Hasilkan kandungan pembelajaran digital! Kolaborasi Maxis dengan UiTM! Untuk portal belajar eKelas!
Published byMaxis dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) bekerjasama untuk menghasilkan kandungan pembelajaran digital berkualiti tinggi bagi program komuniti utama Maxis, eKelas.
Kerjasama ini diformalisasikan melalui Memorandum Perjanjian antara Maxis dan UiTM.
"Kolaborasi dengan Maxis akan membolehkan pelajar-pelajar kami meneroka potensi mereka dalam penyediaan kandungan dan meningkatkan pengetahuan mereka dalam penghasilan kandungan digital dengan bimbingan daripada pakar dalam bidang ini.
"Ini sejajar dengan komitmen untuk menyediakan pendidikan inovatif kepada pelajar-pelajar kami. Kami harapkan kerjasama ini membuahkan kejayaan," kata Prof. Datuk Ts. Dr. Roziah Mohd Janor, Naib Canselor UiTM.
"Kandungan pembelajaran sentiasa menjadi pendorong penting bagi program eKelas kami untuk menjadikan pembelajaran lebih menarik dan berkesan.
"Maxis gembira dapat berkolaborasi dengan UiTM dalam kerjasama yang saling menguntungkan ini yang akan memberi manfaat kepada pelajar-pelajar eKelas dan UiTM," kata Goh Seow Eng, Ketua Pegawai Eksekutif Maxis.
Dengan sokongan pensyarah-pensyarah kanan dan pakar yang disediakan oleh Maxis, pelajar-pelajar UiTM akan menghasilkan sehingga 100 video Sains, Matematik, dan Bahasa Inggeris, yang akan dimuat naik ke portal dan aplikasi eKelas setelah video-video tersebut melalui proses semakan.
Video-video tersebut akan dihasilkan dalam bentuk peranan watak kehidupan sebenar, eksperimen, dan animasi untuk menjadikan pembelajaran lebih menarik bagi pelajar-pelajar eKelas, sambil membolehkan pelajar-pelajar UiTM memperolehi pengalaman praktikal yang berharga dalam pembangunan kandungan.
Tahun lalu (2022), Maxis dan UiTM menjalankan bengkel perintis untuk menghasikan video-video pembelajaran bagi menguji proses pembangunan kandungan serta kriteria semakan dan penyuntingan.
Maxis eKelas ialah inisiatif pembelajaran digital selepas sekolah untuk pelajar Tahun 4 hingga Tingkatan 5, program ini membawa pembelajaran dengan cara yang menyeronokkan dan menyediakan akses kepada kandungan pendidikan yang berkualiti, selaras dengan Sukatan Pelajaran Malaysia.
Bertumpukan kepada subjek Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris, pelajar eKelas didedahkan kepada pembelajaran berasaskan gabungan tutorial secara langsung, pembelajaran berkumpulan, pertandingan dan kandungan digital melalui portal dan aplikasi eKelas.
Setakat ini, terdapat lebih daripada 75,000 pelajar yang telah mendaftar dalam portal eKelas.
Baru-baru ini, Maxis menambahkan dua mata pelajaran baru ke platform eKelas iaitu Bahasa Malaysia dan Sejarah - untuk pelajar Tingkatan 4 dan Tingkatan 5.
Platform tersebut juga diperbaharui dengan antara muka yang lebih segar dan mesra pengguna, dan termasuk cadangan pembelajaran yang diperibadikan dengan analisis prestasi, pengalaman pembelaran yang digamifikasi dengan cabaran harian serta sistem ganjaran. - KitaReporters/Kenyataan Media