Pengerusi ALP dan Rektor KUIPs kunjung hormat Menteri! KPT rancang anjur majlis Festival of Ideas!
Published byDr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Prof Dr Muhamad Rozaimi Ramle mengadakan kunjung hormat kepada Dr Zambry Abd Kadir di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) yang juga Mufti Negeri Perlis, Sahibus Samahah Prof Dato’ Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Rektor KUIPs, Prof Dr Muhamad Rozaimi Ramle mengadakan kunjung hormat kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr Zambry Abdul Kadir di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Putrajaya pada 9 Februari 2024.
Melalui tulisan dalam laman istagramnya, Dr Zambry menulis mengenai kunjungan dua sosok tubuh yang tidak asing lagi dalam bidang pengajian Islam terutama dalam bidang hadis.
Katanya, Dr Asri atau Dr MAZA pernah mengajar di Universiti Sains Malaysia (USM) manakala Dr Rozaimi atau lebih dikenali dengan panggilan Dr Rora kini merupakan Rektor KUIPs.
“Kedua-dua mereka hadir ke pejabat saya di Putrajaya bagi membincangkan pelbagai perkara berbangkit mengenai pendidikan negara terutamanya yang memberi fokus kepada pendidikan tinggi di Negeri Perlis,” ujar beliau lagi.
Dalam pertemuan itu kata Dr Zambry banyak idea dan pandangan telah dilontarkan termasuk cadangan dan kolaborasi untuk meningkatkan mutu pendidikan tinggi negara yang akan merentasi negara luar dan peringkat antarabangsa.
Kata beliau lagi, sememangnya negara ini beruntung kerana memiliki mereka yang tersohor dalam pelbagai bidang dan jika tidak dihargai bakat dan pengalaman mereka maka negara luar akan lebih menghargai mereka termasuk menawarkan peluang yang lebih baik.
“Insya-Allah melalui KPT, kita akan mengumpulkan tokoh-tokoh ini termasuklah Dr Maza dan Dr Rora dalam majlis ‘Festival of Ideas’ (Festival Idea) dan pelbagai program lain yang akan direncana nanti,” ujar beliau dalam Istagram milik beliau @zambryabdkadir. - KitaReporters/KUIPS
Dalam pertemuan itu banyak idea dan pandangan dikongsi termasuk cadangan dan kolaborasi untuk meningkatkan mutu pendidikan tinggi negara yang akan merentasi negara luar dan peringkat antarabangsa.