Bila ABAH Bersuara| Ramai cikgu bersara awal! Apakah kerjaya guru dah tak menarik? Apa solusinya?
Published by
Mendidik anak bangsa adalah tugas mulia yang memerlukan komitmen dan pengorbanan guru.
Kredit foto: Sinar Harian
KENAPA berminat jadi guru? Jawapan yang sering diberi kerana kerja ringan. Tugas hanya mengajar. Habis mengajar boleh balik rumah berehat bersama keluarga. Cuti pun banyak dan panjang. Musim cuti boleh makan angin ke sana sini.
Lima enam
dekad lalu, atau dekad sebelumnya, jawapan seperti ini mungkin benar, tambahan
menjadi guru tidak perlukan kelulusan tinggi seperti sekarang. Kerana itu
ramai mahu jadi guru.
Namun
sekarang senario sudah berubah. Ramai guru memilih bersara awal meninggalkan kerjaya
pilihan mereka. Antara tahun 2022 dan 2023, sejumlah 12,000 guru memilih
bersara awal.
Adakah kerjaya guru sudah tidak menarik atau hilang seri?

Guru ibarat lilin membakar diri, sentiasa ikhlas membimbing pelajar dan memastikan mereka menerima pendidikan terbaik.
Dahulu kerjaya guru dianggap hebat dan mulia, mendidik anak bangsa menjadi insan berguna. Kerana itu guru dihormati, sering dianggap sebagai pemimpin pendapat atau ‘opinion leader’.
Kerana begitu sekali kerjaya guru disanjung, ibu bapa sering berharap anak mereka jadi guru, atau beroleh menantu seorang guru. Pendek kata bangga satu kampung apabila dapat bermenantukan seorang pendidik.
Hari berganti, masa beredar menyaksikan syarat menjadi cikgu perlukan kelulusan ikhtisas lebih tinggi, sama ada lulusan maktab perguruan atau lepasan institusi pengajian tinggi (IPT).
Dengan sistem pendidikan semakin kompleks sebagai memenuhi tuntutan semasa, tugas guru juga semakin mencabar, baik di sekolah rendah atau menengah.
Tiada lagi ‘bulan madu’ seperti era lima enam dekad lalu.
Sebaliknya tugas guru sudah pelbagai. Bukan hanya mengajar tetapi juga menjalankan tugas pentadbiran, mengendalikan kokurikulum, persatuan, menghadiri mesyuarat, terlibat dalam Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta lain-lain.

Badan beruniform antara aktiviti kokurikulum di sekolah yang memerlukan penglibatan guru selain tugas hakiki mengajar.
Jika dahulu jadi guru jadi pilihan, kini ramai yang memilih kerjaya itu kerana tidak dapat kerja lain. Mereka dilantik sebagai guru kontrak tanpa diploma pendidikan, mengajar subjek tertentu serta menimba pengalaman dalam pekerjaan.
Kerana ada
yang menjadikan kerjaya itu sementara sehingga berpeluang mendapat kerja lain,
komitmen mereka mungkin tidak setebal mereka yang dengan rela hati memilih jadi
guru.
Namun yang merisaukan
ialah trend terkini di mana ramai guru memilih bersara awal kerana
dikatakan tawar hati meneruskan tugas mendidik atas pelbagai faktor. Misalnya
faktor peribadi, kesihatan atau ingin mencuba bidang lain.
Pengunduran
awal hampir 12,000 guru antara tahun 2022 dan 2023 dianggap perkembangan tidak
sihat. Ini kerana ia boleh menjejaskan sistem pengajaran dan pembelajaran (P&P).
Kerana kebanyakan mereka yang berundur adalah cikgu senior dalam subjek tertentu, ketiadaan mereka menyebabkan guru muda mengambil alih mengajar subjek yang mereka sendiri kurang mahir. Ini boleh menjejaskan kualiti pengajaran.
Cuba teliti
angka guru bersara awal dari tahun 2017 hingga 2023. Masing-masing 4,110
(2017), 4,559 (2028), 4,647 (2019), 4,023 (2020), 4,360 (2021), 5,306 (2022)
dan 6,394 bagi tahun 2023. Jelas sejak tiga tahun kebelakangan jumlah yang bersara
awal makin meningkat.
Pelbagai alasan dikaitkan dengan persaraan awal. Faktor utama dikatakan akibat tekanan atau stres. Guru dikatakan terbeban dengan pelbagai tugas selain tugas hakiki mengajar sehingga merasakan tidak lagi mampu menanggung beban yang dipikul. Lilin sudah tidak sanggup membakar diri.
Bimbang gejala
stres menyebabkan mereka tidak dapat memberi tumpuan kepada tugas hakiki dan
tugas sampingan, pilihan terbaik ialah berundur untuk berlaku adil kepada semua.
Selain itu
ialah faktor kesihatan. Masalah kesihatan menyebabkan ada guru bersara awal
untuk berehat serta memberi tumpuan kepada penjagaan kesihatan serta rawatan sakit
yang dihidapi.
Juga dikaitkan
ialah faktor hilang minat sebagai guru dan ingin mencuba bidang lain, sama ada melakukan
kerja sendiri, atau bekerja dengan pihak lain. Pokoknya bukan dalam bidang yang ada kaitan dengan pembelajaran dan pengajaran.
Apa pun alasannya, guru bersara awal meninggalkan lompang yang mesti segera diisi. Tentunya Kementerian Pendidikan menyedari dan memantau perkara ini serta mencari solusi terbaik untuk memastikan P&P serta kepentingan pelajar tidak terjejas. - KitaReporters
Kredit foto: FB Terima Kasih Cikgu