Terima kasih Yayasan Prihatin Nasional! Pelajar asnaf Tamhidi terima duit poket! Bantuan pendidikan!
Published bySeramai 19 orang pelajar Tamhidi (Asasi) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dari kategori asnaf menerima bantuan tunai dana kewangan melalui Program Bantuan Awal Pendidikan ke Menara Gading di bawah inisiatif Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN).
Penyampaian sumbangan ini disempurnakan oleh Muhd Fareez Abu, Pengarah Pendidikan Yayasan Prihatin Nasional dalam satu majlis penyerahan yang berlangsung di Lounge Canselori USIM baru-baru ini.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan golongan asnaf
Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) merupakan sebuah organisasi kebajikan yang ditubuhkan untuk menyediakan pelbagai bantuan kepada golongan miskin dan tidak berkemampuan terutama dalam kalangan golongan muda ke arah kehidupan yang lebih baik melibatkan 3 teras utama iaitu Pendidikan, Keusahawanan dan Kepimpinan.
Yayasan ini juga turut menjadi penggerak utama membantu kerajaan ke arah memberi impak luar biasa dalam melaksanakan program-program bercorak kemasyarakatan di seluruh pelosok tanah air.
Turut hadir meraikan para penerima dalam majlis tersebut ialah Prof Madya Dr Mahazan Abdul Mutalib, Penolong Naib Canselor (Perancangan Strategik & Komunikasi Korporat); Prof Madya Dr Juliana Jumal, Dekan Pusat Tamhidi; serta kakitangan Pusat Tamhidi dan PRIHATIN.
Muhd Fareez Abu dalam ucapannya berkata, tekanan kos sara hidup yang dihadapi pada ketika ini sudah pastinya turut dirasai oleh para pelajar kerana kehidupan di kampus turut menuntut kepada keperluan kewangan yang besar.
Justeru, bantuan kewangan dari PRIHATIN sememangnya menyasarkan kepada pelajar yang datangnya dari keluarga yang kurang berkemampuan.
Jelasnya lagi, jalinan hubungan yang telah dirintis antara USIM dan Yayasan Prihatin Nasional khususnya dalam program promosi pendidikan sebelum ini boleh dikembangkan lagi.
"Tidak hanya berbentuk promosi dan bantuan bantuan kewangan, boleh juga kita terokai bentuk kolaborasi baharu untuk manfaat para pelajar seperti program pembangunan sahsiah, kemahiran insaniah, dan libat sama komuniti," ujarnya.
Sementara itu, Prof Madya Dr Mahazan berkata bantuan kewangan yang diterima oleh para pelajar asnaf ini pastinya memberi kelegaan kepada mereka dan keluarga.
"Nasihat saya, berbelanjalah dengan berhemah sumbangan tunai yang diterima dan rancang pengurusan kewangan masing-masing dengan sebaiknya”. ulasnya. - KitaReporters/USIM