Tahniah Saniy Samsudin! Graduan kelas pertama! Kebanggaan Inasis MAS/TNB UUM! Tokoh siswa KPT!

Published by
KitaReporters

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Muhammad Yusof Apdal menyampaikan hadiah Anugerah Kepimpinan Kolej Kediaman Terbaik kepada Muhammad Saniy Samsudin.


KEPIMPINAN Inapan Siswa (Inasis) MAS/TNB Universiti Utara Malaysia (UUM) dinobatkan Pemenang Kluster Kepimpinan Pelajar; Anugerah kepimpinan Kolej Kediaman Terbaik sempena majlis Anugerah Tokoh Siswa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang disempurnakan oleh Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada 20 Mac 2023 lalu.

Pengetuanya, Prof Madya Dr Rohani Abdullah yang ditemui melahirkan bersyukur dan berbangga dengan pencapaian Presiden Jawatankuasa Kepimpinan dan Pembangunan Siswa (JKPS), Muhammad Saniy Samsudin yang bukan sahaja berjaya memenangi anugerah kali pertama bagi kategori itu untuk Inasis malah mencatatkan sejarah Presiden pertama dari Universiti Pengurusan Terkemuka dan kedua terbaik di Malaysia.


Muhammad Saniy bersama Dr Rohani Abdullah selepas menerima anugerah berkenaan.


“Pengumuman pencalonan akhir yang disiarkan secara langsung melalui Facebook MOHE bersama dua Presiden masing-masing dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) sesungguhnya bukan sahaja mendebarkan saya malah semua warga Inasis MAS /TNB dan UUM amnya,” ujar Dr Rohani.

Namun begitu seperti sedia maklum, kepimpinan yang diterajui pelajar sarjana muda kewangan (SEFB) itu memang terserlah dengan pelbagai projek di kolej kediaman, sama ada pada peringkat universiti, daerah, negeri, kebangsaan malah hingga kepada peringkat antarabangsa.

Muhammad Saniy bersama JKPS-nya sentiasa membina rangkaian hubungan yang baik dengan komuniti setempat, badan bukan kerajaan (NGO), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dalam menjayakan program yang disertai mereka. 


 

Muhammad Saniy bersama hadiah kemenangan sempena MABMA KPT 2022 anjuran MAPUM.


Menurut Dr Rohani, JKPS Inasis MAS/TNB itu sentiasa bertindak segera sekiranya terjadi sesuatu bencana atau musibah menimpa penduduk sekitar daerah Kubang Pasu yang memerlukan pertolongan mereka. 

“Ibarat cubit paha kiri, paha kanan terasa juga menjadi kepastian bagi kami untuk membantu penduduk atau mana-mana organisasi di sini yang memerlukan bantuan contohnya keperluan pelitup muka ketika calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang menghadiri peperiksaan ketika itu.

 “Ilmu Budi dan Bakti yang tersemat di logo universiti ini juga mengerakkan pengurusan Inasis, pelajar dan staf turun padang untuk membantu menyiapkan surau asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Nyior yang bernilai lebih RM170,000. 

“Bersama pihak sekolah, NGO dan media dalam mendapatkan dana sehingga menyerahkannya secara rasmi kepada pengurusan sekolah,” ujarnya.

Sehubungan itu, Dr Rohani berharap kepimpinan JKPS di Inasis itu akan terus menyerlah dengan bekerja dalam satu pasukan.


Muhammad Saniy (kiri) pada majlis penyerahan replika kunci surau asrama SMK Pulau Nyior, Jitra yang bernilai RM170,000.


Sementara itu Muhammad Saniy yang ditemui berkata, kemenangan itu bukan miliknya seorang tetapi adalah hasil usaha bersama Pengurusan Inasis, JKPS, warga MAS /TNB dan UUM khususnya.

“Kami sedar sebagai pelajar universiti pengurusan bukan sahaja menumpukan perhatian kepada bidang akademik sepenuhnya malah kepimpinan menjadi teras untuk berusaha dan membuktikan bahawa pelajar universiti pengurusan ini memang terbaik.

“Pemimpin sentiasa berganti namun kejayaan dan kepimpinan bukan milik peribadi tetapi ianya adalah hasil asuhan dan kerja dalam pasukan,” katanya.

Beliau berkata, selain program di kampus mereka juga terlibat membantu warga emas yang mempunyai masalah penglihatan dan memerlukan kewangan berjumlah RM5,600 untuk pembedahan dua kelopak mata.

Jelasnya, dengan usaha JKPS serta pihak media akhirnya berjaya mengumpul dana dan membantu warga emas itu di samping terbabit dalam bantuan mengedarkan makanan kepada penduduk Madinah dan Mekah dari luar yang bekerja di sana kerana terputus pendapatan akibat COVID-19.


Muhammad Saniy wakil mahasiswa dalam program IYRES.


Muhammad Saniy yang juga Pembentang Kertas Kerja Terbaik bertajuk Krisis Ekonomi Global: Kesan Wabak COVID-19 di Persidangan Dalam Talian di Asia World Model United Nations Virtual Conference MMXXI. 

Persidangan disertai 740 perwakilan antarabangsa dari 58 negara, pada persidangan organisasi Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk membincangkan mengenai tajuk berkenaan pada 26 hingga 28 Mac 2021.

Dalam masa sama , Muhammad Saniy turut dipilih mewakili Malaysia dan ASEAN sebagai YSEALI Felo Akademik dalam bidang keusahawanan sosial serta pembangunan ekonomi di University of Texas , Austin  yang ditaja sepenuhnya oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat.

Pelajar Sarjana Muda Kewangan, Pusat Pengajian Ekonomi Kewangan dan Perbankan UUM itu turut dijemput sebagai Mentor bagi pertandingan rancangan perniagaan oleh Universitas Gadjah Mada, Indonesia pada 2022.


Muhammad Saniy dijemput sebagai panel membabitkan tiga universiti di Indonesia.


Anak ketiga dari empat beradik itu juga adalah ahli sepanjang hayat Beta Gamma Sigma iaitu persatuan elit bidang bisnes yang hanya memilih sepuluh peratus pelajar ijazah sarjana muda terbaik di dunia.

Mantan Duta pelajar Maybank 2022/2023 itu juga terpilih sebagai Ejen Belia SDG yang mewakili Parlimen Kubang Pasu dan dijemput sebagai ‘subject matter expert’ untuk ‘Junior Chamber International’ bersempena bengkel bagi melaksanakan pelan tindakan mesyuarat lembaga pada peringkat antarabangsa.

Bengkel itu bagi mempertingkat pergerakan kemampanan selain daripada tiga Anugerah Bakat yang dianjurkan oleh Majlis Perumahan Universiti-universiti Awam Malaysia (MAPUM) 2022, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) iaitu Anugerah Pemimpin Kolej Kediaman Terbaik, Anugerah Jawatankuasa Kolej Kediaman Terbaik dan Anugerah Program Pemimpin Kesukarelawanan Terbaik yang dianjurkan pada 14 September 2022 di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

“Moga UUM terus melahirkan lebih ramai barisan pemimpin pelajar dari Inasis ini dan penghargaan khas kepada Prof Madya Dr Rohani yang memberi kepercayaan kepada saya untuk memimpin JKPS Inasis,” ujar penerima biasiswa Naib Canselor UUM itu. - KitaReporters


Muhammad Saniy Ejen SDG Belia Malaysia mewakili Kubang Pasu, Kedah.

20
10
0
15
0

Copy Link: