Eratkan Kasih, Santuni Insan! MPP UMT, UM santuni golongan gelandangan! Sumbang makanan, pakaian!
Published byMajlis Perwakilan Pelajar (MPP) Sesi 2024/2025 Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan kerjasama Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UMT, Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) Universiti Malaya (UM), serta Pertubuhan Jejak Jalanan telah berjaya menganjurkan Program Eratkan Kasih, Santuni Insan 2025 di sekitar Lembah Klang, Kuala Lumpur.
Program ini bertujuan untuk menyantuni golongan gelandangan melalui penyediaan juadah berbuka puasa dan sahur serta pemberian sumbangan pakaian terpakai.
Program ini diserikan lagi dengan kehadiran Profesor Dr. Zamri Radzi, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Universiti Malaya yang bersama-sama menyantuni gelandangan serta menyokong inisiatif kebajikan ini.
Timbalan Naib Canselor HEPA, UMT, Profesor Dr. Mohd Izani Mohd Zain menegaskan bahawa program ini adalah sebahagian daripada usaha universiti dalam melahirkan mahasiswa idaman yang mempunyai nilai empati, keprihatinan dan tanggungjawab sosial.
“Melalui program seperti ini, mahasiswa akan dapat memahami realiti kehidupan golongan kurang bernasib baik serta berpeluang untuk menghayati nilai-nilai kemanusiaan yang penting dalam pembentukan sahsiah diri.
'Usaha ini selaras dengan komitmen HEPA UMT dalam melahirkan mahasiswa idaman yang berketerampilan dan cakna terhadap isu sosial,” katanya.
Pengarah Program, Muhammad Afiq Naqiuddin Mohd Afizal, yang juga merupakan Exco Kesukarelawan dan Kepimpinan MPP UMT Sesi 2024/2025, turut menyatakan harapannya agar program ini dapat memberi impak positif kepada mahasiswa serta golongan yang dibantu.
“Program ini adalah satu usaha kebajikan dan juga platform pembelajaran bagi mahasiswa untuk mendekati realiti masyarakat yang memerlukan.
"Saya percaya pengalaman ini akan meningkatkan rasa tanggungjawab sosial dan empati dalam diri mahasiswa,” ujarnya.
Salah seorang penerima bantuan di kawasan tersebut, Puan Nor, 50 tahun turut merakamkan “terima kasih kepada semua sukarelawan kerana berjaya melaksanakan program ini dan kita sama-sama dapat mengeratkan silaturahim pada bulan yang mulia ini”.
Beliau juga turut menyatakan harapan agar program sebegini diteruskan lagi pada masa akan datang dengan bantuan yang berfokus dari sudut pemindahan ilmu agar dapat membantu perkembangan dari segi kerjaya supaya dapat dimanfaatkan pada jangka masa yang panjang.
Antara aktiviti utama program ini termasuk pengagihan makanan berbuka puasa dan sahur serta sumbangan pakaian terpakai kepada golongan gelandangan di sekitar Lorong Haji Taib 2, Kuala Lumpur.
Kawasan ini dipilih kerana ia merupakan antara lokasi utama bagi golongan gelandangan, sekali gus memastikan bantuan dapat disalurkan secara langsung kepada mereka yang memerlukan.
Para sukarelawan yang terdiri daripada mahasiswa, staf universiti, dan wakil Pertubuhan Jejak Jalanan berganding bahu memastikan proses pengagihan berjalan dengan lancar dan teratur.
Selain itu, sumbangan pakaian terpakai hasil inisiatif MPP UMT Sesi 2024/2025 turut disalurkan kepada penerima.
Pakaian ini merupakan hasil sumbangan daripada mahasiswa, warga komuniti, serta staf universiti dan diagihkan secara sistematik mengikut keperluan penerima.
Selain bantuan fizikal, Pusat Kaunseling dan Kesejahteraan Mahasiswa (PKKM) turut menawarkan sesi Psychological First Aid (PFA) bagi memberikan sokongan psikologi asas kepada mereka yang berdepan dengan tekanan emosi, stigma sosial, serta cabaran hidup yang sukar.
Sementara itu, Yang Dipertua MPP UMT 2024/2025, Muhammad Aqasha Mukris Zainuri, mengambil inisiatif menawarkan perkhidmatan gunting rambut secara percuma bagi kanak-kanak gelandangan sebagai usaha kebajikan untuk meningkatkan kesejahteraan dan keyakinan diri mereka. Perkhidmatan gunting rambut percuma ini mendapat sambutan yang sangat hebat kerana mereka sangat teruja dengan perkhidmatan yang diberikan.
Penganjuran program ini diharapkan dapat diteruskan dan diperluaskan pada masa akan datang bagi memberikan manfaat yang lebih besar kepada golongan yang memerlukan. - KitaReporters/Kenyataan Media