Institusi pendidikan global! UPSI tubuh Alumni Chapter Uzbekistan! Perkukuh hubungan antarabangsa!
Published byDr Abdul Rahim Razalli (tengah) diiringi Dr Omar Firdaus Mohd Said menyampaikan sampul kad Alumni Chapter Uzbekistan kepada salah seorang alumninya.
SEMAKIN gah di persada dunia apabila Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, terus memperkukuh hubungan antarabangsa menerusi majlis simbolik serahan kad alumni dan penubuhan Alumni Chapter Uzbekistan, yang membabitkan 19 pensyarah dari Uzbekistan yang juga alumni UPSI.
Majlis yang berlangsung di Fakulti Sains dan Matematik, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI itu disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPSI, Prof Dr Abdul Rahim Razalli pada 30 Disember 2024.
Dr Abdul Rahim berkata, penubuhan Alumni Chapter Uzbekistan itu bukan sahaja memperkukuh hubungan antara alumni dengan universiti, malah membuka ruang kepada kerjasama dalam bidang akademik, penyelidikan dan kebudayaan.
Dr Abdul Rahim (depan, tengah) bergambar bersama pengurusan UPSI dan penerima kad Alumni Chapter Uzbekistan pada majlis yang diadakan di Bangunan Blok 4, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI.
Tambahnya, penubuhan Alumni Chapter Uzbekistan berkenaan adalah bukti hubungan erat antara UPSI dan komuniti akademik antarabangsa, malah kami berbangga dengan kejayaan alumni yang membawa nama universiti ke persada dunia.
Jelas beliau, hubungan erat dengan alumni antarabangsa adalah kunci kepada pengukuhan kedudukan UPSI sebagai institusi pendidikan global.
“Alumni adalah aset penting universiti, dengan penubuhan
chapter ini, kami berharap dapat meningkatkan kerjasama strategik dengan
Uzbekistan dalam pelbagai bidang seperti inovasi pendidikan, pertukaran pelajar
dan kajian bersama.
“Langkah ini adalah sebahagian daripada usaha UPSI untuk
menggalakkan pemindahan ilmu dan pengalaman yang lebih meluas antara Malaysia
dan Uzbekistan.
“Kami yakin, jaringan seperti ini dapat memperkayakan pengalaman pembelajaran untuk pelajar dan pensyarah di kedua-dua negara,” ujarnya.
Turut hadir pada majlis itu, Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat UPSI, Prof Madya Dr Mohd Izwan Shahril; Pengarah Akademik & Antarabangsa UPSI, Prof Madya Dr Ridzwan Che Rus; serta Timbalan Pengarah 1, Pusat Antarabangsa dan Mobiliti UPSI, Dr Nor Fadila Kasim.
Alumni UPSI dari Uzbekistan bergambar bersama barisan pengurusan tertinggi UPSI sambil memegang kad Alumni Chapter Uzbekistan.
Sementara itu, Pengarah Pusat Alumni UPSI, Dr Omar Firdaus Mohd Said, berkata kad alumni membuka peluang kepada alumni untuk menikmati pelbagai kemudahan dan potongan istimewa di UPSI.
Jelasnya, kad Alumni UPSI kini ditawarkan pada harga
pengenalan RM10 dengan manfaat potongan harga 5%-20% untuk pelbagai kemudahan
universiti serta insentif istimewa bagi melanjutkan pengajian.
Menurutnya, dengan keistimewaan seperti diskaun yuran
pengajian dan akses kepada fasiliti, dia yakin inisiatif itu mampu menarik
alumni untuk terus menyumbang dan berinteraksi dengan UPSI.
“Ini adalah satu cara yang berkesan untuk mengukuhkan rasa
kekitaan dalam kalangan Anak Kandung Suluh Budiman.
“Kejayaan kita hari ini adalah hasil pengorbanan institusi sejak era SITC, sebagai alumni kita mempunyai tanggungjawab untuk memastikan nama UPSI terus gemilang,” katanya. - KitaReporters