Kolaborasi pendidikan! Huawei bina bakat digital UPSI menerusi pensijilan profesional staf, pelajar!
Published byUNIVERSITI Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak bekerjasama dengan Huawei Technologies (M) Sdn Bhd bagi pelaksanaan program latihan dan pensijilan profesional kepada staf dan pelajar.
Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, berkata kerjasamana itu membantu meningkatkan kebolehpasaran graduan melalui jalinan kerjasama pihak industri dan pada masa yang sama meningkatkan kompetensi staf teknikal di UPSI.
Menurutnya, program berkenaan juga dapat memupuk bakat dalam teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta membantu pelajar lebih bersedia untuk menghadapi dunia pekerjaan selain pada masa yang sama dapat membantu mencipta penghubung antara pendidikan akademik dan industri.
Ts Dr Megat Azrin Ahmad
Sementara itu, Ketua Pegawai Digital, Ts Dr Megat Azrin Ahmad, berkata pelaksanaan program itu selaras dengan inisiatif MyDIGITAL menerusi dua teras strategik iaitu membina bakat digital yang tangkas serta kompeten, dan mewujudkan masyarakat digital yang inklusif.
Menurutnya, sebagai permulaan 15 staf dan pensyarah serta 87 pelajar dari Fakulti Komputeran & Meta Teknologi (FKMT) UPSI diberi latihan bagi pensijilan Huawei Cloud Certified Developer Associate (HCCDA).
Program berkenaan, katanya, akan diadakan secara berterusan
dalam usaha membangunkan bakat ICT tempatan serta menggalakkan pembangunan
serantau dan penyertaan dalam komuniti digital.
Manakala Ketua Sektor Awam Huawei, Perniagaan Awan Malaysia,
Ismanita Ismail, pula berkata, pihaknya berbangga kerana dapat bersama-sama
dengan UPSI dalam menyediakan pendidikan kepada generasi semasa dan membolehkan
mereka menjadi lebih bersedia bagi pembangunan ICT.
Menurutnya, Huawei komited untuk menyediakan sistem
pembangunan bakat serta piawaian pensijilan, membangunkan profesional ICT
baharu dalam era digital dan membina ekosistem bakat ICT.
"Program yang dilaksanakan ini merupakan sebahagian
daripada pensijilan pengkomputeran awan yang terdapat di Huawei.
“Dalam tempoh tiga tahun, Huawei berharap dapat
menyasarkan lebih ramai pelajar IPTA dan
kakitangan sektor awam yang akan menerima manfaat daripada program latihan
pensijilan Huawei,” ujarnya.
Program latihan dan pembangunan bakat itu bukan sahaja memenuhi tuntutan industri semasa tetapi meningkatkan potensi diri staf dan pelajar serta menyemai kemahiran baharu. - KitaReporters
Antara peserta yang mengikuti program latihan dan pensijilan profesional Huawei Cloud Certified Developer Associate (HCCDA).