Prof Md Amin Md Taff menyantuni kakitangan UPSI, Ahmad Supian Abdullah yang menerima kerusi roda elektrik.


KECEMERLANGAN sebagai universiti pendidikan pertama di Malaysia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak membuatkannya tidak pernah melupai jasa dan pengorbanan kakitangannya yang banyak membantu menjayakan visinya.

Kakitangan yang sentiasa bersedia dan berdedikasi dalam memikul serta melaksanakan tugas dengan penuh bertanggungjawab sehingga bersara daripada jawatan disandang, amat dikagumi oleh pihak pengurusan UPSI dan semestinya jasa mereka tetap dikenang. 

Detik yang meruntum jiwa mengenangkan jasa mereka itu berlangsung pada 3 September 2024, apabila UPSI menyerahkan bantuan kerusi roda elektrik dan sumbangan takaful berkelompok kepada kakitangan dan waris universiti berkenaan yang berkelayakan.


Prof Md Amin menyerahkan replika cek sumbangan takaful berkelompok UPSI kepada salah seorang waris pesara UPSI.


Bantuan itu membabitkan empat orang menerima kerusi roda elektrik dan empat waris penerima sumbangan takaful berkelompok menerusi Tabung UPSI Prihatin yang diwujudkan bagi membantu kakitangan dan mahasiswa serta masyarakat bagi meringankan beban musibah serta kemiskinan.

Penyerahan bantuan disempurnakan oleh Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff di Bangunan Canselori, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI. 

Turut hadir menyaksikan penyerahan bantuan berkenaan ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dr Suriani Abu Bakar; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Norkhalid Salimin; Pendaftar UPSI, Helmi Zaifura Abdul Rahman; dan Pengarah Pusat Waqaf, Endowmen, Zakat, Sedekah dan Khairat (Wezas), Prof Madya Dr Mohd Abdul Nasir Abd Latif.


Prof Md Amin menyampaikan ucapan pada majlis berkenaan.


Berucap pada majlis itu, Prof Md Amin, berkata program penyerahan bantuan itu merupakan satu inisiatif yang diadakan bagi menghargai sumbangan dan jasa bakti kakitangan UPSI yang sudah lama berkhidmat di universiti berkenaan.

Menurut beliau, cetusan idea untuk melaksanakan majlis penyerahan bantuan itu disebabkan oleh semangat juang dipamerkan oleh kakitangan UPSI yang mempunyai kekurangan diri tetapi sentiasa komited untuk menjalankan tugas.

“Saya sentiasa cakna dengan kakitangan UPSI yang kekurangan kemampuan, namun saya kagum dengan mereka yang tetap bersemangat dan komited untuk bekerja di UPSI.

“UPSI akan menyediakan pelbagai lagi inisiatif bantuan kepada kakitangan dan pesara UPSI pada masa akan datang bagi memastikan kebajikan warga universiti ini terjaga,” ujarnya.


Prof Md Amin (tengah) bersama-sama penerima kerusi roda elektrik dan sumbangan takaful.


Pada majlis itu, Prof Md Amin, berkata UPSI bakal melancarkan kad pesara kepada pesara UPSI termasuk balu pesara.

Jelasnya, kad pesara berkenaan menyediakan manfaat dalam menggunakan semua kemudahan yang ada di UPSI pada kadar harga kakitangan. - KitaReporters

12
13
0
13
0

Copy Link: