Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sekali lagi mencipta sejarah apabila menganjurkan Majlis Anugerah Ikon Alumni 2023 yang berlangsung dengan penuh gilang-gemilang di Dewan Sultan Mizan, UMT pada 28 Julai 2024. 

Majlis bersejarah itu menyaksikan alumni UMT, Cheryl Rita Kaur Dalbir Singh telah dinobatkan sebagai Ikon Alumni Unggul UMT. 

Pengiktirafan itu diberikan sebagai tanda penghargaan terhadap pencapaian cemerlang dan sumbangan signifikan yang telah dicurahkan dalam bidang akademik serta aktiviti kokurikulum sepanjang tempoh pengajiannya serta sumbangannya kepada negara khususnya dalam bidang maritim.

Graduan Sarjana Muda Biologi Marin (Kepujian) pada tahun 2005 itu telah menunjukkan kecemerlangan yang konsisten dalam akademik dan kokurikulum serta mendapat pengiktirafan daripada pelbagai pihak sepanjang 18 tahun perjalanan karier sebagai felo dan ketua penyelidik di Institut Maritim Malaysia (MIMA).

Selain itu, penerima dana program Diploma Programme in Finland di bawah United Nations Development Programme (UNDP) itu turut dilantik sebagai panel pakar R, D & C oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta sebagai speaker bagi persidangan antarabangsa.



Sementara itu, Naib Canselor UMT, Prof. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim dalam ucapanya menekankan kepentingan pencapaian serta pengiktirafan bagi memberi inspirasi kepada pelajar lain untuk terus berusaha dalam mencapai kecemerlangan.

“Majlis Anugerah Ikon Alumni bukan sahaja menghargai kecemerlangan akademik, tetapi juga penglibatan aktif dalam komuniti dan negara”. 

"Kejayaan bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi juga dalam pembangunan sahsiah dan kepimpinan," katanya ketika berucap sempena majlis perasmian Anugerah Ikon Alumni .

Majlis itu turut dimeriahkan dengan penambahan sebanyak tiga kategori anugerah baharu iaitu Ikon Alumni Staf UMT, Ikon Alumni Dermawan, dan Ikon Alumni Harapan. 

Ujar Prof. Zamri, kehadiran ramai alumni juga menjadi platform yang baik untuk jaringan (networking) dan perkongsian idea antara generasi terdahulu dan alumni baharu.

“Pengiktirafan yang diberikan kepada penerima anugerah malam ini diharap akan menjadi pembakar semangat kepada semua pelajar UMT untuk terus berusaha mencapai kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan. 

“Majlis Anugerah Ikon Alumni ini jelas menunjukkan komitmen UMT dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga berintegriti, berdaya saing dan berwawasan,” katanya lagi. - KitaReporters/Kenyataan Media


16
14
0
14
0

Copy Link: