Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), GSM Association (GSMA) dan Universiti Multimedia (MMU) memeterai perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) pada 27 Februari 2024, bagi meneruskan pelaksanaan program latihan regulasi telekomunikasi atau dikenali sebagai Master Class Converged Telecommunications Policy and Regulations (MCTPR). 

Perjanjian berkenaan ditandatangani oleh Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MMU, Prof. Dr. Dato’ Mazliham Mohd Su’ud; dan Ketua Pegawai Regulatori GSMA, John Giusti di Mobile World Congress yang dianjurkan oleh GSMA di Barcelona, Sepanyol. 

Majlis menandatangani MoU tersebut disaksikan oleh Penasihat Kanan Hal Ehwal Antarabangsa MCMC, Tan Sri Mohd Annuar Zaini.


Mohamad Salim Fateh Din (tengah), Prof. Dr. Mazliham Mohd Su’ud (kanan) dan John Giusti menandatangani MoU CTPR di Mobile World Congress di Barcelona, Sepanyol. Turut menyaksikan majlis berkenaan ialah Mohd Annuar Zaini (berdiri dua dari kanan) dan Pengerusi TM, Dato' Zainal Abidin Putih (berdiri dua dari kiri). 


Sejak tahun 2015, ketiga-tiga pihak ini telah menjalinkan kerjasama dalam melaksanakan program berkaitan Dasar dan Peraturan Telekomunikasi Tertumpu atau CTPR ini untuk golongan profesional dalam bidang telekomunikasi di Malaysia. 

Perjanjian ini membolehkan latihan ini diperluas ke negara-negara anggota ASEAN selama tiga tahun akan datang. 

Ia bertujuan bagi memupuk pembelajaran rentas sempadan dan kerjasama yang lebih luas dengan ia dijadual bermula di Jakarta, Indonesia pada tahun ini (2024).

Program MCTPR direka khas untuk eksekutif peringkat pertengahan sehingga ke tahap eksekutif kanan pada pelbagai bidang termasuk agensi peraturan kebangsaan, kementerian kerajaan, pembekal perkhidmatan telekomunikasi dan pembuat serta pembekal peralatan. 

Ia menawarkan latihan mendalam tentang semua aspek dalam landskap telekomunikasi tertumpu yang maju.

Mohamad Salim yang menyatakan sokongan MCMC terhadap inisiatif ini berkata, “Kami gembira untuk berkolaborasi dengan MMU dan GSMA dalam menawarkan platform kepada peserta untuk meneroka trend industri, inovasi pengganggu (destructive innovation), dan keperluan strategik bagi mempersiap mereka untuk memimpin organisasi mereka secara efektif. 

"Selain pemindahan pengetahuan, ia juga merupakan platform yang terbaik untuk memupuk dan memperluas hubungan selain membolehkan peserta berinteraksi dengan pemimpin berwibawa dari dalam dan luar negara. 

"Ia sekali gus mampu mencipta ekosistem yang bertenaga untuk kerjasama dan pertumbuhan masa depan.”

John Giusti pula memberitahu: “Program MCTPR ini mempunyai nilai yang boleh dimanfaatkan apabila sektor awam dan swasta bekerjasama dengan akademia untuk mengembangkan latihan yang benar-benar menangani keperluan profesional peraturan dalam sektor telekomunikasi. 

"Kami berharap agar program ini dapat diperluaskan ke lebih banyak negara di kawasan ASEAN.” 



Sementara itu, “MMU sebagai sebuah Universiti yang Diterajui Penyelidikan dan Berpaksikan Industri (Research-Led, Industry-Driven University atau RIU), kami berbesar hati untuk menjalinkan kerjasama strategik dengan pemegang taruh utama dalam industri teknologi dan komunikasi. 

"Kami akan memastikan kandungan kursus sentiasa disemak dan ditambah baik secara berterusan selaras dengan perkembangan polisi dan peraturan dalam arus telekomunikasi tertumpu (converged telecommunication),” kata Dr. Mazliham.

Program ini merangkumi 14 modul tentang perspektif baharu yang muncul dalam dasar dan peraturan, pengurusan spektrum, tadbir urus internet, keselamatan rangkaian dan forensik, hak milik intelek, strategi perniagaan untuk industri telekomunikasi, kecerdasan buatan (AI), analitik data besar, arah baru dalam perkhidmatan digital, rangkaian dan ekonomi digital, dan industri kandungan kreatif. 

Menerusi program ini, modul-modul berkenaan akan dihuraikan oleh pakar industri tempatan serta antarabangsa dan pakar daripada MMU.

MCMC, GSMA dan MMU menjemput semua pemegang kepentingan industri untuk menyertai MCTPR dan mengambil langkah-langkah untuk mengecilkan jurang pengetahuan berhubung dengan trend, pembangunan, dan peluang terkini dalam sektor telekomunikasi. - KitaReporters/Kenyataan Media

9
9
0
13
0

Copy Link: