Bagi merealisasikan seruan Malaysia Madani dengan menjadikan Malaysia sebuah negara yang  berpaksikan kepada kekuatan Islam, Program Pengurusan Industri Kreatif di bawah Pengajian Seni Liberal, Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK), Universiti Teknologi MARA (UiTM) bakal  menganjurkan sebuah program kerohanian bertajuk Jalan ke Jannah. 

Koordinator Bidang Program Pengurusan Industri Kreatif, Dr. Hazlin Anita Zainal Abidin menyatakan, saranan yang diberikan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar  Ibrahim, memberi cetusan idea dan rasa tanggungjawab kepada program pengajian dalam  memenuhi keperluan ke arah pengisian sahsiah dan kerohanian pelajar sebagai khalifah. 

Beliau menambah, acara seperti ini adalah relevan untuk situasi sekarang terutama kepada  remaja dan belia. 

Memahami tren teknologi masyarakat terkini, gaya hidup yang berlandaskan  Islam boleh ditularkan melalui medium pendidikan. Jadi peluang ini perlu diambil sebagai wadah  untuk menarik perhatian generasi Z, khususnya. 



Ketua Pengajian Seni Liberal, Dr. Ahmad Kamal Basyah Sallehuddin berkata, program seumpama ini merupakan satu sumbangan daripada Pengajian Seni Liberal dalam usaha mengajak masyarakat di luar sana menghayati pengisian berkenaan aktiviti yang berbentuk spiritual. 

Program Jalan ke Jannah merupakan medium perkongsian bersama selebriti tempatan yang telah berhijrah, dan penceramah selebriti untuk memahami Islam dalam perubahan zaman teknologi yang serba canggih. 

Perkongsian ini adalah melalui Wacana: Tau Buat, Tau Taubat!  bersama Nana Mahazan dan penceramah selebriti, Ustaz Adnin Roslan sebagai panel; manakala Ceramah: Islam dan Media Sosial adalah bersama Ustaz Dr. Ashraff Amirul. 

Pameran: Ilhami Illahi adalah sebuah pameran kreatif Islamiah yang bakal mempamerkan produk-produk seni  berunsurkan Islam, busana, lirik-lirik lagu, nukilan puisi, dan seni tampak. 

Kesemua program ini bakal berlangsung pada 27 Jun 2024, di Ruang Eksperimental FiTA (REF) dan Dewan Seminar  FiTA 2, UiTM Puncak Perdana, jam 10 pagi hingga 11 malam. 



Untuk rekod, KPSK akan terus berusaha melahirkan graduan seimbang yang kompetitif pada peringkat nasional dan global, serta memperkasakan jaringan strategik dengan alumni dan industri. Seterusnya, dapat menyerlahkan potensi pelajar yang mampu bersaing di dalam industri kelak.  

Kemahiran insaniah seumpama ini adalah satu esensi bagi pelajar Pengajian Seni Liberal agar bakat mereka diasah dengan sebaiknya dalam memastikan kelestarian kualiti graduan KPSK,  sejajar dengan Pelan Strategik UiTM 2025, Ke Arah Globally Renowned University 2025. - KitaReporters


9
13
0
14
0

Copy Link: