45 Barisan Ahli MPP Baharu USIM terima watikah
Published byMahasiswa merupakan agen perubahan masyarakat yang mampu mempengaruhi suara dan
buah fikiran serta memberikan impak dalam agenda pembangunan sesebuah negara.
Penting bagi sebuah universiti untuk memperkasakan mahasiswanya dengan barisan
kepimpinan yang mewakili suara mahasiswa dan seterusnya bertindak sebagai
‘orang tengah’ yang dapat memainkan peranan penting dalam membantu Pengurusan
Universiti untuk mencapai visi dan misinya.
Justeru itu,
bertempat di Dewan Senat, penyampaian watikah kepada 45 orang ahli Barisan
Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) baharu Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
bagi Sesi 2022/2023 disempurnakan oleh Naib Canselor Prof. Ts. Dr. Sharifudin
Md Shaarani. Lafaz Ikrar telah disampaikan oleh Yang Dipertua MPP baharu iaitu
saudara Shamsul Aiman Mua’mar Shamsul Bahrin.
Dalam ucapan
Naib Canselor, beliau mengharapkan agar barisan MPP yang baharu ini menjadi
wadah kepada semua Pusat Tanggungjawab USIM dengan menjaga hubungan baik
bersama pihak pengurusan universiti serta mengharmonikan hubungan diantara
pelajar dan pihak pengurusan.
Tambah beliau
lagi, barisan MPP harus berganding bahu bersama pengurusan universiti dalam
menterjemahkan 4 agenda utama yang sedang giat dilaksanakan iaitu usaha untuk
memastikan USIM mempunyai daya keterlihatan yang tinggi (visibility@USIM),
mewujudkan aliran kewangan yang mampan (financial sustainability@USIM),
melahirkan warga kampus yang prihatin (care@USIM) serta menjadikan USIM sebagai
sebuah Universiti Awam yang cakna terhadap komuniti (community@USIM).
Sementara itu,
Prof. Dr. Adnan Mohamed Yusoff, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan
Alumni (HEPA) dalam ucapan aluannya menyeru barisan MPP untuk melihat dan
sama-sama menggembleng tenaga dalam mencapai 5 Misi HEPA bagi tahun 2023 iaitu,
Penyerlahan Personaliti Unggul Mahasiswa, Pemerkasaan Tabung Kebajikan dan
Pembiayaan Pelajar, Memperkasakan Persatuan Alumni Sebagai Rakan Strategik,
Pengantarabangsaan Bakat dan Potensi, dan Pembudayaan Keusahawanan dalam
Program Akademik.
Majlis turut menyampaikan sijil penghargaan kepada mantan MPP yang telah menjalankan peranan dan tanggungjawab sepanjang Sesi Lantikan 2021/ 2022.