Bertemu dan berpisah adat dalam setiap pertemuan terutama ketika zaman belajar kerana masing-masing ada hala tujuan hidup selepas tamat belajar. Kalau berjumpapun, mungkin kerana tinggal berdekatan atau bertemu jodoh.

Justeru, untuk mengimbas kembali memori atau bertemu semula, maka wujudlah program seperti reunion. Saat bertemu kembali, adalah memori yang sukar digambarkan apatah lagi kalau sudah berpuluh-puluh tahun tidak ketemu dan mendengar khabar. 

Pada 20 Mei 2023 yang lalu, alumni Universiti Putra Malaysia (UPM) telah mengadakan program Menggamit Kenangan Alumni Reunion atau singkatannya MEKAR dengan kerjasama laman Facebook UPM Dulu Dulu telah menganjurkan satu majlis santai hi-tea di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz UPM.    


Pentadbir Facebook UPM Dulu Dulu, Shahrudin Mahadi (berbaju biru) bersama Pengarah ARCUPM Prof. Madya Dr. Arba'ie Sujud 


Kehadiran alumni UPM seramai hampir 800 orang menjadikan majlis santai ini tidak ubah seperti sebuah rumah terbuka yang meraikan ‘kepulangan’ alumni kepada ‘rumah’ mereka setelah sekian lama ditinggalkan.

Ada dalam kalangan mereka yang sudah hampir 20 tahun tidak berjumpa tetapi dalam penganjuran MEKAR yang sudah memasuki siri ke-13 ini, telah menemukan mereka.

Penganjuran MEKAR UPM Dulu Dulu ini juga sebagai salah satu acara kemuncak kepada Sambutan Hari Alumni UPM pada 21 Mei 2023 yang disambut saban tahun. Tarikh 21 Mei yang telah digazetkan sebagai Hari Alumni UPM sebelum ini telah menganjurkan pelbagai aktiviti dan program yang dalam usaha untuk membawa alumni kembali ke alma mater dan seterusnya menyumbang bakti kepada pembangunan, kelangsungan dan perkongsian pintar bersama universiti dan juga pelajar.



Dengan kekuatan alumni ramai yang telah berjaya dalam pelbagai bidang terutama bidang pertanian, UPM mahu mempelopori kejayaan sebagai sebuah universiti awam di Malaysia yang memaksimumkan penglibatan para alumninya dalam membawa visi dan misi universiti untuk menjadi sebuah universiti bertaraf antarabangsa. 

Rentetan penganjuran kepada MEKAR UPM Dulu Dulu bermula apabila pentadbir laman Facebook UPM Dulu Dulu, Shahrudin Mahadi mengutarakan idea kepada Pusat Perhubungan Alumni UPM mengenai hasrat dan objektif mereka. 

Bagi beliau, kini sudah tiba alumni UPM bersatu hati, bersatu jiwa menyahut seruan dan amanat daripada Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Dr Roslan Sulaiman dalam Naratif Baib Canselor 2023 iaitu ‘Menyatu Kekuatan Alumni’.


Naib Canselor UPM, Dato Dr. Sulaiman (berbaju merah) bersama mantan Pengerusi LPU, Y.A.M  Dato’ Seri Diraja Syed Razlan ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail. 


Natijahnya dalam program MEKAR UPM Dulu Dulu baru-baru ini, sumbangan berjumlah RM50,000 telah diserahkan kepada Naib Canselor UPM.

Sumbangan ini sebahagiannya akan digunakan untuk merealisasikan projek pembinaan Rumah Kasih Alumni@BPP. Rumah kasih ini merupakan projek penginapan untuk para pelajar UPM.

Kemudahan penginapan yang percuma dan lebih selesa akan diwujudkan dengan hasil sumbangan daripada alumni UPM itu sendiri. 

Projek murni ini adalah dalam usaha untuk membantu memberi keselesaan kepada para pelajar dalam usaha mereka memburu kejayaan yang secara langsung akan mengangkat martabat bangsa, negara dan universiti.


Peluang berjumpa digunakan sebaik mungkin dengan bergambar kenangan.


Menurut Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM, Prof. Madya Dr Arba’ie Sujud, usaha yang dibawakan oleh alumni ini adalah satu usaha yang murni dan perlu diteruskan pada masa akan datang demi melibatsama peranan alumni dalam kelangsungan universiti.

“Usaha yang dipelopori oleh pentadbir laman Facebook UPM Dulu Dulu, Shahrudin Mahadi ini telah menampakkan keberhasilan dan objektif penganjurannya telah berjaya dicapai.

‘Kepulangan’ alumni ini bukan sekadar mahu bertemu mata dengan rakan-rakan lama yang hampir 20 ke 30 tahun tidak berjumpa, tetapi amanah yang mereka bawa itu yang menjadi kemenjadian program ini begitu bermakna iaitu dengan membawa sumbangan yang besar untuk kelangsungan pelajar, ternyata para alumni UPM telah memainkan peranan yang cukup besar," katanya.

Turut hadir sebagai tanda sokongan kepada usaha murni para alumni ini ialah Prof Dr. Roslan Sulaiman; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPM, Prof. Dr. Arifin Abdu; Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Prof. Dr. Ismi Arif Ismail; Tokoh Alumni yang amat disegani dan dihormati Dato’ Seri Diraja Syed Razlan ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, dan Presiden Persatuan Alumni UPM, Dato’ Raihan Sharif. - KitaReporters


Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan WP KL, Mohammad Akhir Abdul Rahman (alumni kelas 2004) menyerahkan mock cheque kepada Naib Canselor UPM.

9
18
0
13
0

Copy Link: