to Heart (H2H).
Sesi penyerahan lebihan kutipan sumbangan yang diadakan pada 7 Februari 2024 lalu merupakan simbolik penutupan kempen ini.
Bermula dari Ogos 2021, agihan sumbangan peranti komputer riba telah dilaksanakan secara berperingkat-peringkat mengikut kutipan sumbangan alumni dari semasa ke semasa melalui kempen ini serta pelaksanaan program alumni UPM seperti program Menggamit Seribu Kenangan Alumni Reunion (MEKAR), Alumni Serdang Angels dan Yayasan Kebajikan Suria.
Fokus utama kempen ini adalah untuk membantu pelajar
UPM dalam kalangan B40 yang memerlukan komputer riba dan pelan data sewaktu
sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) dengan menyasarkan barisan chapter
alumni yang ingin menaja komputer riba dan pelan data serta melaksanakan
kutipan sumbangan melalui paygate UPM, Program Putra Cakna Alumni Care: Heart
to Heart (H2H).
Antara objektif kempen ini dijalankan adalah untuk melestarikan bidang pendidikan sebagai hab untuk individu menyumbang semula kepada alma mater.
Selain itu, kempen H2H ini juga berharap membantu dan memudahkan para pelajar untuk fokus dalam pembelajaran di samping meningkatkan kesedaran awam terutama warga UPM untuk berilmu dan berbakti kepada UPM, seiring dengan moto UPM, “Berilmu, Berbakti”.
Sesi penyerahan sumbangan komputer riba yang berjumlah RM25,578 ini telah melibatkan 10 orang penerima yang terdiri daripada golongan yatim, fakir, fisabillilah, B40 dan pelajar yang mempunyai kes kecurian komputer riba.
Permohonan akhir telah dibuka kepada para pelajar dari 1 hingga 15 November 2023 yang lalu dan mendapat respons daripada 567 orang pemohon sebelum melalui proses saringan untuk memilih pelajar yang betul-betul layak menerima bantuan ini.
Timbalan Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM,
Fahmi Azar Mistar memberikan taklimat dan amanat kepada para pelajar.
Majlis ringkas ini menyaksikan taklimat untuk penerima bantuan serta sesi penyerahan dan menandatangani persetujuan penerimaan surat tawaran dan terma dan syarat bantuan kepada para penerima.
Turut hadir menyampaikan amanat dan harapan kepada penerima bantuan adalah Fahmi Azar Mistar, Timbalan Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM (ARCUPM).
Sebagai penutup projek, sesi ini menjadikan jumlah penerima sumbangan komputer riba kempen H2H secara keseluruhannya adalah seramai 41 orang.
Keprihatinan yang ditunjukkan serta sumbangan yang diberikan oleh alumni UPM merupakan sesuatu yang perlu dicontohi para pelajar, khususnya pelajar UPM agar sentiasa menghargai dan mengingati jasa universiti walaupun setelah bergelar alumni sesuai dengan slogan para alumni “Daripada Alumni Kepada UPM”. - KitaReporters
Ketua Seksyan Jalinan dan Geran Alumni, Norfarhan Norzaini memberikan taklimat kepada pelajar yang hadir.