PRGORAM Pemindahan Ilmu yang diperkenalkan oleh Universiti Malaysia Terengganu (UMT) banyak membantu komuniti di negeri tersebut dalam membantu meningkatkan sumber ekonomi dan pendapatan pelbagai golongan yang menyertai projek yang dilaksanakan oleh institusi berkenaan. : KitaReporters


Dr Wan Zaliha Wan Sembok ketika meninjau projek tanaman melon manis Terengganu milik Persatuan Orang Pekak Terengganu (POPT)


Lagi cerita-cerita berkaitan OKU:

https://kitareporters.com/search?search=oku


Menerusi program itu sasaran diberikan kepada golongan berpendapatan rendah termasuk nelayan, petani dan kumpulan komuniti setempat.

Persatuan Orang Pekak Terengganu (POPT) tidak ketinggalan diberikan perhatian oleh UMT untuk melaksanakan projek berasaskan pertanian dengan mengusahakan tanaman Melon Manis Terengganu.

Walaupun  mereka mengalami kecacatan pendengaran UMT tetap memberi kepercayaan dan keyakinan golongan tersebut juga mampu menjadi usahawan tani yang berjaya jika diberi peluang dan bimbingan. 

Penyelidik Fakulti Perikanan dan Sains Makanan UMT Dr Wan Zaliha Wan Sembok berkata sebanyak 200 pokok melon manis yang ditanam melalui projek yang bermula sejak Julai itu kini telah berjaya dituai.


Dr Wan Zaliha Wan Sembok


Katanya, seramai 25 ahli  POPT menyertai projek tersebut yang dimulakan dengan dana sebanyak RM8,000 oleh UMT

Beliau berkata, UMT membuat pemindahan ilmu mengenai cara-cara menanam pokok Melon Manis Terengganu menggunakan kaedah fertigasi iaitu tanaman tanpa tanah kepada golongan OKU terbabit  

“Walaupun berhadapan dengan cuaca yang tidak menentu tetapi alhamdulillah 200 pokok yang ditanam telah berjaya membuahkan hasil kini,” katanya.

Katanya program pemindahan ilmu tersebut merupakan sebahagian projek tanggungjawab sosial UMT kepada golongan OKU, yang diharapkan selepas ini para peserta dapat menjana pendapatan melalui bidang pertanian.


Peserta projek tanaman Melon Manis Terengganu menuai hasil tanaman untuk dijual


Beliau berkata, penanaman 200 pokok tersebut hanyalah permulaan dan dana daripada jualan hasil mungkin akan disumbangkan untuk aktiviti POPT. Kami harap selepas ini mereka dapat menanam sehingga 2,000 pokok,”  katanya. 

Wan Zaliha turut berharap supaya lebih ramai pihak tampil membantu para peserta memajukan tanaman tersebut kerana ia merupakan satu daripada inisiatif untuk menjana pendapatan dan meningkatkan sosioekonomi keluarga golongan OKU itu terutama ada kalangan mereka yang terjejas pendapatan ekoran penularan wabak COVID-19.


Peserta projek tanaman melon manis menunjukkan hasil yang baru dituai


Selain melon manis, program pemindahan ilmu pertanian itu turut melibatkan penanaman tomato ceri dan penternakan kelulut dalam skala kecil, yang diusahakan atas sebidang tanah di belakang pejabat POPT.

Sementara itu, Presiden POPT Tengku Arman Haris Tengku Ismail berkata pihaknya bersyukur kerana dipilih oleh UMT untuk menyertai program tersebut kerana ia dapat memberi semangat kepada ahli persatuan untuk memajukan diri mereka.


Presiden POPT  Tengku Arman Haris Tengku Ismail


“Ada ahli persatuan mempunyai tanah terbiar dan tanah warisan ibu bapa. Dengan pendedahan ilmu pertanian ini, ia dapat beri peluang kepada mereka untuk menanam sendiri melon manis nanti,” katanya.

Katanya, program itu pertama dijalankan di negeri ini membabitkan golongan OKU pekak.

Program pemindahan ilmu dijalankan di bawah seliaan dua penyelidik UMT iaitu Dr Wan Zaliha Wan Sembok dan Prof Madya Dr Wahizatul Afzan Azmi itu mengusahakan tanaman Melon Manis Terengganu (MMT) dan Tomato Ceri Tanah Rendah di pekarangan Pejabat POPT, Batu Buruk, Kuala Terengganu.

Kekurangan diri nyata bukan penghalang buat Persatuan Orang Pekak Terengganu (POPT) mengusahakan tanaman fertigasi seterusnya menjadi persatuan orang pekak pertama di negeri ini yang bergiat dalam bidang pertanian berkenaan.


Peserta tanaman melon manis membawa hasil yang baru dituai untuk dipasarkan

Kerjasama bersama Fakulti Perikanan dan Sains Makanan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) membuktikan status Orang Kelainan Upaya (OKU) bukan penghalang untuk membabitkan diri dengan kegiatan pertanian.

"Program itu pertama dijalankan di negeri ini membabitkan golongan OKU pekak,” katanya. - KitaReporters

2
0
0
0
0

Copy Link: