.


Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) membawakan "Man Sahur", sebuah iklan Ramadan 2025 yang mengetengahkan genre seram dengan mesej mendalam tentang realiti generasi muda. 

Diterbitkan oleh Pusat Komunikasi Strategik USIM bersama idea kreatif para pelajar, iklan ini telah mencetus fenomena dengan meraih lebih 30,000 tontonan di YouTube USIMTV hanya dalam tempoh seminggu sejak ia disiarkan pada hari pertama puasa.



Mengisahkan Aiman Sodiqin, seorang streamer tegar yang terlalu asyik dengan dunia permainan dalam talian sehingga mengabaikan tanggungjawabnya pada bulan Ramadan. 

Namun, segalanya berubah apabila satu insiden misteri berlaku, menghantui hidupnya. Siapakah yang berada di dalam biliknya semalam? Adakah Ramadan kali ini mampu mengubah dirinya menjadi insan yang lebih baik?

Terinspirasi daripada realiti kehidupan anak muda masa kini, iklan ini mengetengahkan bagaimana ketagihan dunia digital boleh melalaikan seseorang hingga lupa kewajipan kepada Allah. 

Lebih daripada sekadar hiburan, "Man Sahur" membawa mesej penting tentang kesedaran, refleksi diri, dan nilai Ramadan yang sering diambil ringan.

Dibarisi lima pelakon, terdiri daripada tiga pelakon utama dan dua tambahan serta 9 tenaga produksi, iklan ini berjaya memberikan pengalaman menonton yang mendebarkan. 

Pengarahnya, Habib Halim, berkongsi pengalaman mencabar dalam menghasilkan karya ini. 

“Kami mengambil masa 3 bulan untuk menyiapkan iklan ini, daripada skrip sehingga proses penyuntingan. Tidak mudah, tetapi melihat hasilnya yang luar biasa di USIMTV, ini adalah impian yang menjadi kenyataan”, ujarnya.




Iklan ini bukan sekadar mendapat tontonan tinggi, tetapi juga menerima reaksi luar biasa daripada penonton. Ramai yang tidak menyangka USIM berani tampil dengan pendekatan genre seram yang membuatkan penonton takut untuk menontonnya sehingga habis. 

Semoga iklan ini membuka mata masyarakat tentang pentingnya mengimbangi dunia digital dan realiti. 

Dunia digital seharusnya dimanfaatkan untuk kebaikan, bukan menjadi punca kelalaian. Jangan biarkan teknologi mengawal kita, sebaliknya, gunakan ia untuk mendekatkan diri kepada Yang Maha Esa. - KitaReporters/USIM



13
13
0
10
0

Copy Link: