MEMPERTARUH 19 inovasi dalam Pertandingan Inovasi Inter Asasi Matrikulasi (PIITRAM) 2023 yang berlangsung di Universiti Putra Malaysia (UPM) baru-baru ini, Pusat Tamhidi (Asasi) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berjaya membawa pulang tiga pingat emas, sembilan pingat perak dan tujuh pingat gangsa dalam pertandingan tersebut. 

Pusat Tamhidi USIM menghantar sembilan penyertaan inovasi yang dihasilkan para pelajarnya melalui bimbingan pensyarah dan guru sebagai mentor dalam dua kategori iaitu Sains dan Teknologi, serta Sains Sosial. Manakala baki 10 penyertaan merupakan inovasi daripada kakitangan akademik dan pentadbiran. 


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan inovasi


Pingat emas yang dirangkul oleh Pusat Tamhidi masing-masing disumbangkan melalui inovasi dalam kategori Pelajar, Ahli Akademik dan Pentadiran melalui produk Smart Aromatic Nebulizer (SANe); Physics for Prosumers: The Case of Matrix Optics for Optical Systems; dan Tamhidi Timetable System (TTeasy). 

Selain membawa pulang pingat, inovasi TTeasy juga dinobatkan sebagai penerima Anugerah  Khas Pembentangan Terbaik Keseluruhan (Maya).

Dekan Pusat Tamhidi, Profesor Madya ChM Dr. Juliana Jumal melahirkan rasa bangga atas kesungguhan dan komitmen yang tinggi oleh pensyarah, guru, staf pentadbiran dan pelajar Tamhidi untuk persiapan ke PIITRAM kali ini. 

“PIITRAM merupakan pertandingan tahunan di bawah Majlis Dekan/Pengarah Asasi Universiti Awam di mana ia melibatkan penyertaan dari semua pusat asasi universiti awam dan matrikulasi di Malaysia. 

“Kita dimaklumkan seramai 1,959 peserta menyertai PIITRAM kali ini dengan 200 penyertaan secara fizikal dan 154 secara maya. Selepas dua tahun dilangsungkan secara maya kerana pandemik COVID-19, pada tahun ini dilaksanakan secara hibrid (bersemuka dan dalam talian) dengan Pusat Asasi Sains Pertanian UPM menjadi tuan rumah. 

"Dengan jumlah penyertaan yang tinggi ini dan inovasi kita hasilkan berjaya menambat hati juri untuk mendapat pengiktirafan pingat, ini adalah satu pencapaian yang hebat,” ujarnya.



PIITRAM 2023 ialah salah satu platform inovasi terbaik di mana ia membangunkan dan menonjolkan bakat ahli akademik asasi dan matrikulasi serta pelajar dalam bidang pengajaran dan pembelajaran (P&P) Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (STEAM).

Selaras dengan transformasi pendidikan negara yang kini memfokuskan kepada kepentingan pendidikan STEAM untuk melahirkan modal insan yang berkemahiran tinggi dan inovatif, PIITRAM 2023 menawarkan platform kepada pelbagai pendidik, inovator dan pelajar daripada latar belakang yang berbeza untuk menyalurkan idea baharu berkaitan STEAM, dan meningkatkan lagi kreativiti dan idea inovasi mereka ke peringkat seterusnya.

Majlis pengumuman keputusan rasmi pingat dan anugerah PIITRAM 2023 dibuat dalam majlis makan malam yang berlangsung di Dewan Bankuet UPM. 

Perasmian penutup dan penyampaian anugerah khas disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, Profesor Dr. Arifin Abdu. 

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Pengerusi Majlis Dekan/Pengarah Asasi Universiti Awam, Profesor Madya Dr. Laili Che Ros dan Pengarah Pusat Asasi Sains Pertanian UPM, Profesor Madya Dr. Marina Mohd Top@Mohd Tah. - KitaReporters/USIM


13
7
0
9
0

Copy Link: