Setiap masalah pasti ada jalan penyelesaian. Apa sahaja kemelut yang berlaku eloklah dibawa berbincang dari hati ke hati. Adakan pertemuan secara bersemuka antara setiap pihak terbabit. Jangan biarkan isu terus berpanjangan. 

Memorandum bantahan yang dikemukakan oleh subpengusaha berkaitan kenaikan kadar sewa lot kedai di Kafetaria Universiti Malaysia Pahang (UMP) di Kuala Pahang, Pekan dan di Gambang, Kuantan sudahpun diambil maklum oleh pihak universiti. 


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan premis kafeteria


Naib Canselor UMP, Profesor Datuk Ts Dr Yuserrie Zainuddin menjelaskan pihaknya bersedia mengadakan perbincangan dengan subpengusaha yang terdiri daripada alumni UMP.

Katanya, pertemuan itu bagi membolehkan pihaknya menerangkan modul pengurusan perkhidmatan kafeteria universiti secara pengusaha utama yang dilaksanakan di universiti ini. 

Beliau berkata, pihaknya telah melantik Syarikat Segi Seri Sdn Bhd sebagai pengusaha utama bagi menguruskan kafeteria  bermula 1 Mei tahun lalu.

"Jadi, syarikat ini (pengusaha utama) bertanggungjawab kepada jaminan harga siling makanan atau lebih rendah atau berpatutan; barangan jualan atau menu perlulah menepati piawaian yang telah ditetapkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna serta Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM). 

"Selain itu, pengusaha juga tidak dibenarkan untuk menyembunyikan kecacatan yang ada pada barangan jualan semata-mata untuk mengaut keuntungan dan tidak dibenarkan untuk memanipulasi bekalan sesuatu barangan bagi tujuan untuk meningkat harga barangan," katanya ketika dihubungi KitaReporters pada 15 Mac 2023.


Kafeteria UMP


Portal ini pada 13 Mac 2023 melaporkan Persatuan Alumni Graduan UMP dan Persatuan Peniaga UMP menyerahkan memorandum bantahan kenaikan sewa kedai dan perkongsian keuntungan sebanyak enam peratus yang dikenakan setiap bulan oleh pengusaha utama kepada Naib Canselor UMP, Kementerian Pengajian Tinggi dan Lembaga Pengarah UMP namun tidak menemui sebarang jalan penyelesaian.

Menjelaskan lebih lanjut, Yuserrie memaklumkan pengusaha juga dibenarkan untuk melantik mana-mana subpengusaha bagi tujuan melaksanakan perkhidmatan kafeteria seperti mana yang dikehendaki oleh universiti, dengan segala tanggungan kontrak antara kedua-duanya adalah di bawah tanggungjawab pengusaha sepenuhnya tanpa penglibatan universiti. 

Justeru, pihaknya hanya berkontrak dengan pengusaha sahaja dan akan berurusan serta berkomunikasi dengan pengusaha atau wakil pengusaha yang dinamakan sahaja.


Profesor Ts Dr Yuserrie Zainuddin  


“Berdasarkan semakan, terdapat satu pertemuan  bersama pengusaha utama dan subpengusaha pada 12 hingga 13 Disember tahun lalu bagi menyatakan tawaran syarikat serta menyerahkan surat tawaran penyewaan kafetaria mengikut lot dan menu jualan yang telah ditetapkan kepada subpengusaha. 

"UMP dimaklumkan seramai 19 subpengusaha telah mengembalikan surat tawaran penyewaan kafeteria bagi menyatakan persetujuan bagi penyewaan lot tersebut.

"Begitu juga pihaknya sedia maklum mengenai pengusaha utama juga telah menetapkan kadar enam peratus bagi setiap jumlah tempahan bagi kos sistem, urusan kewangan dan kos operasi yang telah dipersetujui dalam surat perjanjian dengan pihak subpengusaha," jelasnya.

Menurutnya, sebarang isu mengenai bantahan atau penolakan oleh subpengusaha kafeteria perlu dibincangkan bersama pihak pengusaha utama. 

"Pihak kita (UMP) turut mengadakan pemantauan dengan mengadakan mesyuarat berkala iaitu Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Kafeteria yang diadakan setiap tiga bulan dan antara agenda mesyuarat adalah berkaitan kebersihan, kualiti makanan dan prestasi perkhidmatan syarikat pengusaha utama," katanya.

Semoga semua pihak terutama peniaga (subpengusaha) dapat menerima penjelasan ini dengan berlapang dada kerana anda terlebih dahulu telahpun bersetuju dan menurunkan tandatangan terhadap perjanjian yang telah dibuat sebelum itu. 

Jangan ada lagi isu tidak puas hati berkaitan hal ini selepas ini. - KitaReporters


15
11
0
8
0

Copy Link: