Belajar jadi wartawan! 23 pelajar terima pendedahan! Program Ekplorasi Media UPSI Adventure Park!
Published byPelajar kursus kewartawanan UPSI menjalankan tugas sebagai pengamal media menemu bual Dr Mazuki Mohd Yasim mengenai UPSI Adventure Park (UAP).
UNTUK mendalami tugas pengamal media, 23 pelajar kursus kewartawanan menyertai Program Eksplorasi Media UPSI Adventure Park anjuran Pelajar Kursus Kokurikulum Kewartawanan (CPK 2011), Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, pada 8 Januari 2025.
Program yang diadakan di UPSI Adventure Park (UAP) itu memberi
pendedahan kepada peserta mengenai dunia kewartawanan yang banyak cabaran,
dugaan dan menguji kesabaran terpaksa ditempuh ketika menjalankan tugas.
Pengarah program, Muhammad Amirul Haziq Mohamad, menyifatkan program yang dihadiri pelajar kursus berkenaan memberi pengalaman menarik kerana apabila berpeluang menemu bual Pengarah Pusat Kokurikulum UPSI, Prof Madya Dr Mazuki Mohd Yasim sebagai bahan pemberitaan.
Peserta-peserta merakam gambar pelbagai fasiliti untuk aktiviti kursus kewartawanan di UAP.
Tambahnya, program itu bukan sahaja dapat mengasah kemahiran praktikal mahasiswa dalam bidang kewartawanan namun memberi peluang kepada pelajar untuk memahami kegiatan pusat berkenaan secara lebih mendalam serta mengetahui serba sedikit maklumat perancangan perkembangan UAP pada masa akan datang.
Selain itu, jelasnya, pelajar juga dapat mengeratkan hubungan antara satu sama lain melalui aktiviti berkumpulan termasuk mengenai tugas seorang pengamal media yang diagihkan dan mencapai objektif pengajaran melalui eksplorasi diadakan.
Manakala penasihat dan tenaga pengajar program itu, Prof Madya Dr Ghazali Din, berkata pengalaman mengikuti kursus kewartawanan memberi peluang kepada mahasiswa mengetahui peranan media dan kemahiran penulisan berita yang boleh dipraktikkan apabila menjadi pendidik di sekolah.
“Ilmu yang diperoleh dalam program ini adalah panduan asas terbaik untuk mereka mempraktikkan tugas pengamal media di samping mendapatkan maklumat terkini yang lebih luas menerusi media sosial,” ujarnya.
Peserta Eksplorasi Media UPSI Adventure Park bergambar bersama Dr Mazuki (tengah) dan Dr Ghazali Din (lima dari kanan).
Sementara itu, Pengarah Pusat Kokurikulum UPSI, Prof Madya Dr Mazuki Mohd Yasim ketika ditemu bual pelajar menganggap program itu bermanfaat untuk mereka menjiwai tugas pengamal media dalam memperoleh serta mencari maklumat untuk menghasilkan berita atau laporan yang sahih.
Menurutnya, UAP sebagai destinasi pilihan program adalah satu tempat yang kian menjadi pilihan dan tumpuan fokus masyarakat berkursus sama ada warga Muallim mahupun orang luar.
Dr Mazuki berkata, UAP mula dibangunkan pada tahun 2016 menjadi tempat pelajar dan warga UPSI menjalankan aktiviti mencabar mampu menguji ketahanan mental serta fizikal juga bersesuaian dengan kursus kewartawanan diadakan itu kerana persekitaran yang tenang.
“Berikutan itu pelbagai agensi kerajaan, swasta dan institusi pendidikan mengadakan kursus di UAP kerana mempunyai pelbagai kemudahan untuk aktiviti rekreasi," katanya lagi.
Peserta kursus berbincang secara berkumpulan untuk menghasilkan berita selepas sesi temu bual.
Dalam temu bual itu, beliau seterusnya menjelaskan, peralatan 'flying fox' dipasang alat ciri keselamatan yang lengkap dan turut menjadi daya tarikan baharu apabila teknologi ‘auto break system’ yang sudah diprogramkan bagi aktiviti ‘flying fox’.
Beliau berkata, penjanaan UAP semakin bertambah baik berdasarkan infrastruktur dan antara aktiviti lain diadakan ialah Kem Bina Insan Bitara (KEBIB) yang membabitkan semua pelajar mengikut pelbagai jenis jurusan.
"Antara fasiliti yang ada di UAP ialah kawasan tapak perkhemahan, tandas, ‘flying fox’, ‘rock climbing’, dan ‘glamping’ yang dijangka siap April (2025) nanti manakala ‘water rafting’ di sungai sekitar. Jangkaan ‘glamping section’ akan dinaik taraf untuk dijadikan lebih menarik dan selesa untuk penginapan,” ujarnya.
UAP seluas 40 hektar boleh dikunjungi semua orang termasuk
orang awam yang ingin beriadah atau melakukan aktiviti dengan bayaran mengikut
pakej tertentu.
Namun, untuk pelajar ada harga mesra pelajar dan akademik
seperti kelab rekreasi di bawah pusat kokurikulum tidak perlu untuk membuat
bayaran.
Rancangan pada masa hadapan adalah memperluas tapak untuk tempat letak kenderaan dan melebarkan jalan raya supaya memudahkan perjalanan keluar dan masuk ke kawasan UAP. - KitaReporters
Peralatan 'flying fox' dipasang alat ciri keselamatan yang lengkap.