SK Sungai Udang, Klang, Selangor.


SK Sungai Udang, Melaka.


Lawatan penanda aras yang penuh bermakna dan melakar sejarah tersendiri berlaku apabila Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Udang (SKSU), Klang (SKSUK), Selangor, mengadakan kunjungan mesra ke SK Sungai Udang (SKSU), Melaka (SKSUM) pada 23 Januari 2025.

Bukan sekadar satu pertemuan rasmi, malah menjadi simbol ukhuwah dan jalinan persahabatan antara dua institusi pendidikan yang berkongsi nama tetapi berada di dua negeri yang berbeza.

Rombongan dari SKSUK tiba di SKSUM dengan menaiki sebuah bas dan beberapa kereta telah disambut dengan penuh kemesraan oleh warga SKSUM yang terdiri daripada guru-guru, kakitangan serta murid. 

Menjadi sungguh istimewa apabila ketibaan itu dimeriahkan dengan persembahan tarian tradisional serta aksi silat yang memukau, mewarnai suasana penuh adat ketimuran.


Mohd Isha Bakar (tengah) menyambut kedatangan M. Khalimi Dalhan (kanan) bersama rombongan yang disajikan dengan persembahan silat murid SKSUM.


Guru Besar SKSUK M. Khalimi Dalhan, berkata lawatan itu memberikan peluang yang sangat berharga kepada kedua-dua sekolah untuk bertukar-tukar idea dan amalan terbaik dalam bidang pendidikan kebetulan pula memiliki nama sama.

“Kami berasa sangat gembira dan bertuah kerana diberi layanan yang begitu mesra. Meskipun sekolah kami berkongsi nama yang sama, namun sejarah dan latar belakangnya berbeza.

“SKSUM yang telah berusia lebih 100 tahun tentunya mempunyai pengalaman luas dalam bidang pendidikan berbanding SKSUK baru berusia 35 tahun,” katanya.

Dalam lawatan itu, rombongan SKSUK diberi kesempatan untuk melawat kawasan sekitar sekolah yang membuka peluang melihat sendiri suasana pembelajaran dan persekitaran kondusif SKSUM, manakala sesi perkongsian amalan terbaik turut diadakan bagi membolehkan kedua-dua pihak bertukar-tukar pendapat mengenai pendekatan pengajaran dan pembelajaran berkesan.


 

Guru dan warga SKSUK disambut mesra oleh guru serta warga SKSUM.


Antara aktiviti menarik dikongsikan oleh SKSUM termasuklah demonstrasi permainan sofbol, inovasi reka cipta serta pelbagai program lain yang menjadi kebanggaan sekolah berkenaan.

M. Khalimi, berkata guru dari SKSUK amat menghargai kesudian SKSUM untuk berkongsi pengalaman dan ilmu yang bermanfaat, mereka berharap hubungan baik itu dapat diteruskan melalui jalinan kerjasama lebih erat pada masa akan datang, termasuk dalam bentuk program pertukaran murid dan guru serta aktiviti pendidikan bersama.

“Walaupun sudah lebih sebulan berlalu pertemuan ini, saya dan guru SKSUK berasa amat terkesan serta terpahat banyak kenangan malah mungkin satu lakaran sejarah dalam negara apabila warga dua sekolah memiliki nama sama dapat bertemu, bermesra dan berbincang mengenai kemajuan dalam bidang pendidikan,” ujarnya lagi.


M. Khalimi dan Mohd Isha bertukar sijil persefahaman jaringan kerjasama dalam bidang pendidikan.


Guru Besar SKSUM, Mohd Isha Bakar pula berkata, inisiatif lawatan itu sangat memberi makna kerana selepas sekian lama ditubuhkan, akhirnya dua sekolah mempunyai nama yang sama idapat bertemu dan menjalin kolaboratif jaringan kebitaraan masing-masing yang pastinya nanti diteruskan dalam bidang kurikulum, kokurikulum serta kemenjadian murid.

Jelasnya, silang dan perkongsian budaya juga antara aspek yang boleh dijadikan asas kerjasama kerana kedua-dua lokasi sekolah tentunya mempunyai latar belakang kependudukan berbeza.

Lawatan itu bukan sahaja mengeratkan hubungan antara dua sekolah, tetapi juga memberikan inspirasi kepada warga SKSUK untuk terus memperkasakan sistem pendidikan di sekolah mereka.

Sebelum berangkat pulang, sesi bergambar kenangan turut diadakan sebagai simbolik persahabatan yang terjalin antara kedua-dua institusi pendidikan itu.

Dengan kejayaan lawatan itu, diharapkan jalinan silaturahim yang terjalin antara dua SK Sungai Udang berkenaan akan terus berkembang dan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dalam usaha melahirkan generasi murid yang cemerlang dan berdaya saing. - KitaReporters


Staf SKSUK, Hidayah (depan) dan rakan guru teruja melihat bahan reka cipta kemenjadian murid SKSUM.


Guru kedua-dua SK Sungai Udang merakamkan kenangan dalam pertemuan yang bersejarah.

18
13
0
12
0

Copy Link: