Selamat datang! Selamat belajar! 349,966 pelajar di 752 sekolah hadir sesi baharu sekolah di Kedah!
Published bySesi persekolahan baharu bagi tahun akademik 2025/2026 di Kedah bermula pada Ahad, 16 Februari 2025 dengan kehadiran seramai 349,966 pelajar di 752 sekolah di seluruh negeri ini.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kedah Ismail Othman berkata, daripada jumlah itu seramai 74,003 adalah murid baharu daripada keseluruhan 200,574 murid sekolah rendah, manakala 149,392 adalah pelajar sekolah menengah.
Katanya, kesemua murid dan pelajar sesi ini memulakan pengajian mereka di 752 sekolah terdiri iaitu 548 sekolah rendah dan 204 sekolah menengah.

"Minggu pertama persekolahan ini kita melaksanakan beberapa aktiviti yang boleh memberi kesan serta impak dari segi sosial dan emosi murid dan juga jasmani untuk mereka meneruskan pembelajaran di sekolah," katanya ketika ditemui semasa meninjau hari pertama persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bakar Arang, Sungai Petani, Kedah.
Dalam pada itu beliau gembira kerana sesi baharu persekolahan kali ini berjalan lancar dan memberikan pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan kepada mereka sekali gus meningkatkan prestasi pendidikan di negeri ini.


Sementara itu suasana hari pertama menyaksikan kehadiran ibu bapa yang memberi sokongan kepada anak-anak mereka khususnya murid tahun satu yang baru melangkah ke alam persekolahan.
Ramai kalangan ibu bapa hadir untuk memastikan anak-anak mereka selesa dengan persekitaran baharu serta memberikan semangat kepada mereka dalam memulakan sesi pembelajaran. - KitaReporters
