Dua mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terpilih sebagai felow perdana di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS). 

Mereka adalah Muhammad Isyraq Husaini Muliadi dan Nur Rasyiqah Unigkutti, masing-masing merupakan mahasiswa Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU).



Muhammad Isyraq Husaini Muliadi merupakan anak kelahiran Negeri Johor dan dibesarkan di Negeri Selangor. Beliau baru sahaja menamatkan Latihan industri di Firma Guaman Razie Razak & Associates dan akan bergraduasi pada tahun ini. 

Anak kedua daripada empat beradik ini merupakan wakil USIM dan Malaysia bagi Program Mobiliti Pelajar Serantau 2023 ke Brunei Darussalam. Beliau pernah dianugerahkan Anugerah Tokoh Maal Hijrah sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat USIM 1445H/2023M (Kategori Mahasiswa).

“Harapan saya adalah untuk mewujudkan ekosistem gerakan belia yang progresif sebagai pemegang taruh utama untuk mengangkat keluhuran nilai-nilai murni dalam masyarakat, kerana belia adalah duta negara yang menjadi barisan hadapan untuk mengikat perpaduan dan menghidupkan kebersamaan di Malaysia," ujarnya.



Sementara itu, Rasyiqah yang berasal dari Kuala Lumpur merupakan pemenang tempat pertama dalam Pertandingan Debat Bahasa Arab 2023 anjuran Qatar Debate Foundation. Anak bongsu daripada enam beradik ini bergiat aktif dalam dunia perdebatan Bahasa Arab (Bukan Penutur Jati) pada peringkat nasional dan antarabangsa. 

Harapan Rasyiqah agar belia menggunakan ruang dan platform sebegini untuk menyampaikan suara dan membawa idea serta cadangan kepada kerajaan agar dapat membentuk Malaysia yang lebih baik.

“Masa depan negara berada pada tangan kita dan seharusnya kita memanfaatkan dan menyambut baik usaha kerajaan dan usahlah kita menjadi seperti tin kosong yang kuat berbunyi namun tiada isinya," ujar Rasyiqah.


 


Usaha mereka bermula dengan permohonan di Laman rasmi KBS yang seterusnya melalui saringan melibatkan penilaian resume dan penulisan esei. Mereka kemudiannya melalui ujian psikometrik dan seterusnya dipanggil untuk sesi temu duga serta sesi orientasi. 

Program Felow Perdana ini adalah platform kepada belia untuk memahami dasar-dasar negara, dan usaha ini turut memberi pendedahan kepada mereka bukan sahaja untuk mengenali sosok pemimpin, tradisi, budaya dan hala tuju kerajaan, tetapi apa yang lebih penting adalah matlamatnya untuk melahirkan golongan belia yang dinamik, berdaya saing, mempunyai pengetahuan yang relevan berkaitan sistem pentadbiran negara.

Penyerahan watikah lantikan Felow Perdana 2023 telah disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Seramai 56 felow perdana yang terpilih akan memulakan tugas bermula dari 23 Ogos hingga 31 Disember 2023. 

Mereka layak menerima elaun RM2,000 bagi lepasan universiti, dan RM1,000 bagi yang masih menuntut di universiti. - KitaReporters/USIM

14
14
0
11
0

Copy Link: