Pelajar UTM yang menyertai Program Paper And Rotan Basket With Batik Canting di Felda Tenang, Labis, Johor mencuba membelit tali gasing.


Seramai 14 mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor menimba pengalaman baharu ketika menyertai Program Paper And Rotan Basket With Batik Canting' selama dua hari di Felda Tenang, Labis, Johor pada 7dan 8 Jun 2024 lalu.

Pengerusi Program, Nur Dini Izzati Rosli, 24, pelajar tahun dua jurusan kejuruteraan awam mengakui konsep perkongsian ilmu yang diterapkan sepanjang program tersebut berjalan berjaya mewujudkan situasi menang-menang dalam kalangan peserta dan komuniti setempat.

"Ini merupakan kali pertama saya mengikuti program seumpama di luar kampus dan banyak perkara baharu yang saya pelajari  di sini terutama mengenali dengan lebih dekat cara hidup masyarakat Felda yang agak asing buat saya sebelum ini. 

"Pada masa sama, saya dan rakan lain turut didedahkan dengan pembuatan serta permainan gasing yang merupakan permainan warisan budaya orang Melayu," katanya yang berasal dari Kuala Lumpur.


Keceriaan jelas terbayang pada wajah dua penduduk setempat yang berpeluang belajar mencanting batik.

Nur Dini Izzati Rosli


Dalam masa sama dia juga menzahirkan rasa teruja kerana berpeluang melihat secara dekat proses penuaian buah kelapa sawit di ladang yang hanya dilihat melalui gambar dan kaca televisyen sebelum ini.

Selain itu katanya, antara  pengisian program, peserta dan tenaga pengajar kursus kraf tangan UTM turut memberi tunjuk ajar kepada ahli komuniti setempat mengenai teknik mencanting batik dan pada masa sama, mereka turut diajar ilmu menganyam bakul rotan oleh penduduk setempat.

Peserta program mencuba menganyam bakul rotan dengan bimbingan salah seorang penduduk setempat.


Esmeralda Sasha Siah


Sementara itu rakannya, Esmeralda Sasha Siah, 23, pelajar tahun 4 jurusan seni bina landskap yang berasal dari Sarawak turut mengakui program tersebut turut memberi manfaat kepadanya serta rakan lain untuk belajar menyesuaikan diri ketika berdepan dengan masyarakat dan boleh dijadikan panduan sewaktu melangkah alam pekerjaan selepas menamatkan pengajian nanti.

Menurutnya walaupun berketurunan Iban, dia tidak berdepan masalah menyesuaikan diri dengan adat dan budaya masyarakat Melayu yang disifatkan begitu menghormati tetamu sepanjang mengikuti program tersebut.
Kaum ibu tekun melukis corak bunga ketika proses mempelajari teknik mencanting batik sambil diperhatikan oleh salah seorang pelajar UTM yang merupakan peserta program.

Penyelaras Program, Norarfinah Ariffin yang juga tenaga pengajar kursus kraf tangan UTM berkata, program tersebut merupakan salah satu aktiviti kokurikulum yang diwajibkan kepada pelajar bagi melengkapkan pengajian mereka. 

Peserta menurutnya datang daripada pelbagai latarbelakang dan kursus dan melalui program ini mereka diajar untuk menyesuaikan diri bukan sahaja dalam kalangan mereka, sebaliknya dengan persekitaran serta masyarakat setempat.

"Felda Tenang merupakan lokasi kedua penganjuran program serupa pada tahun ini (2024) di mana Pontian dipilih sebagai lokasi pertama yang dijalankan pada Januari (2024) lalu.

"Walaupun kami telah menjalin banyak kerjasama dengan masyarakat di beberapa lokasi termasuk di luar negara sejak beberapa tahun kebelakangan ini, namun Felda Tenang agak istimewa kerana kawasan ini menyimpan sejarah konfrontasi Malaysia-Indonesia pascapembentukan Malaysia yang tidak diketahui ramai," katanya.

Norafinah Ariffin (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Penghulu Mukim Labis, Ishak Abu Bakar semas majlis penutupan program.


Sehubungan itu pihaknya terpanggil untuk membantu masyarakat setempat untuk mewujudkan galeri mini yang boleh dijadikan sebagai pusat rujukan generasi akan datang mengenai peristiwa anggota tentera Indonesia yang melakukan terjunan payung terjun di Felda Tenang pada tahun 1964. 

"Secara dasarnya pihak kami mungkin tidak mempunyai dana untuk membangunkan infrastruktur bagi tujuan tersebut, sebaliknya kami komited untuk membantu dalam aspek dokumentasi.

"Saya berharap impian masyarakat setempat untuk melihat kewujudan galeri mini tersebut dapat direalisasikan lebih-lebih lagi selepas mendapat kebenaran pihak pengurusan Felda untuk menggunakan bangunan kuarters guru yang tidak lagi digunakan sebagai lokasi,"katanya - KitaReporters
Kerjasama ahli kumpulan yang merupakan kaum ibu di Felda Tenang, Labis, Johor untuk menyiapkan tugasan mencanting batik ketika Program Paper And Rotan Basket With Batik Canting.

15
8
0
13
0

Copy Link: