Sijil Profesional Asas Kerja Sosial untuk pekerja sosial! Kerjasama UUM, ISM! Tingkatkan kompetensi!
Published byTimbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Aiman Athirah Sabu mengalu-alukan pelaksanaan Sijil Profesional Asas Kerja Sosial (SPAKS) untuk pekerja sosial di negara ini.
Katanya, kerjasama antara Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Institut Sosial Malaysia (ISM) bagi membantu meningkatkan lagi kompetensi pekerja sosial terutama mereka daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang menjalankan peranan yang lebih besar dalam memberikan perkhidmatan kepada keperluan-keperluan sasar yang tertentu.
“Universiti Nombor Satu Terbaik Malaysia di bawah Usia 50 tahun dalam Times Higher Education (THE) Young University Ranking 2023 ini pastinya akan memberi kelebihan dalam penganjuran SPAKS ini apabila bergabung dengan ISM yang menawarkan lebih kurang 40 jenis kursus jangka pendek dan sederhana dalam bidang kerja sosial sejak ia ditubuhkan pada tahun 2002,” ujar beliau ketika berucap merasmikan Persidangan Kerja Sosial Kebangsaan Kali Kedua (PESAN 2) di Dewan Intelek ISM pada 13 September 2023.
Aiman Athirah Sabu.
Di majlis itu beliau turut memaklumkan bahawa empat daripada enam insiatif berkaitan profesion kerja sosial dan latihan kompetensi kerja sosial di Malaysia telah dilaksanakan oleh KPWKM manakala baki dua lagi masih berada dalam tindakan.
Dua inisiatif tersebut adalah penubuhan Majlis Profesion Kerja Sosial dan penggubalan Rang Undang-Undang Pofesion Kerja Sosial yang kini pada peringkat pengemaskinian sebelum dikemukakan ke Jabatan Peguam Negara.
Katanya KPWKM sentiasa berusaha keras untuk merealisasikan pengiktirafan kepada profesion kerja sosial khususnya melalui undang-undang.
Beliau yakin dalam masa lima tahun selepas RUU itu dikuatkuasakan nanti profesion kerja sosial akan lebih dikenali, skop praktis yang lebih meluas dan mewujudkan pengkhususan dalam amalan serta jurusan kerja sosial nanti.
Menurutnya lagi, inisiatif profesion ini tidak terhad pada peringkat nasional malah pada peringkat antarabangsa memandangkan Malaysia terlibat dalam ASEAN Social Work Consortium (ASWC).
Kata beliau, Malaysia diberi mandat dan kepercayaan dalam latihan kerja sosial untuk anggota negara ASEAN menerusi pelantikan dan pengiktirafan Jabatan Kebajikan Masyaraat (JKM) sebagai Ahli Lembaga Pengurus ASEAN Social Training Centre for Social Work and Social Welfare (ATCSW).
Persidangan yang bertemakan “Kerja Sosial Mendepani Dunia Ekososial Baharu” ini berlangsung selama dua hari iaitu pada 13 dan 14 September 2023.
Turut hadir Ketua Setiausaha KPWKM, Datuk Dr. Maziah Che Yusoff; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Prof. Dr. Azlinda Azman; Pengarah ISM, Dr. Faridah Awang; dan Naib Canselor UUM Prof Dr. Mohd Foad Sakdan. - KitaReporters