APABILA banjir melanda, paling penat dan terkesan adalah semasa pascabanjir yang menyaksikan pelbagai jenis sampah menggunung dan lumpur tebal sama ada di dalam kediaman atau di luar.

Ketika inilah segala kudrat diperlukan untuk membersihkannya dan bukan perkara enteng untuk melakukan kerja-kerja pembersihan apatah lagi kudrat yang ada tidak segagah mana.

Namun, apa yang berlaku pada negara ketika pascabanjir sangat mengagumkan kerana begitu ramai sukarelawan tidak kira agama dan bangsa mahupun badan-badan kebajikan bersatu padu menggembleng tenaga menjalankan misi-misi bantuan membersihkan kediaman mangsa-mangsa banjir.

Inilah matlamat dan aspirasi konsep Keluarga Malaysia!!


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan UPM


Salah Seorang sukarelawan UPM membersihkan permaidani menggunakan 'water jet'.


Inilah warna-warna indah dalam masyarakat majmuk yang ada di Malaysia. Satu budaya cemerlang yang lahir daripada hikmah bencana yang Allah SWT turunkan. Masya-Allah!

Bagi menyemarakkan lagi budaya positif membantu mangsa-mangsa banjir, Universiti Putra Malaysia (UPM) bersama Pusat Perhubungan Alumni UPM (ARCUPM) melakukan misi kemanusian di sekitar daerah di Selangor yang terjejas teruk baru-baru ini.

Misi berkenaan digerakkan Pengarah ARCUPM, Prof. Madya Dr. Arba’ie Sujud; Timbalan Pengarah, Fahmi Azar Mistar; dan seluruh staf ARCUPM.

Melalui pengumpulan data, hampir 50 kakitangan UPM terjejas teruk dalam bencana banjir yang melanda Selangor bermula 18 hingga 20 Disember 2021.


Bantuan berupa barang makanan dihulurkan untuk meringan beban mangsa banjir.


Atas dasar 'berat sama dipikul, ringan sama dijinjing', UPM dan ARCUPM tanpa berlengah terus melaksanakan Program Putra Cakna: Misi Bantuan Banjir kepada staf, alumni dan pelajar UPM yang terjejas.

Menerusi program ini pelbagai sumbangan makanan dan keperluan berjaya dikumpul daripada alumni bagi diagihkan kepada mereka yang terjejas demi meringankan beban dan juga tanda solidariti kepada rakan yang terkesan.

Antara alumni terawal hadir menghulurkan bantuan ialah pihak Amco Niaga Sdn Bhd iaitu Mat Amin Jaafar (alumni kelas 1994) dan Yahya Bazlan Ismail (alumni kelas 1995)  yang telah menyumbang 50 kampit beras kepada mangsa banjir serta 50 pek sumbangan berupa makanan kering untuk diagihkan kepada mangsa-mangsa banjir.

Sumbangan ini juga datangnya daripada orang perseorangan yang ingin bersama-sama menghulurkan bantuan dan meringankan beban yang dihadapi mangsa banjir. 

Para pelajar UPM juga tidak terkecuali turut serta dalam misi pembersihan rumah, masjid dan pejabat yang teruk ditenggalami air.

Dalam misi bantuan kemanusiaan ini, ARCUPM telah turun ke beberapa tempat antaranya di Pusat Pertanian Meru, Klang pada 24 dan 27 Disember 2021. 

Misi yang bermula dari jam 10 pagi hingga ke 4 petang itu sedikit sebanyak melegakan pihak Pusat Pertanian Meru, Klang.


'Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.'


Menurut Pegawai Pertanian Daerah Klang, Ahmad Nazri Abdullah Zawawi yang juga alumni UPM kelas 2000 dan 2005, keseluruhan blok di Pusat Pertanian itu telah dinaiki air bermula 18 Disember 2021.

Katanya, air yang naik secara mendadak menyebabkan urusan pemindahan barang-barang kebanyakan tidak dapat diselamatkan termasuk baja  di dalam bilik stor serta alatan-alatan kursus. 

“Ketika kejadian hari cuti, semua staf berada di rumah masing-masing dan kediaman mereka juga ditenggelami air. Kami telah cuba sedaya upaya juga selamatkan barangan yang sempat tetapi air naik begitu cepat, banyak baja rosak akibat terendam dalam air beberapa hari. 

“Selaku ketua di sini, saya amat menghargai dan berterima kasih dengan bantuan yang dihulurkan oleh Pusat Perhubungan Alumni dalam misi membantu pembersihan dan pemberian sumbangan.

“Apabila dihubungi pihak ARCUPM mengatakan akan ke sini dalam misi bantuan, saya jadi sebak. Hubungan erat antara alumni, ARCUPM dan alma mater bukan sahaja pada waktu senang.

“Saat sukar begini kehadiran anda semua sebenarnya bukan sahaja meringankan urusan pembersihan tetapi secara langsung telah memberi sokongan moral kepada kami untuk bangkit kembali,” ujar Nazri.


Bencana banjir yang menimpa telah menyatukan semua orang.


Misi yang digerakkan selama dua hari di Klang itu turut melibatkan pelajar-pelajar dari Chapter Ambbasador Student (CSA) UPM, seramai 33 orang

Manakala pada tarikh 26 Disember 2021, misi kemanusiaan diteruskan lagi ke rumah staf UPM yang teruk ditenggelami sekitar Banting, Puchong dan Shah Alam.

Misi kali turut disertai, Pendaftar UPM, Muhazam Mansor; Timbalan Pengarah ARCUPM, Fahmi Azar Mistar; wakil daripada Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar; wakil Hospital Pengajar UPM (HPUPM);  staf ARCUPM, KEPERTAMA, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan serta WAZAN; dan Majlis Perwakilan Pelajar Sesi 2020/2021.

Misi kali ini ke rumah staf Eddy Shahriza Jamein (Pegawai Pertanian) dari Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan (ITAFos) di Kampung Bukit Changgang, Banting, Arba’ah Md Salleh (Pegawai Sains) dari Institut Biosains di Kuala Sungai Bharu, Puchong dan alumni UPM di Seksyen 33 Shah Alam, Selangor.

Bantuan berfokus kepada pembersihan rumah dan juga penyerahan sumbangan yang disumbangkan oleh alumni UPM sendiri.


Kenderaan juga tidak terkecuali menjadi 'amukan' banjir besar Disember 2021.


Menurut Eddy Shahriza, kehadiran rakan-rakan dari UPM dan pelajar-pelajar dalam misi ini menyebabkan beliau amat terharu dan sebak.

Begitu juga bagi Arba’ah Salleh, kehadiran rakan-rakan dan pengurusan UPM dalam membantu urusan pembersihan ini sungguh memberinya semangat untuk bangkit kembali.

“Semangat yang hilang seakan kembali saat melihat ramainya dari kalangan pengurusan UPM, Pusat Perhubungan Alumni, dan rakan-rakan lain serta pelajar datang membantu hari ini. 

Sebak, sayu, sedih semua bersatu. Ini ujian untuk kami dan untuk kita semua. Saya terima ini sebagai satu ingatan daripada Allah Taala bahawa tiada yang kekal selain ketaqwaan dan keimanan terhadap-Nya," ujarnya. -KitaReporters


21
11
0
17
1

Copy Link: