Terima kasih MMU, YUM! 40 pelajar, 128 kakitangan terima komputer riba, peranti bernilai RM200k!
Published bySeramai 40 pelajar dan 128 kakitangan Universiti Multimedia (MMU) dan Telekom Malaysia (TM) menarik nafas lega apabila menerima sumbangan bernilai lebih RM200,000, di Cyberjaya, Selangor baru-baru ini.
Sumbangan MMU melalui Yayasan Universiti Multimedia (YUM) itu adalah dalam bentuk peralatan komputer riba dan peranti tablet bagi membantu memudahkan pembelajaran para pelajar dan ahli keluarga kakitangan yang berpendapatan rendah.
lagi cerita-cerita menarik berkaitan MMU
Puteri Nursabrina Roslan
Puteri Nursabrina Roslan, 21, yang mewakili para penerima sumbangan berkata, pembelajaran secara dalam talian amat mencabar kepada pelajar yang kurang mempunyai peralatan.
“Bantuan ini sangat meringankan beban kewangan kerana komputer riba milik saya sebelum ini telah rosak dan tidak mampu untuk membayar kos membaikinya atau membeli unit baharu,” kata pelajar Diploma Pentadbiran Perniagaan dari kampus MMU Melaka itu.
Prof. Dato’ Dr. Mazliham Mohd Su’ud (kiri) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima bantuan komputer riba dan peranti di MMU Cyberjaya, baru-baru ini.
Sumbangan itu disampaikan oleh Presiden MMU, Prof. Dato’ Dr. Mazliham Mohd Su’ud dalam majlis agihan bantuan di MMU Cyberjaya, baru-baru ini. Turut hadir pada majlis berkenaan ialah, Saipolyazan M. Yusop, Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Zakat Selangor dan Pengarah YUM, Dr. Ridzwan Bakar.
Dana sumbangan untuk penerima-penerima Muslim adalah daripada sumber zakat, manakala empat penerima bukan Islam menerima bantuan daripada sumber derma.
Ahmad Raziff Baharam
Kakitangan Menara Kuala Lumpur, Ahmad Raziff Baharam, 52, berkata, tiga daripada lima anaknya amat memerlukan peralatan komputer riba untuk melaksanakan tugasan pengajian di institusi pengajian tinggi.
“Bantuan ini melegakan saya kerana waktu ini peranti amat penting untuk mendapatkan bahan-bahan pembelajaran secara digital dengan mudah dan murah berbanding pembelian buku dan bahan cetak yang mahal kosnya,” katanya yang sudah 23 tahun berkhidmat dengan TM.
Mullaimalar Bandiservran
Pelajar jurusan Perakaunan, Mullaimalar Bandiservran, 20, pula berkata, sumbangan itu dapat melancarkan lagi pembelajaran terutama dalam situasi norma baharu waktu ini.
“Saya amat memerlukan peranti untuk pelajaran, terima kasih kepada MMU di atas keprihatinan ini,” katanya yang berasal dari Ipoh dan daripada keluarga B40.
Sementara itu, Presiden MMU memberitahu, peralatan itu memberi banyak manfaat untuk membantu para pelajar mengikuti pembelajaran dalam talian dalam situasi norma baharu waktu ini.
Ia juga meringankan beban keluarga kerana tidak perlu lagi membeli kemudahan tersebut untuk memastikan pelajaran anak-anak tidak terjejas akibat kesan wabak COVID-19.
“Pandemik yang melanda dunia telah memberi impak yang cukup besar kepada golongan miskin, berpendapatan rendah atau B40 termasuk anak-anak mereka yang masih belajar sama ada di sekolah atau pun pada peringkat pengajian tinggi.
“Justeru, MMU melalui YUM telah melaksanakan pelbagai usaha untuk membantu pelajar dan warga MMU yang memerlukan supaya pelajaran anak-anak tidak terjejas,” katanya. - KitaReporters