Universiti Al-Iraqia


UNIVERSITI Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, menandatangani Surat Pernyataan Hasrat (Lol) bersama Universiti Al-Iraqia bagi menjalin kerjasama terutama dalam bidang akademik dan penyelidikan.

Majlis yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Fakulti Sains dan Matematik (FSM) UPSI itu menerima delegasi dari Universiti Al-Iraqia serta Kedutaan Iraq, pada 25 Julai 2024.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPSI, Prof Dr Suriani Abu Bakar, berkata hubungan antara UPSI dengan institusi pendidikan terutama dari Iraq adalah sangat bermakna dalam memacu sektor pendidikan bersama.

“Melalui kepakaran dan kekuatan daripada kedua-dua pihak, kita berupaya memulakan projek penyelidikan, meningkatkan kualiti pendidikan dan menyumbang kepada kemajuan pengetahuan dan inovasi di negara kita sendiri.

“UPSI komited untuk memupuk perkongsian global dan membabitkan diri dengan institusi yang dihormati seperti Al-Iraqia University bagi mewujudkan persekitaran akademik dinamik,” ujar beliau.


Sesi menandatangani LoI antara UPSI dan University Al-Iraqia.


Sementara itu, Timbalan Naib Presiden Hal Ehwal Saintifik, Universiti Al-Iraqia, Prof Dr Khamis Awad Zidan, berkata mereka teruja untuk menjalin kerjasama bersama UPSI.

“Melalui inisiatif penyelidikan bersama, program pertukaran pelajar dan fakulti atau projek akademik kolaboratif akan mengukuhkan dan menyumbang kepada penambahbaikan institusi kami,” katanya.

Majlis kunjungan rasmi itu juga menyaksikan sesi perkongsian maklumat oleh Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RMIC) dan Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK) UPSI.

Hadir sama Pengarah, Akademik dan Antarabangsa, Prof Madya Dr Ridzwan Che Rus; Pengarah Jabatan Strategik, Prof Dr Azmi Mohamed; Dekan Institut Pengajian Siswazah, Prof Dr Raja Nor Safinas Raja Harun; Dekan Fakulti Sains dan Matematik, Prof Madya Dr Mohd Faizal Nizam Lee Abdullah dan Dekan Fakulti Pembangunan Manusia, Prof Madya Dr Abdul Talib Mohamed Hashim. - KitaReporters


Delegasi Universiti Al-Iraqia bersama Kedutaan Iraq merakamkan kenangan ketika berkunjung ke Fakulti Sains dan Matematik UPSI.

16
13
0
10
0

Copy Link: