Pengurusan dan pelajar Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkenaan pemberian baucar pembelian buku berjumlah RM100 kepada pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) sewaktu perasmian Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 pada 30 Mei 2024.

Rektornya Prof Dr Muhamad Rozaimi Ramle berkata, pengumuman baucar buku ini dilihat dapat membantu pelajar KUIPs terutama untuk menerapkan budaya cintakan ilmu, sekali gus menggunakan baucar itu untuk pembelian buku nanti.

“Saya juga menyambut baik langkah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang telah mengeluarkan Kenyataan Media mengenai mekanisme pelaksanaan bagi fasa pertama yang menawarkan 50,000 e-baucar sebagai menyokong Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024” ujar beliau ketika dihubungi.


Muhammad Qusyairie Md Rosland (tengah) bersama pelajar KUIPs menunjukkan pengumuman berita Perdana Menteri mengenai pemberian baucar pembelian buku berjumlah RM100.

Baucar buku untuk pelajar IPT ini akan diagih menguna e-baucar mulai 1 Jun 2024 dan kod baucar pula akan dijana setelah semakan kelayakan dibuat di portal GREaT (Graduate Reference Hub for Employment and Training) kendalian KPT iaitu https://great.mohe.gov.my, bermula Sabtu, 1 Jun 2024, jam 10.00 pagi.

Inisiatif tersebut bakal memberi manfaat kepada lebih 1.2 juta pelajar IPT warganegara Malaysia yang akan dilaksanakan secara berfasa bermula 1 Jun hingga 31 Disember 2024.

Manakala kaedah penebusan kod baucar yang terjana di portal GREaT hanya sah digunakan untuk pembelian buku secara dalam talian dalam platform BookCapital, https://bookcapital.com.my sahaja dengan setiap pelajar layak menebus baucar sejumlah RM100 bagi satu kali transaksi sahaja.

Moga inisiatif ini bukan sahaja dapat menyemarakkan budaya membaca, malah turut bakal merancakkan lagi industri buku akademik dan wacana ilmiah tempatan seperti yang dihasratkan oleh Perdana Menteri dan KPT.


Nur Aufadini Nor Azhan dan Andi Surian Suria (kanan) menunjukkan maklumat hebahan mengenai baucar buku.

Sementara itu beberapa pelajar KUIPs yang ditemui melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan Tinggi yang menguruskan baucar buku ini.

Bagi pelajar semester tiga , Program Asasi Pengajian Islam, Andi Surian Suria, 20, dari Sabah pengumuman ini bukan sahaja mengembirakannya dan rakan-rakan di kampus ini, malah yang penting mereka dapat menggunakan baucar ini untuk membeli buku sebagai nota tambahan nanti.

Manakala rakannya Nur Aufadini Nor Azhan 19 berterima kasih kepada Perdana Menteri dan kerajaan kerana sentiasa memberi berita gembira terutama kepada pelajar-pelajar.

“Pemberian baucar ini dilihat dapat meringankan beban kami seterusnya menggalakkan pelajar lebih berminat untuk membaca walaupun Perpustakaan KUIPs menyediakan bahan bacaan untuk kami,” katanya lagi.


Muhammad Qusyairie Md Rosland. 

Bagi pelajar semester dua Asasi Pengajian Islam, Muhammad Qusyairie Md Rosland yang berasal dari Terengganu pula, berita ini pastinya memberi kegembiraan bukan sahaja kepada pelajar KUIPs malah seluruh pelajar di negara ini.

“Saya yakin inisiatif ini pastinya akan memberi manfaat kepada lebih 1.2 juta pelajar IPT dari negara ini yang akan dilaksanakan secara berfasa-fasa nanti,” sambungnya.

Bagi Uwais Al-Qarni Idris, 20, dari Teluk Intan, Perak pula, pengumuman ini satu kejutan kepada mereka dari KUIPs kerana turut menerima pemberian baucar yang diumumkan oleh Perdana Menteri.

“Walaupun Menteri Pendidikan Tinggi memaklumkan pemberian baucar ini akan dibuat secara berperingkat-peringkat namun yang penting kami juga turut menerimanya seperti pelajar IPT lain,’ katanya.

Pada 30 Mei 2024, Perdana Menteri ketika berucap merasmikan PBAKL 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), mengumumkan pemberian baucar buku bernilai RM100 bagi pelajar-pelajar. - KitaReporters


Uwais Al-Qarni Idris 20 dari Teluk Intan Perak.

18
13
0
8
0

Copy Link: