BERIKUTAN tercetusnya isu penggabungan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media atau Masscom dengan dua Fakulti lain di UiTM dengan nama Kolej Komputer, Informatik dan Media, terdapat pelbagai reaksi daripada alumni Masscom dan kalangan masyarakat amnya. 

Ada yang bersetuju dan ada yang membantah


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan aktiviti kampus UiTM


Terdahulu perkara itu telah diumumkan oleh Naib Canselor (VC) UiTM Prof Datuk Dr Roziah Mohd Janor dalam majlis makan malam sambutan 50 tahun Masscom di Hotel Aloft KL Sentral, Kuala Lumpur pada 24 September 2022.  

Isu ini mula mendapat pelbagai reaksi dari ramai orang khususnya Alumni Masscom yang menghadiri majlis makan malam berkenaan.  

Bagaimanapun wakil dari Fakulti Masscom memberitahu banyak silap faham dan kekeliruan telah berlaku dalam penyebaran maklumat mengenai perkara berkenaan. 

Oleh itu  pihak Fakulti Masscom telah memberi jawapan dan penjelasan kepada kekeliruan dan rasa kecewa golongan alumni Masscom berhubung isu berkenaan. 



Berikut penjelasan dari Masscom untuk perkara itu : 

1. Penstrukturan dan penubuhan kolej telah melibatkan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Fakulti Sains Komputer dan Matematik serta Fakulti Pengurusan Maklumat. 

2. Kesemua fakulti yang berpayung di bawah Kolej Pengkomputeran, Informatik dan Media akan disebut sebagai Pusat Pengajian. Sebagai contoh fakulti kita akan disebut sebagai Pusat Pengajian Komunikasi dan Media. 

3. Perubahan ini melibatkan pengoperasian universiti dan tidak akan mengganggu bidang sedia ada. Malahan sebagai nilai tambah penstrukturan ini akan dapat menghasilkan bidang tujahan baru tanpa mengurangkan sedikit pun apa yang telah dibangunkan oleh fakulti selama 50 tahun ini. 

4. Perubahan yang dilakukan ini juga memgambil kira perubahan dalam kategori bidang di dalam National Education Code (NOC) 2020 yang telah menggabungkan  komponen informatik dalam bidang-bidang dalam komunikasi.

5. Taskforce khas telah ditubuhkan bersama Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa untuk mengenal pasti maklum balas daripada kumpulan profesor, pengurusan serta pengurusan tertinggi Fakulti. 

6. Maklum balas daripada alumni dari pelbagai peringkat dalam industri (dalam dan luar negara) turut diambil kira. 

7. Dapatan yang diperoleh daripada alumni memfokuskan kepada nilai tambah yang perlu ada pada graduan MC pada masa hadapan adalah:

a. Aplikasi dan teknologi Digital

b. Data analitik

c. Media intelligence (kecerdasan media)

d. Penghasilan kandungan digital. 

e. Pengurusan data, maklumat dan komunikasi



8. Kesemua  dapatan utama ini boleh direalisasikan dengan lebih baik dengan kerjasama multidisiplin serta interdisiplin dengan fakulti yang mempunyai kelebihan dalam bidang yang disebutkan. Nilai tambah inilah yang bakal diperolehi oleh graduan kita pada masa hadapan. 

9. Rentetan perubahan landskap teknologi dunia serta pandemik yang melanda, perubahan yang seiring dengan zaman perlu dilakukan demi memastikan bidang komunikasi dan media kekal relevan. 

10. Pemilihan Penolong Naib Canselor dibuat dengan telus serta berdasarkan keupayaan memacu kompetensi universiti. Di bawah Naib Canselor adalah Dekan Akademik, Dekan Hal Ehwal Pelajar, Dekan Penyelidikan dan Dekan Jaringan. Manakala setiap Pusat pengajian akan diketuai oleh Ketua Pengajian (Fungsi jawatan ini adalah seperti jawatan Dekan Fakulti ) 

11. Penstrukturan ini menuntut semua bidang untuk keluar dari zon selesa dan bekerjasama secara sihat. 

12. Bidang Komunikasi dan Media akan terus dipacu bersama bidang tujahan yang lebih terkehadapan. 

13. Mass Comm tidak akan hilang dan akan terus menjadi peneraju dalam bidang ini. Kita duduk di bawah satu payung, perkasakan bidang di pusat pengajian masing-masing dan bertemu dalam bidang tujahan baru bagi memenuhi keperluan dan kehendak industri yang telah berbeza lanskapnya.

14. Mass Comm adalah satu jenama yang diilhamkan oleh alumni. Jenama ini tetap kekal walaupun berlaku agenda penstrukturan semula universiti.

15. Proses ini juga selari dengan transformasi kajian sebaran am kepada Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, dan kini transformasi ini terus dirai kepada transformasi pusat kajian komunikasi media di bawah "Kolej Pengkomputeran, Informatik dan Media".

16. Transformsasi ini juga adalah tuntutan industri yang berkehendakan graduan yang lebih versatil yang akan menghasilkan skil  mengikut keperluan pasaran.

Wakil Fakulti juga berharap dengan penjelasan itu alumni Masscom khususnya dan masyarakat amnya  faham hala tuju dan kebaikan yang akan diperolehi dari penggabungan itu. 

"Semua Alumni sayang Fakulti Masscom dan fakulti juga sudah berusia 50 tahun, terlalu banyak kita telah usahakan untuk sampai ke tahap ini. 

"Usaha ini untuk tambah baik Fakulti. Kita harus semakin kuat dan berubah mengikut peredaran masa. Diharap alumni tidak salah faham." - KitaReporters


17
8
0
14
1

Copy Link: