Mukhayyam Pembentukan Anak Soleh! Usaha lahirkan lebih ramai imam muda miliki pakej lengkap, terbaik!
Published bySEJAK 15 kurun lalu, Islam meletakkan kanak-kanak sebagai insan yang perlu diberi perhatian utama malah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan undang-undang khusus bagi melindungi kanak-kanak dengan memberikan hak mereka dalam aspek kesihatan, pendidikan dan pemantapan akhlak.
Semua usaha yang dilakukan oleh PBB itu terkandung dalam ajaran Islam. Dan, fokus utama pastinya mengajar mereka solat kerana ia tiang agama.
Selain solat, ibu bapa usah mengabaikan pendidikan al-Quran kerana jika kurang ilmu dalam perkara itu atau tidak mampu mengajar sendiri, usaha lain mesti dilakukan agar anak mahir membaca kitab suci itu.Aktiviti Latihan Dalam Kumpulan memberi kebebasan peserta untuk memberi pendapat.
Melihat kepentingan perkara-perkara itu, ZL Training & Consultancy mengadakan program Mukhayyam Pembentukan Anak Soleh di Masjid Hasanah, Bandar Baru Bangi, Selangor. Seramai 60 peserta mengambil bahagian terdiri daripada kanak-kanak berusia enam hingga 14 tahun.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ustaz Zainul Luqman Zainul Ikhwan, berkata mukhayyam bermaksud perkhemahan tapi disebabkan kekangan lokasi, pihaknya tidak dapat mengadakan kem untuk peserta tapi program diadakan di dewan bagi memberi keselesaan kepada anak-anak untuk menuntut ilmu.
Beliau yang berhenti dari UPM untuk memberi fokus sepenuh masa kepada program seumpama itu menggariskan empat teras utama yang diberi fokus dalam modulnya iaitu akidah, ibadah, sirah dan akhlak. Ini adalah tunjang utama dalam pembentukan anak soleh kerana jika salah satu asas dipinggirkan, usaha untuk pembentukan anak soleh menghadapi kesukaran atau mungkin gagal.Ustaz Zainul Luqman Zainul Ikhwan
"Dalam bab akidah, kami memberi penerangan secara asas Rukun Islam dan Rukun Imam seperti sifat 20 bagi memastikan mereka mempunyai pegangan yang betul dalam perjalanan menuju pembentukan anak soleh. Ini asasnya dan lepas itu baru kita melangkah kepada perkara yang lebih besar.
"Dalam bab ibadah, ia memberi fokus kepada kepentingan wuduk dan solat. Ia bukan sekadar satu kewajipan yang perlu dilaksanakan sama ada suka atau sebaliknya tapi Islam amat menitikberatkan perkara itu dalam pembentukan anak soleh hinggakan jika seseorang itu tidak solat ketika usia tujuh tahun, ibu bapa boleh merotan."Solat adalah tiang agama, jika seseorang kanak-kanak mengamalkan sembahyang lima waktu, insya-Allah perkara lain jadi mudah. Tapi ibadah bukan sekadar solat sebaliknya mencakupi hal-hal lain seperti puasa, zakat dan haji. Jika ibadah dilakukan bersungguh-sungguh, pembentukan anak soleh lebih mudah," katanya.
Pelajar menggunakan buku yang disediakan untuk menghafal doa
Beliau yang juga bekas graduan dan Eksekutif Rumah Hijau Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, selain solat dan wuduk, peserta juga diajar berwirid selepas sembahyang waktu kerana perkara itu selalu terlepas pandang.
Banyak berlaku, selesai solat waktu, ramai jemaah terus "angkat kaki" padahal mereka sepatutnya wirid dulu bersama imam sehingga selesai.
"Wirid ni penting bagi kekuatan iman. Ada ibu bapa yang mempunyai pandangan salah menganggap wirid ini hanya untuk anak yang di sekolah agama atau mahu menjadi imam."Hakikatnya, ia penting apatah lagi jika mahu bersolat bersama keluarga, bukan setakat wirid tapi anak dah tahu untuk berdoa. Kan sejuk hati ibu bapa.
"Melalui buku yang kami sediakan, anak-anak boleh menghafal wirid dan doa apabila pulang ke rumah. Kajian mendapati dalam usia enam hingga 14 tahun ini, otak sedang berkembang, jadi mudah menerima untuk menghafal dan ia boleh digunakan bukan setakat hari ini tapi apabila melangkah ke universiti atau selepas berkeluarga nanti.
