Ibarat sireh pulang ke gagang, begitulah yang berlaku kepada bekas pelajar Diploma Sains dengan Pendidikan 1973/74 Universiti Putra Malaysia (UPM). 

Pertemuan yang dinanti-nantikan itu berjaya diaturkan oleh Pusat Perhubungan Alumni UPM (ARCUPM) pada 21 September 2023 lalu menerusi program Menggamit Kenangan Alumni Reunion (MEKAR) siri ke-14.

Seramai lebih kurang 38 alumni berjaya dikesan dan seterusnya menjayakan program tersebut, sekali gus menubuhkan Chapter Diploma Sains dengan Pendidikan 1973/74.

Penubuhan chapter ini secara rasminya memperakui bahawa mereka telah menjalankan peranan selaku alumni UPM dengan kembali ke alma mater untuk bersama-sama universiti memacu kegemilangan UPM sebagai sebuah menara ilmu yang tersohor bukan sahaja di peringkat lokal tetapi juga pada peringkat antarabangsa.


Alumni diberi penerangan secara dekat cara-cara mengambil madu lebah.


Kesemua 38 alumni cuba menggamit kembali memori zaman kampus mereka apabila masing-masing bersetuju menginap di kolej kediaman seperti zaman belajar mereka dahulu. Mereka ditempatkan di Rumah Tamu Kolej 10 bagi alumni wanita dan Rumah Pengetua juga di Kolej 10 bagi lelaki.

Menurut Timbalan Pengarah ARCUPM, Fahmi Azar Mistar, dalam ucapan alu-aluannya di Dewan Putra, Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP), amat mengalu-alukan kepulangan alumni ke alma mater sebagai satu usaha untuk membantu para pelajar bukan sahaja dari sudut kewangan namun perkongsian pengalaman dan ilmu daripada alumni yang telah berjaya juga diperlukan.  

“Komitmen yang ditunjukkan oleh para alumni pada hari ini adalah cerminan keprihatinan alumni UPM dalam bersama-sama universiti untuk kita sama-sama mendokong dalam usaha untuk melahirkan watak graduan yang berkompentensi tinggi,” ujarnya. 


Puan Noorizam menyerahkan sumbangan kepada Timbalan Pengarah ARCUPM, Fahmi Azar Mistar.


Menurut Raja Ahmad Shah Raja Badruzzaman, usaha menjejaki rakan-rakan lama ini sudah lama dilakukan sehinggalah wujudnya kumpulan WhatsApp yang memudahkan untuk berhubung.

“Ia bukan mudah untuk kita jejaki semua rakan yang telah lama terputus hubungan. Namun dunia teknologi dan kecanggihan media sosial banyak menghubungkan kami sehinggalah terjadinya program hari ini. 

"Tertubuhnya Chapter Diploma Sains dengan Pendidikan 1973/74 maka ia tidak akan terhenti di sini. Maka akan banyak lagi gerakan-gerakan untuk kembali ke alma mater dan seterusnya menyumbang kembali kepada universiti akan kita usahakan,” ujarnya. 

Lebih istimewa chapter yang baru diwujudkan ini juga tidak hadir dengan tangan kosong. Satu jumlah sumbangan telah diberikan kepada ARCUPM untuk disumbangkan ke dalam Tabung 1 Alumni 1 Sumbangan Ringgit.

Sumbangan ini adalah untuk kegunaan para pelajar yang memerlukan tidak kiralah dari segi kewangan mahupun keperluan pengajian lain.


Setelah 47 tahun tidak bertemu program MEKAR satukan mereka kembali.


Sehingga kini Tabung 1 Alumni 1 Sumbangan Ringgit telah menyumbangkan pelan data dan peranti kepada para pelajar yang memerlukan terutamanya pada musim pandemik COVID-19 yang lalu. 

Terdahulu, MEKAR ini merupakan platform terbaik untuk para alumni berhubung, berkumpul dan seterusnya kembali memberi sumbang bakti kepada alma mater. 

Sebelum ini MEKAR KPM 72, dan MEKAR KPM 73 telah berjaya dilakukan dengan masing-masing mempunyai matlamat dan sumbang bakti yang tersendiri. - KitaReporters


Simbolik serahan sumbangan ke dalam tabung 1 alumni 1 sumbangan ringgit.

15
11
0
11
0

Copy Link: