Ahmad Danial Ahmad Faizal pelajar di University of Warwick, UK

Menjalani Ramadan di luar negara untuk kali ketiga, pelajar tahun akhir program BSc (Hons) Accounting and Finance di Warwick Universiti, Coventry, UK, mengakui pengalaman ini mengajarnya tentang erti kebersamaan dan berdikari.

Wartawan KitaReporters, Mohd Nawawi Rusli, menemu bual seorang pelajar Malaysia di United Kingdom, Ahmad Danial Ahmad Faizal, yang berkongsi kisahnya menjalani ibadah puasa jauh dari tanah air.

“Sudah tentu saya rindu suasana Ramadan bersama keluarga di Malaysia, terutama saat berbuka puasa. Tapi di sini, rakan-rakan juga telah menjadi seperti keluarga sendiri. Kami saling menyokong, berkumpul untuk berbuka, dan memasak bersama secara bergilir-gilir,” katanya.

Menurut Ahmad Danial, cabaran utama di Bandar Coventry ialah tempoh berpuasa yang lebih panjang berbanding Malaysia, namun semangat Ramadan tetap terasa dengan adanya sokongan rakan-rakan senegara. 


Ahmad Danial solat terawih bersama-sama sahabat baiknya.

Suasana, keakraban dan kemesraaan dalam kalangan pelajar Malaysia dan komuniti Islam setempat menjadikan pengalaman itu lebih bermakna.

“Masjid di sini sering mengadakan majlis berbuka puasa secara percuma. Selain dapat menikmati hidangan bersama-sama, saya juga berpeluang bertemu dengan masyarakat Islam dari pelbagai latar belakang. 

"Merasai kekuatan komuniti Islam dari pelbagai negara ini mengingatkan saya betapa besarnya nilai perpaduan dalam Islam,” tambahnya.

Walaupun jadual akademik yang padat dan peperiksaan yang menghampiri menjadi cabaran, Ahmad Danial melihat Ramadan sebagai peluang untuk membentuk disiplin diri dan menjadi lebih cekal.

“Ramadan mengingatkan saya untuk lebih menghargai masa dan mengutamakan perkara yang penting. Ia juga menjadi masa refleksi diri, mengukuhkan hubungan dengan Allah dan orang di sekeliling,” ujarnya.

Bagi Ahmad Danial, berpuasa di perantauan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi juga tentang membina kenangan, menghargai persahabatan, dan menghayati semangat Ramadan dalam suasana yang berbeza. - KitaReporters


17
16
0
8
0

Copy Link: