Menggamit kenangan! Alumni Kolej Pertanian Malaya (KPM) 1972 berkumpul di UPM! Selepas 50 tahun!
Published byMasa tetap berlalu namun kenangan yang terpahat tidak pernah menjauh. Pahit atau manis, itulah yang dinamakan kehidupan. Bagi sesetengah orang, kenangan ketika menuntut ilmu sama ada di sekolah atau institut pengajian tinggi, sentiasa bugar dalam ingatan.
Bagi melepaskan rindu dan bertemu kembali setelah sekian lama tidak bertemu, maka wujudlah majlis reunion.
Itulah yang telah dilaksanakan oleh para alumni Kolej Pertanian Malaya (KPM) 1972 pada 4 hingga 6 Julai 2022. Mereka berkumpul dan berhimpun di Universiti Putra Malaysia (UPM) selama tiga hari dua malam dalam rangka Sambutan Perayaan Jubli Emas KPM 1972.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan aktiviti alumni
Antara bekas pelajar KPM 1972 yang hadir.
Hampir 100 orang alumni KPM 1972 bersama-sama dalam program Menggamit Kenangan Alumni Reunion (MEKAR) Siri 10. Program yang berlangsung di UPM ini menyaksikan ‘kepulangan’ bekas pelajar Kolej Pertanian Malaya untuk bersama-sama menyaksikan pencapaian dan kejayaan UPM pada hari ini.
Bayangkan setelah 50 tahun meninggalkan kampus, kepulangan ke alma mater menjadi lipatan memori indah untuk para alumni KPM 1972.
Pusat Perhubungan Alumni UPM selaku penganjur bersama program ini telah ‘membentangkan karpet merah’ demi menyambut kepulangan para alumni dengan pelbagai acara dan pengisian yang telah dirangka dalam menyemarakkan lagi Sambutan Perayaan Jubli Emas KPM 1972.
Selama tiga hari dua malam berkampung di UPM, para alumni terus digamit memori apabila mereka turut mendaftar masuk ke kolej kediaman yang mana pernah menjadi kolej kediaman mereka suatu waktu dahulu, iaitu Kolej Muhamad Rasyid (KMR) yang kini dikenali sebagai KMR One Putra Residence. Sebahagian lagi ditempatkan di Pusat Latihan MARDI bersebelahan UPM.
YAM Tengku Syarif Laksamana Perlis Dato’ Seri DiRaja Syed Razlan Syed Putra Jamalullail sedang berucap.
Bagi Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Putra Malaysia merangkap Pengerusi Alumni KPM 1972, Tengku Syarif Laksamana Perlis Dato’ Seri Diraja Syed Razlan Syed Putra Jamalullail menzahirkan setinggi-tinggi terima kasih dan tahniah kepada alumni KPM 1972 dan juga penganjur iaitu Pusat Perhubungan Alumni UPM atas penganjuran program yang dianggap sangat memberi makna kepada seluruh alumni KPM 1972 dan juga Universiti Putra Malaysia.
“Saya dan rakan-rakan telah menerima Diploma Pertanian pada 5 Ogos 1972. Semasa kami berada di Kolej Pertanian Malaya, Serdang, kampus dan fakulti terhad hanya kepada bidang pertanian sahaja. Sekarang kolej itu telah menjadi sebuah universiti yang terbesar di Malaysia dengan pelbagai fakulti dan bidang pertanian masih kekal sebagai bidang tujahan UPM.
"Hari ini, menyaksikan ramai rakan alumni KPM 1972 kembali ke kampus Serdang. Kami memilih untuk meraikan Jubli Emas KPM 1972 di UPM, kampus hijau ini tidak lain tidak bukan untuk melihat bagaimana kampus yang kecil dahulunya kini telah berkembang bukan sahaja dari aspek pembangunan fizikal tetapi juga dari aspek perkembangan akademik dalam tempoh 50 tahun ini,” ulas beliau.
Sumbangan endowmen diharap dapat memberi manfaat kepada pelajar UPM hari ini.
Lebih memberi makna lagi kepulangan ini juga membawa kepada satu sumbangan endowmen yang besar dan dapat memberi manfaat kepada pelajar UPM hari ini. Sumbangan sebanyak RM58,875.95 telah diserahkan oleh Syed Razlan kepada Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman pada majlis makan malam pada hari kedua program.
Prof. Dr. Roslan menyifatkan sumbangan ini adalah satu amanah besar dan juga menunjukkan para alumni UPM telah memainkan peranan yang besar dalam bersama-sama membawa universiti ini ke mercu kejayaan yang lebih tinggi lagi.
Pada majlis itu juga beliau menyeru lebih ramai lagi alumni di luar sana agar kembali ke alma mater untuk sama-sama menjayakan visi dan misi universiti.
Endowmen ini akan diagihkan sebagai satu biasiswa kepada para pelajar UPM yang memerlukan terutama daripada kalangan asnaf, keluarga B40 dan juga OKU.
Pelbagai acara diadakan bagi mengeratkan silaturrahim antara peserta.
Terdahulu, pelbagai chapter alumni sudah ditubuhkan yang membawa kepada sumbangan biasiswa alumni dan telah pun diserahkan kepada pelajar nyang memerlukan dan memenuhi kriteris dan syarat yang ditetapkan. Antaranya Chapter AgriSc94, Chapter Alumni JPPPL, Yayasan Pak Rasyid dan banyak lagi.
Menurut Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM, Prof. Madya Dr. Arba’ie Sujud, ini adalah satu tanggungjawab dan amanah yang diberikan oleh para alumni untuk diuruskan dengan sebaiknya.
“Endowmen ini adalah satu penghargaan yang besar
oleh alumni kepada alma mater. Ini menunjukkan kebersamaan alumni dalam sederap
melangkah menuju al-falah. Malah dalam naratif naib canselor 2022 juga ada
menyatakan bahawa ‘Melibatsama Alumni untuk Kelangsungan Univeristi’ adalah
satu hal yang penting dan boleh bersama-sama membawa universiti ke tahap
kejayaan bukan sahaja di Malaysia tetapi juga pada peringkat antarabangsa.
"Sumbangan pada hari ini juga telah menunjukkan satu kerjasama erat antara alumni dan universiti telah membuka ruang yang luas untuk membantu para pelajar yang berpotensi besar namun tidak berkemampuan untuk sama-sama mencapai kejayaan. Dengan sumbangan begini pastinya menjadi satu titik tolak untuk mereka juga melihat peluang besar untuk sama-sama berjuang menuntut ilmu dan seterusnya meraih kejayaan," ujarnya.
Mewakili Pusat Perhubungan Alumni, Pof. Dr. Arba’ie mengucapkan selamat kembali ke kampus hijau UPM kepada seluruh alumni KPM 1972, sebuah menara ilmu yang berasal dari Kolej Pertanian Malaya.
“Kami dengan penuh kesyukuran, menghulur salam, menyambut mesra alumni KPM 1972 ke alma mater untuk melihat dan mengambil maklum mengenai perkembangan dan revolusi yang telah dicapai oleh Universiti Putra Malaysia dalam pelbagai aspek dan bidang,” akhiri ucapannya. - KitaReporters