Dr Md Amin Md taff (dua dari kanan) memegang peranti tablet bersama Aeti Amira Abdullah sebagai simbolik penyerahan peranti bagi Program Anak Kita: Tuisyen SPM (UPSI) bagi pelajar sekolah di Johor.


UNIVERSITI Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, diberi amanah melaksanakan Program Sokongan Pemulihan Pembelajaran (Program Anak Kita) anjuran Kementerian Kewangan Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Unit Pantau Madani.

Program berkenaan adalah menerusi Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) di bawah pengendalian Yayasan Hasanah serta Unit Pantau Madani yang membabitkan pelajar yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang terpilih di Johor.

Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Azman Adnan yang menyempurnakan Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Negeri Johor 2025 serta Penyerahan Peranti dan Sijil Kolaboratif bagi Program Anak Kita: Tuisyen SPM (UPSI) di Dewan Seminar JPN Johor, pada 13 Januari 2025 itu, berkata pendidikan digital adalah kunci kepada kemajuan pendidikan negara ini. 

“Dengan adanya peranti ini, diharapkan pelajar kita dapat mengakses bahan pembelajaran secara lebih mudah dan berkesan, program ini adalah usaha kerajaan untuk memastikan tiada pelajar yang tercicir dalam era digital ini,” ujarnya.

Turut hadir pada majlis itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin; Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Mohd Hanafi Samad; Pengurus Advokasi Pendidikan Yayasan Hasanah, Aeti Amira Abdullah; Focal Person Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti & Swasta (PIBKS) Negeri Johor & Kebangsaan, Datuk Yahya Jaafar serta Timbalan Pengarah, Sektor Pembangunan Murid JPNJ, Mohd Kamal Ahmad Untong.


Azman Adnan


Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, berkata 2,293 tablet diserahkan kepada 85 sekolah di Johor sebagai sebahagian daripada usaha memperkasa pencapaian akademik pelajar.

Katanya, pemberian tablet itu adalah antara inisiatif penting untuk memastikan pelajar mendapat akses kepada pembelajaran digital dan mempertingkatkan kelancaran pelaksanaan tuisyen SPM menjelang tahun 2025.

"Program ini adalah langkah besar untuk menangani isu keciciran yang berlarutan yang dilihat kebelakangan ini pelbagai cabaran dihadapi pelajar dalam sistem pendidikan kita. 

“Dengan adanya program ini, kita berharap dapat menyediakan pelajar yang tercicir dengan peluang untuk mengejar kembali pelajaran mereka melalui bimbingan yang lebih fokus dan berkesan,” katanya.

Menurut beliau, Program Anak Kita itu adalah sebahagian daripada Program Sokongan Pemulihan Pembelajaran - Semarak Potensi Malaysia, yang merupakan kerjasama antara Kementerian Kewangan, Unit Pantau Madani, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Yayasan Hasanah.  

UPSI diberi amanah untuk menjadi penyedia perkhidmatan di enam negeri iaitu Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Sabah. 


Dr Md Amin (kiri) bersama Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni UPSI, Prof Dr Norkhalid Salimin (dua dari kanan) memantau peranti tablet yang akan diagihkan kepada pelajar sekolah di Johor.


Prof Datuk Dr Md Amin, berkata objektif utama program berkenaan bertujuan untuk menangani isu keciciran dan memperkukuhkan pencapaian pendidikan di Malaysia selain memberi penekanan kepada aspek literasi dan numerasi untuk pelajar sekolah rendah dan berusaha untuk meningkatkan kadar kelulusan SPM.

Terangnya, program berkenaan juga bertujuan untuk mengintegrasikan semula pelajar tercicir ke dalam sistem pendidikan arus perdana, malah UPSI berbangga diberi kepercayaan untuk menjadi sebahagian daripada penyedia perkhidmatan dalam program yang amat penting itu.

“Kami percaya bahawa setiap pelajar berhak mendapat peluang yang sama untuk belajar dan berjaya. Justeru, kerjasama daripada semua pihak, kami yakin dapat memastikan program ini berjaya mencapai matlamatnya.

“Sokongan penuh pihak KPM, JPN Johor dan Program Anak Kita, pelajar di Johor diyakini dapat memanfaatkan teknologi ini untuk meningkatkan prestasi akademik mereka dan bersedia menghadapi SPM 2025 dengan lebih baik,” ujar beliau lagi. - KitaReporters

10
17
0
14
0

Copy Link: