Tahniah! Pelajar terima tajaan alumni UPM! MB Selangor harap dapat ringankan beban keluarga B40!
Published byTUAH ayam nampak pada kaki, tuah manusia siapa yang tahu! Bagi pelajar terutama daripada golongan berpendapatan rendah (B40), bantuan biasiswa sangatlah diperlukan bagi meringankan beban keluarga.
Justeru, buat pelajar Universiti Putra Malaysia
(UPM), Nur Fakhirah Zulfikar Ali, ibarat mimpi kerana menerima
sumbangan biasiswa. Malah lebih menggembirakan, biasiswa yang diterima adalah
sumbangan daripada Menteri Besar (MB) Selangor, Dato’ Seri Amiruddin Shari,
yang juga merupakan alumni UPM Kelas 2002.
Nur Fakhirah merupakan pelajar peringkat diploma menerima sumbangan biasiswa bernilai RM15,000 iaitu hingga tamat pengajian. Pelajar bertuah ini kini mengikuti pengajian dalam Jurusan Diploma Kesihatan Haiwan dan Penternakan di Kampus UPM Bintulu, Sarawak.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan aktiviti alumni
Amiruddin Shari (tiga dari kanan) bersama Nur Fakhirah Zulfikar Ali (dua dari kiri), pelajar yang menerima biasiswa.
Majlis penyerahan dan temu mesra bersama pelajar
tajaan telahpun berlangsung di Pejabat Menteri Besar pada 11 Mei 2022 lalu.
Selain Nur Fakhirah, tiga lagi pelajar juga
dari Kampus Bintulu turut menerima sumbangan RM1,000 secara ‘one off’ daripada
pihak Menteri Besar Selangor.
Mereka ialah Muhammad Khairin Danish Mohd Khairani, pelajar Diploma Pengurusan Perladangan dan Makanan; Nur Aziera Asri (Diploma
Pengurusan dan Perladangan); dan Nur Zahirah Mohd Najmudin (Diploma Pengurusan
Tani).
Menurut Amiruddin, beliau mengharapkan sumbangan dan tajaan biasiswa yang diberikan itu dapat meringankan beban keluarga dan seterusnya dapat membantu pelajar terutama mereka daripada keluarga B40 meneruskan pengajian sehingga berjaya.
“Ini juga antara tanggungjawab yang kami selaku alumni UPM kembali membantu alma mater dengan mengambil cakna terhadap keperluan pelajar-pelajar di UPM menggapai kejayaan.
"Ini juga selari dengan kecemerlangan yang ditunjukkan oleh UPM pada hari ini yang kini dari semasa ke semasa sedang mendaki kejayaan apabila UPM disenaraikan sebagai universiti terbaik bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di luar negara," jelas beliau.
Kejayaan ini terbukti apabila UPM dalam penarafan oleh QS World University Rangkings 2022, berada pada kedudukan ke-143 terbaik dunia dan kedua terbaik di Malaysia.
Dengan teras pengajian bidang pertanian, UPM hari ini dilihat sebuah universiti yang begitu kondusif dalam menuntut ilmu bukan sahaja dalam bidang pertanian tetapi juga bidang-bidang kepakaran lain mengikut kepada peredaran tuntut semasa.
Manakala bagi Pengarah Pusat Perhubungan Alumni, Prof. Madya Dr. Arba’ie Sujud, kembalinya alumni UPM, yang kini hampir mencecah 300,00 orang, kepada alma mater ini banyak merubah senario pengajian tinggi hari ini.
Keterlibatan alumni dalam menjayakan visi dan misi universiti ibarat kata ‘ringan sama dijinjing dan berat sama dipikul’ dalam melahirkan siswazah yang berkualiti tinggi dan berdaya saing.
“Alumni yang kembali menyumbang ini telah menyahut seruan yang diuar-uarkan oleh Naib Canselor UPM, Dato. Prof. Dr. Roslan Sulaiman dalam Naratif Naib Canselor 2022 iaitu mahu ‘Melibat Sama Alumni Untuk Kelangsungan Universiti’," katanya lagi.
Dengan slogan daripada alumni kepada UPM telah banyak menyuntik semangat kebersamaan alumni dalam pelbagai keperluan dan program yang dianjurkan oleh universiti.
Kebersamaan alumni hari ini, boleh memberi teladan kepada pelajar untuk mereka juga melakukan perkara yang sama apabila bergraduat dan berjaya kelak.
"Jadi, kesinambungan untuk kembali berbakti kepada alma mater tidak akan terputus saat mereka menerima segulung ijazah pada hari terakhir berada di universiti. Kelangsungan hubungan itu yang diharapkan untuk bersama-sama membangunkan alma mater tercinta,” akhirinya. - KitaReporters
Pengarah Pusat Perhubungan Alumni, Prof. Madya Dr. Arba’ie Sujud (tiga dari kanan), bersama Presiden Persatuan Alumni, Datuk Raihan Sharif (dua dari kanan).