Delegasi UUM di KLIA 2 sebelum berlepas ke Melbourne, Australia.

Kunjungan hormat kepada Konsul Jeneral Malaysia di Melbourne Nik Muhammad Nasyron Syah Nik Daud (kanan) di Pejabat Konsulat Jeneral di South Yarra, Melbourne. 


Delegasi Universiti Utara Malaysia (UUM) yang disertai 30 orang pelajar dalam program Intercontinental Leadership Voyage to Australia 2024 telah melaksanakan beberapa inisiatif penting sepanjang lawatan mereka ke Melbourne termasuk program khidmat masyarakat, lawatan ke institusi pendidikan dan sesi libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan pada Ogos 2024 lalu.

Dalam lawatan dari 18 Ogos 2024 hingga 26 Ogos 2024 ini, mereka juga telah mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Melbourne bagi bertemu dengan Nik Muhammad Nasyron Syah Nik Daud Konsul Jeneral Malaysia di Melbourne.

Pertemuan ini bertujuan memperkukuh hubungan antara UUM dan pihak Konsulat Malaysia di Australia serta membincangkan peluang kerjasama dalam bidang pendidikan dan kepimpinan.



Program Khidmat Masyarakat: BBQ Percuma untuk Gelandangan, Pelarian, Pendatang serta Sambutan Pra-Kemerdekaan Malaysia dan Hari Sambutan Pra-Kemerdekaan di Dandenong Park, Melbourne.


Dalam masa yang sama mereka telah mengadakan program khidmat masyarakat ‘Free BBQ for Homeless, Refugees, Migrants and Pre-Merdeka Malaysia Celebration & Pre-Merdeka Celebration Day’ di Dandenong Park, Melbourne.

Program ini dikendalikan oleh Tun Amir Adlan Tun Mohamad Ammar, Pengarah Program II dengan kerjasama An-Nur Foundation iaitu sebuah NGO Malaysia yang berpangkalan di Melbourne dan diasaskan oleh Puan Nora yang bertujuan membantu golongan gelandangan, pelarian dan pendatang dengan menyediakan makanan percuma serta memperkenalkan Hari Kemerdekaan Malaysia kepada komuniti setempat.

Program ini telah dirasmikan oleh tetamu kehormat khas Richard Lim, Timbalan Datuk Bandar Dandenong Melbourne.

Antara pihak yang menjayakan program ini termasuk  syarikat-syarikat di Melbourne yang telah menyumbang dana bagi menjayakan program ini antaranya La Glamz, Lim’s Pharmacy, Aus Career Coach, Sate Kampung Melbourne dan The Village Cafe.


Tram Sarong Melbourne & Madani Evening Walk adalah acara di mana delegasi UUM mengenakan pakaian tradisional Melayu bagi menggalakkan dan memberi pendedahan kepada rakyat Australia tentang akar budaya Malaysia serta menghargai pakaian tradisional dalam suasana bandar moden.

Sesi seterusnya delegasi ini ialah lawatan ke Parlimen Melbourne sambil mengenakan pakaian tradisional Malaysia dengan tujuan memberi pendedahan kepada sistem Parlimen yang berbeza dan memperluas perspektif pelajar serta memperdalam pemahaman mereka mengenai tadbir urus dan pembuatan dasar.

Mereka juga berpeluang mempelajari pendekatan kerajaan Australia dalam menangani isu global seperti perubahan iklim, hak asasi manusia, serta ketidaksamaan ekonomi.

Dalam lawatan ini mereka juga menganjurkan Tram Sarong Melbourne & Madani Evening Walk di mana peserta mengenakan pakaian tradisional Malaysia sambil menaiki tram sekitar bandar Melbourne.

Program ini bertujuan memperkenal budaya Malaysia kepada masyarakat Australia serta mempromosikan penggunaan pengangkutan awam secara mampan sambil berkongsi pelbagai juadah tradisional Malaysia seperti kuih-muih dengan komuniti setempat di Lincoln Square.


Sesi Dialog dan Penandaarasan di Universiti Melbourne, Australia.


Sesi Penandaarasan dan Libat Urus Delegasi UUM di Universiti Monash.


Sesi dialog dan penanda aras bersama Monash University Melbourne juga diadakan dengan kerjasama dengan Monash University Malaysian Student Union (MUMSU) dan Student Representative Council of Monash University yang bertujuan bertukar pandangan dan pengalaman dalam bidang pendidikan, budaya dan penyelidikan antara pelajar Malaysia dan Australia.

Cenderahati penghargaan daripada UUM disampaikan oleh Pengarah Program, Ardina Putri Syafeera Mohd Amy Azhar bersama ahli jawatankuasa program kepada Presiden Kesatuan Pelajar Malaysia Universiti Monash (MUMSU), Daniel Giam Jun Wei (Cawangan Caulfield) dan John Ng Yee Hang (Cawangan Clayton).


Pengarah Program UUM bersama dengan Monash University Malaysian Student Union (MUMSU).


Bagi sesi libat urus bersama badan pelajar Malaysia di Australia termasuk Malaysian Student Council of Australia (MASCA), yang disertai Pengerusinya, Ayra Hani Arif Fahmy dan Timbalan Pengerusi, Muhammad Danish Saiful Rizal; Malaysian Hall Residential Council (MHRC), yang disertai Presidennya, Ariff Fikri Mohd Farris; dan Badan Perhubungan Melbourne (BPM).

Perbincangan diadakan di Malaysian Hall Melbourne ini memberi peluang kepada mereka untuk memahami perbezaan sistem pendidikan dan kehidupan kampus di Malaysia dan Australia serta membincangkan aspek kepimpinan dan pembangunan diri.



Sesi libat urus di di Malaysian Hall Melbourne


Melalui program 'Unity in Action: Engagement with Malaysian Family’s Community' dengan kerjasama IKRAM Australia yang dikendalikan oleh Timbalan Pengarah Program Nurin Ilyana Mohd Nazri pula diadakan bagi bertujuan mempererat hubungan antara pelajar UUM dengan keluarga Malaysia yang menetap di Australia dengan tujuan delegasi ini mendapat inspirasi daripada pengalaman rakyat Malaysia yang berjaya membina kehidupan dan kerjaya di luar negara sambil mengekalkan identiti serta budaya asal mereka. 



Program Unity in Action dengan kerjasama IKRAM Australia.


Keseluruhan program Intercontinental Leadership Voyage to Australia 2024 ini telah memberikan pengalaman berharga kepada delegasi UUM bukan sahaja dalam memahami sistem pentadbiran dan pendidikan di Australia tetapi juga dalam memperkukuh hubungan Malaysia dengan komuniti antarabangsa di Melbourne.

Moga kejayaan program ini mencerminkan komitmen UUM dalam melahirkan pemimpin yang berwibawa, berdaya saing dan memiliki kesedaran global. - KitaReporters

18
12
0
19
0

Copy Link: