Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) komited untuk memperkasakan bidang akademik dan penyelidikan serta mengambil pelbagai inisiatif bagi melengkapkan kecemerlangan akademik universiti itu.

Terbaharu, universiti berteraskan kejuruteraan itu mengukuh jalinan kerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi menyelesaikan masalah lambakan rokok rampasan agensi kerajaan persekutuan itu.

Naib Canselor UniMAP, Prof Dato’ Ts Dr Zaliman Sauli berkata kerjasama yang terjalin sejak 22 Jun 2019 menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) itu turut memberi fokus tentang kaedah pelupusan tidak mencemarkan alam sekitar.

Katanya, menerusi kerjasama itu juga JKDM Perlis dan UniMAP berjaya meraih kemenangan pada Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) melalui prototaip rawatan air membrane selulosa asetat dan karbon teraktif, produk penghalau serangga dan baja kompos.

“Produk-produk ini dihasilkan menggunakan sumber rokok rampasan tersebut. Walau bagaimanapun, progres kerjasama terhenti disebabkan masalah pandemik Covid 19 yang melanda dunia pada 2020,” kata beliau dalam satu kenyataan di Pauh Putra pada 20 September 2023. 

Terdahulu, MoU kali kedua antara kedua-dua pihak telah diadakan di Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP) dengan UniMAP diwakili Prof Dato’ Ts Dr Zaliman manakala JKDM diwakili Timbalan Ketua Pengarah (Penguatkuasaan & Pematuhan) Dato’ Sazali Mohamad pada 19 September 2023.

Turut hadir Pengarah JKDM Perlis Ismail Hashim, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) Prof Dr Mohd Shukry Abd Majid, Dekan Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Kimia (FKTK) Prof Madya Ir Ts Dr Mohd Firdaus Omar, penyelidik-penyelidik UniMAP dan delegasi JKDM.



Tambah Dr Zaliman, melalui kerjasama yang baharu ini, UniMAP akan meneruskan kajian lapangan terhadap prototaip rawatan air yang dibangunkan dan keberkesanan penghalau serangga terhadap produk-produk pertanian seperti padi dan tanaman cili.

Menurutnya, kajian berkenaan dilaksanakan oleh Pusat Kecemerlangan Biomass for Utilisation daripada FKTK diketuai Prof. Madya Dr. Khairuddin Md Isa dengan produk yang dihasilkan sebelum ini akan ditambah baik untuk dijadikan prototaip dan juga melalui ujian lapangan. 

“Ia bertujuan untuk meningkatkan keberkesanan setiap produk di samping dapat menghasilkan kualiti yang lebih baik. 

"Ini secara tidak langsung dapat memberi nilai tambah terhadap produk-produk tersebut di samping dapat memberi penjimatan kos pelupusan yang dapat digunakan untuk menampung perbelanjaan operasi JKDM yang lain,” kata beliau. - KitaReporters/UniMAP

15
13
0
12
0

Copy Link: