Selamat datang pelajar baharu ke KUIPs! Pengajian asasi cara pantas ke peringkat ijazah sarjana muda!
Published byPelajar yang menamatkan Minggu Orientasi Siswa (MOS) Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) pada 24 Jun hingga 26 Jun 2024 merupakan mereka yang membuat pilihan tepat dan pantas selepas mendapatkan keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Pembangunan Pelajar dan Jaringan Komuniti KUIPs Muhammad Asyraf Baharudin berkata, pemilihan ke pusat pengajian pembiayaan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) ini juga adalah landasan untuk pelajar-pelajar menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda selepas ini.
Katanya, mereka perlu menanamkan sikap untuk menuntut ilmu dengan ikhlas seterusnya menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi selepas ini.
“Tiga semester bukanlah lama dan belajarlah dengan bersungguh-sungguh untuk kepuasan diri dan ibu bapa,” sambungnya lagi ketika berucap di majlis penutup dan bacaan ikrar pelajar baharu di Auditorium Kampus KUIPs Seberang Ramai Kuala Perlis.
Sementara itu Pengarah Pusat Pengajian Asasi (PPA) KUIPs Nur Syamilah Md Noor dalam ucapan aluannya mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang terpilih untuk mengikuti pengajian di KUIPs.
Katanya, PPA KUIPs yang ditubuhkan pada 1 Oktober 2020 ini selaras dengan Perancangan Strategik KUIPs 2021-2025 yang menyasarkan tunjang kepada tadbir urus akademik dalam menyediakan segala perkhidmatan yang berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran merangkumi merancang, mengendali dan menyelaras semua keperluan yang berkaitan dengan akademik serta mengenalpasti keperluan prasarana pembelajaran dan fasiliti pembelajaran di peringkat asasi.
“Untuk ini, dua (2) program pengajian telah ditawarkan oleh Pusat Pengajian Asasi (PPA) KUIPs iaitu Asasi Muamalah dan Asasi Pengajian Islam yang memiliki akreditasi penuh oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA),” sambungnya lagi.
Muhamad Hazmi Ramlan mengetuai bacaan ikrar pelajar baharu ambilan Julai 2023/2024.
Sepanjang MOS ini mereka dibantu oleh sepuluh pelajar asasi sebagai fasilitator yang mengendalikan aktiviti sepanjang tiga hari ini.
Antara pengisiannya ialah tazkirah, taklimat daripada Jabatan Teknologi Maklumat, Bahagian Kaunseling Kerjaya & Alumni, Bahagian Penginapan Pelajar dan Kediaman, Bahagian Kebajikan, Keselamatan, Perpustakaan, Bahagian Pemasaran dan lawatan kampus.
Manakala jabatan-jabatan lain yang turut terlibat ialah Jabatan Hal Ehwal Akademik (HEA), Bendahari, PPA dan Jabatan Undang-undang.
Majlis penutup MOS ini diakhiri dengan bacaan ikrar yang diketuai Muhamad Hazmi Ramlan, pelajar Asasi Pengajian Islam ambilan Julai 2023/2024. - KitaReporters