"Jika anak-anak dapat menghafal wirid dan doa dalam buku ini, ia satu kelebihan dan memberi keyakinan diri untuk ke depan menjadi imam terutama di surau pusat beli belah. Bayangkan imam muda menjadi imam kepada jemaah yang lebih berusia, ibu bapa pasti bangga," katanya.
Fasi akan membantu peserta untuk menyiapkan tugas atau mencatat sebarang info dalam buku disediakan.
Ustaz Luqman mengakui serius apabila membabitkan soal ibadah kerana ia pembuktian seseorang itu mengakui keesaan Allah dan solat pula satu kewajipan yang perlu dilaksanakan sama ada suka atau sebaliknya. Justeru, Islam mensyaratkan ibu bapa boleh merotan si anak jika tidak bersolat apabila berusia tujuh tahun.
"Dalam program ini, saya banyak memperbetul kekeliruan peserta terutama ketika rukuk, ada tidak mengikut rukun iaitu perlu 90 darjah. Perkara ini guru agama dah ajar di sekolah tapi jumlah murid yang banyak dalam kelas menyebabkan ustaz tidak sempat memberi perhatian kepada semua dan apabila di rumah, ibu bapa pula tidak dapat melihat kesalahan anak kerana mereka menjadi makmum.
"Jadi, di sini kami memberi perhatian dan memperbetul kesalahan mereka, melihat seorang demi seorang bagi memastikan setiap peserta yang hadir faham rukun dalam solat sama ada bab sujud atau rukuk.
"Peserta perempuan pula ada masalah bab sujud, ada yang telungkup termasuk ketika wujud. Selain itu, ada kata ambil air solat sekadar membasuh pada pipi sedangkan air sepatutnya sampai ke seluruh wajah hingga ke sempadan kedua-dua telinga. Alhamdulillah, selepas penerangan dan praktikal, mereka faham," katanya.
Pembelajaran menggunakan konsep kumpulan atau usrah lebih menyeronokkan dan tidak membosankan.
Modul sirah pula, katanya akan bercerita mengenai kisah-kisah nabi, sahabat dan selawat syifa.
Ia akan diadakan dalam kumpulan dan mereka akan bertukar info mengenai utusan Allah selain belajar amalan mencegah dan merawat orang yang terkena sihir. Ia satu bekalan yang berguna yang boleh digunakan untuk diri sendiri, keluarga dan masyarakat,
"Modul akhlak pula memberi fokus kepada menghormati ibu bapa, guru, dan rakan-rakan. Selain itu, buku yang disediakan itu mempunyai panduan lengkap amalan doa untuk kesejahteraan ibu bapa. Ia boleh diamalkan selepas solat atau bila-bila masa," katanya.
Ditanya keistimewaan program itu, katanya ia seratus peratus "indoor" yang menggunakan konsep pondok moden, tidak terlalu banyak fokus kepada aktiviti luar seperti memanah atau menunggang kuda tapi diselitkan dengan permainan minda jika didapati peserta sedikit lemau atau mengantuk.
"Modul ibadah perlu serius tapi bukanlah 24 jam begitu, ada sedikit keceriaan seperti menyanyi, latihan dalam kumpulan (LDK) atau bermain game tapi tidak terlalu lari daripada matlamat supaya fokus tidak tersasar hingga mereka seronok dengan permainan hingga lupa bab ibadat.
Si cilik ini pun tahu menggunakan buku yang disediakan sebagai panduan untuk menghafal doa dan wirid.
"Saya sentiasa ingat pesan nenek yang menjadi guru al-Quran pertama saya supaya fokus kepada kitab suci itu walaupun di mana berada. Saya belajar al-Quran sejak kecil termasuk tarannum dan sering mengambil bahagian dalam tilawah pada peringkat sekolah dan pernah mewakili UPM pada peringkat universiti.
"Malah, selepas tamat belajar dalam Diploma Pengajian Islam di UNISZA, saya mengambil ijazah komunikasi di UPM dan tesis saya juga mengenai komunikasi pendakwah kerana yakin jika kita fokus kepada pekerjaan berkaitan Islam, ia akan mendapat keberkatan Allah," katanya.
Beliau berharap dapat mengadakan lebih banyak program seumpama ini bagi melahirkan lebih ramai anak yang boleh menjadi imam kerana pasaran mereka amat tinggi pada mata masyarakat tapi imam muda yang mahu dilahirkan nanti perlu ada pakej lengkap, berdisiplin, memiliki bacaan surah yang baik dan berlagu, mengendalikan kelas dan majlis tahlil dan membantu masyarakat untuk mengimarahkan masjid. - KitaReporters
Sebahagian 60 peserta Mukhayyam Pembentukan Anak Soleh menunjukkan buku dan sijil yang diterima selepas tamat program.