Tingkatkan enrolmen pelajar antarabangsa! USIM kukuh jaringan hubungan dengan negara Timur Tengah!
Published byKIRA-KIRA 10 wakil kedutaan bagi negara-negara Timur Tengah diraikan dalam satu majlis makan malam anjuran Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bertempat di Pullman Hotel, Kuala Lumpur pada Selasa, 21 Jun 2022.
Wakil-wakil kedutaan yang hadir termasuklah dari Yemen, Jordan, Palestin, Kuwait, Algeria, Iraq, Sudan, Morocco, Republik Arab Syria dan Turki.
Majlis ini amat penting buat USIM dalam usaha untuk meningkatkan perkongsian antarabangsa terutama dalam usaha untuk meneroka ruang kerjasama strategik khususnya bagi meningkatkan enrolmen pelajar antarabangsa selaras dengan aspirasi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang menyasarkan Malaysia sebagai tuan rumah kepada 250,000 pelajar antarabangsa menjelang 2025.
Pada masa ini, Malaysia menjadi tuan rumah kepada lebih 131,000 pelajar antarabangsa yang mendaftar di seluruh Institusi Pengajian Tinggi Malaysia.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan aktiviti kampus USIM
Pengerusi
Lembaga Pengarah Universiti (LPU) USIM, Senator Datuk Dr. Zulkifli
Mohamad Al-Bakri dalam ucapannya berkata, Malaysia khususnya dan USIM amnya
sentiasa berusaha untuk memastikan pendidikan bertaraf antarabangsa dicapai
dengan mempergiatkan pelbagai kegiatan bersama universiti di seluruh dunia.
“Falsafah penubuhan USIM adalah paduan pengintegrasian ilmu naqli dan aqli bagi memperkasakan pendidikan dan penyelidikan dunia Islam.
"Ini adalah antara program yang istimewa untuk memperkasakan keilmuan pelajar antarabangsa yang akan menyambung pengajian di Malaysia iaitu USIM khususnya”, ujarnya.
Manakala Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi Prof Ts Dr Sharifudin Md Shaarani, yang menjalankan fungsi Naib Canselor, turut menjemput pelajar antarabangsa menyertai program mobiliti melalui pelancongan pendidikan (edutourism) yang dijalankan untuk tempoh berdurasi satu hari sehingga enam bulan di USIM.
Melalui program ini, para pelajar antarabangsa mendapat pengalaman dan pendedahan kepada kepelbagaian budaya tradisi dan warisan khususnya di Negeri Sembilan.
“Selari dengan
hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi yang menyokong matlamat Pertubuhan Bangsa
Bersatu dalam Pembangunan Lestari (SDG) mengenai Pendidikan Berkualiti, USIM
turut menawarkan program micro-credential iaitu kursus pendek untuk
meningkatkan kecekapan pelajar dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam
bidang tertentu turut menjadi inisiatif universiti dalam mencapai objektif
pembelajaran berkualiti," katanya lagi.
Kerjasama dan hubungan erat yang dibina bersama dengan negara-negara Timur Tengah ini merupakan satu bentuk pengukuhan dalam usaha USIM mengembangkan aspirasi pendidikannya secara menyeluruh di masa akan datang. - KitaReporters/USIM