Iftar Mega Putra 3.0! Pusat Perhubungan Alumni UPM kongsi rezeki! Edar 3k pek percuma juadah berbuka!
Published byMengetengahkan konsep berkongsi rezeki, kali ini Pusat Perhubungan Alumni Universiti Putra Malaysia (ARCUPM) telah mengedarkan 3,000 pek berbuka puasa khas untuk pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) bermula jam 5.30 petang di padang berhadapan Dewan Besar Sultan Salahuddin Abdul Aziz, UPM.
Dalam Iftar Mega Putra 3.0 yang dihadiri Pengerusi, Lembaga Pengarah Universiti, Prof. Emeritus Dato’ Ibrahim
Komoo, majlis tersebut disempurnakan oleh Dato’ Prof. Dr. Mohd Roslan
Sulaiman, Naib Canselor, UPM.
Semangat menyumbang alumni diperlihat daripada usaha untuk bersama-sama memberi dengan pelbagai menu disumbangkan antaranya nasi beriani, bubur lambuk, bergedil, burger, nasi lemak, popia goreng, dadih, aiskrim Malaysia, kuih tepung pelita dan juga minuman Dutch Lady.
Antara yang disumbangkan untuk diagihkan kepada para pelajar.
Selain daripada itu, seramai 100 orang pelajar
terdiri daripada pelajar B40 dan asnaf turut mendapat sumbangan baju raya
sebagai satu usaha murni pihak ARCUPM dan alumni UPM untuk sama-sama memberi
kegembiraan kepada mereka yang memerlukan dalam menyambut lebaran yang bakal
menjelang tiba.
Langkah ini bertepatan dengan seruan daripada Prof. Dr. Roslan dalam Naratif Naib Canselor 2023, ikhtiar ketujuh ‘Menyatu Kekuatan Alumni’ sumbangan daripada para alumni untuk Program Mawaddah Ramadan ini diteruskan oleh Binari Café, Haura Café, 3Sisters@Cabin KTDI, MyFundAction, Dutch Lady Malaysia dan Chapter Alumni YOSH.
Para pegawai tinggi universiti hadir sama untuk majlis Iftar Mega PUTRA 3.0.
Pengarah ARCUPM, Prof. Madya Dr. Arba’ie Sujud, dalam kenyataannya pula menyifatkan slogan ‘Eratkan Kerjasama Sesama Alumni’ cukup menebal dalam kalangan alumni UPM dan juga seluruh warga UPM.
Pihak ARCUPM mengalu-alukan sumbangan daripada pihak alumni, individu dan badan korporat dalam bersama-sama menyuburkan rasa ihsan untuk berkongsi rezeki bersama mereka yang tidak berkemampuan.
“Alumni telah memainkan peranan yang cukup hebat apabila sejumlah besar sumbangan dapat dikumpulkan dan seterusnya diagihkan kepada mereka yang memerlukan terutama pelajar UPM dan juga komuniti setempat. Rasa ihsan sesama insan ini pasti akan menyuburkan lagi hasrat Naib Canselor UPM iaitu mahu ‘menyatukan kekuatan alumni’.
"Kesepakatan ini akan diteruskan lagi pada masa hadapan untuk terus menjulang kehebatan dan kejayaan UPM sebagai sebuah universiti yang gemilang bukan sahaja pada peringkat lokal tetapi juga global,” ujarnya.
Prof. Dr. Roslan Sulaiman (tengah) bersama Pengarah Pusat Perhubungan Alumni Prof. Madya Dr. Arba'ie Sujud (kiri) menyampaikan sumbangan baju raya kepada pelajar.
Program Musaadah Ramadan yang terbahagi kepada dua iaitu Program Tautan Mahabbah dan Program Mawaddah Ramadan berjaya mengumpul dana sumbangan sebanyak RM73, 427.50.
Program Tautan Mahabbah telah berjaya diadakan pada 8 April 2023 di Rumah Anak-Anak Yatim dan Asnaf As-Solihin di mana program ini lebih berfokus kepada menyantuni komuniti setempat.
Manakala Program Mawaddah Ramadan (13 April 2023) pula berfokus untuk menyantuni pelajar-pelajar UPM dengan pemberian pek berbuka puasa secara percuma.
Ini merupakan program yang berterusan dalam usaha untuk bersama-sama melahirkan masyarakat madani yang sentiasa menyantuni insan yang memerlukan terutamanya mereka yang memerlukan.
Maka, bersamalah kita suburkan budaya tangan yang menghulur dan merasai manisnya sikap suka memberi itu dalam bersama-sama melahirkan masyarakat madani seperti yang diimpikan oleh negara. - KitaReporters
Agihan makanan tetap diteruskan walaupun dalam keadaan hujan.