.


PEMPENGARUH yang dikenali sebagai 'Cik Yah' dalam media sosial atau nama sebenarnya Amar Reza Zainalabidin, 30, akhirnya berjaya mencipta satu lagi kejayaan apabila menerima ijazah Sarjana Pengajian Persembahan dari Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak pada 30 November 2024.

Momen istimewa itu berlangsung sempena Istiadat Konvokesyen UPSI kali ke-26 bertempat di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI itu turut disaksikan oleh bapanya, Zainalabidin Mustaffa, 59 dan ibunya Hanizah Abdul Hamid, 54.

Amar Reza membuat kandungan yang  membawa watak ibunya sebagai 'Cik Yah' dalam memberi nasihat dengan imej emoji mendapat perhatian ribuan netizen.


Imej emoji 'Cik Yah'.

Beliau mengakui menggalas cabaran besar untuk mengimbangi peranannya sebagai pelajar sarjana dan pencipta kandungan.

“Saya bersyukur perjalanan ini tiba di penamatnya. Ia satu perasaan yang melegakan apabila dapat menyempurnakan tanggungjawab lebih-lebih lagi apabila ibu bapa hadir menyaksikan kejayaan saya,” ujarnya.

Jelas beliau yang kini menjadi pensyarah pelatih di Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP) UPSI, pengalaman sebagai pelajar dan pengajar membuka ruang baharu untuk perkembangan intelektual dan kreativiti.

“Pengajian itu membantunya memahami kelompongan dalam ilmu pengetahuan sebelum ini dan seterusnya melengkapkan kefahaman terhadap konsep yang lebih luas.

“Belajar tidak hanya membantu saya secara akademik, malah memberi kesan langsung terhadap kualiti kandungan digital yang saya hasilkan,” katanya.

Kandungan Amar dalam media sosial yang sering menggabungkan elemen humor dan pendidikan kini terpengaruh dengan pemahaman lebih mendalam mengenai seni persembahan.

Perkara itu menjadikannya bukan sahaja inspirasi kepada anak muda tetapi juga pembawa pengaruh positif yang memperkaya platform digital tempatan.


‘Cik Yah’ atau nama sebenar Amar Reza bersama ibu, Hanizah Abdul Hamid dan bapanya, Zainalabidin Mustaffa selepas menerima Ijazah Sarjana Pengajian Persembahan sempena Istiadat Konvokesyen UPSI ke-26.


Beliau berharap dapat menyumbang kepada pembangunan institusi itu, terutama dalam memperkukuh bidang kandungan digital yang masih kurang diterokai di Malaysia.

Melihat potensi besar dalam bidang kandungan digital, Amar kini berazam untuk melanjutkan pengajian pada peringkat PhD pada tahun depan (2025).

Menurut Amar, bidang berkenaan mampu membawa UPSI ke tahap lebih tinggi sebagai pusat rujukan utama untuk kandungan digital di negara.

Tambahnya, Malaysia masih kekurangan pakar dalam bidang itu dan dia berharap dapat memainkan peranan untuk mengisi jurang berkenaan.

Bagi Amar, pendidikan adalah kunci kepada perubahan, bukan sahaja untuk individu tetapi juga untuk masyarakat.

Beliau berharap kisah kejayaannya dapat memberi inspirasi kepada generasi muda untuk terus berusaha dan memanfaatkan peluang pendidikan di UPSI.

“Mungkin adik-adik di luar sana akan menjadikan UPSI pilihan selepas SPM dan di sini mereka boleh melihat potensi sebenar diri mereka,” ujarnya. - KitaReporters


Pelajar Fakulti Muzik dan Seni Persembahan mengikuti pengajian.

16
16
0
13
0

Copy Link: