Video| Konsert isi Tabung Pelajar UiTM! Destiny of Music, 29 Jun 2024! Ada Masdo, Haziq, Ernie, Aina!
Published byDalam usaha menyemarakkan aktiviti kesenian, kebudayaan dan warisan sekali gus mengisi Tabung Pelajar UiTM, sebuah konsert amal dinamakan 'Konsert Destiny of Music’ bakal memecah kesunyian persekitaran UiTM di Shah Alam pada 29 Jun 2024 ini.
Bertempat di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM Shah Alam, konsert berkenaan bakal mengembalikan memori penonton khususnya golongan pelajar ke zaman kanak-kanak dengan hiburan lagu-lagu rakyat dan tradisional yang hampir jarang didengari lagi oleh generasi atau masyarakat hari ini.
Sesuai pemilihan judul konsert, ‘Destiny of Music’ akan menampilkan satu kelainan apabila penonton dibawa melayari perjalanan dan perkembangan muzik dari era 80-an sehingga ke masa kini.
Sehubungan itu, tepat sekali apabila penganjurnya, Be De Paris Beauty Project dengan kerjasama Pusat Kebudayaan UiTM mengembalikan memori dan nostalgia penonton ke alam remaja dengan lagu-lagu daripada Kugiran Masdo, yang terkenal dan popular melalui irama rentak a-gogo atau pop 60-an antaranya seperti 'Dinda' atau pun 'Bercanda Di Malam Indah'.
Ya, yang ingin bercanda di malam indah pastikan anda bersama Kugiran Masdo pada malam 29 Jun itu nanti ya!
Daripada zaman pop yeh yeh itu, ‘Destiny of Music’ akan membawa muziknya ke era seterusnya dengan menampilkan penyanyi zaman kini seperti Haziq Rosebi yang terkenal dengan suara persis penyanyi era 70-an, Allahyarham Ahmad Jais mahu pun yang paling dinanti-nantikan sudah tentu kemunculan dua penyanyi yang memiliki vokal mantap, Ernie Zakri serta Aina Abdul.
Aina Abdul dan Ernie Zakri (kanan) bakal berduet dalam lagu 'Kurit Kundi'.
Tidak syak lagi, kedua-dua penyanyi yang telah meraih gelaran Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu ini pastinya akan memberikan persembahan terbaik dan unik apatah lagi Ernie adalah juga adalah graduan kelahiran UiTM.
Sebagai bekas pelajar sudah tentu 'tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain', tentu sekali Ernie akan berbesar hati menghiburkan pelajar universitinya sambil teringat masa-masa lalu.
Dalam pada itu, pasti ramai juga mahu melihat fesyen pakaian unik apa pula yang akan digayakan oleh plantun lagu, 'Semalam', Aina Abdul pada malam itu nanti“Selain lagu popular masing-masing, kedua mereka dipilih untuk bergabung menyampaikan lagu Kurik Kundi nyanyian asal, Dato Seri Siti Nurhaliza,” ujar Burhan Ahmad selaku penganjurnya ketika dihubungi.
Haziq Rosebi dan Rayme Zainal (kanan) turut diundang.
Menurut beliau, konsert amal ini yang mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dan UiTM turut memperkenal barisan penyanyi dari UiTM sendiri serta penyanyi Rayme Zainal, 46, yang pernah tular gara-gara wajahnya persis pengacara dan penyanyi otai berasal Singapura, Roslan Shah.
Yang belum mengenali Rayme Zainal, beliau adalah bekas peserta program realiti All Together Now pada tahun 2022 malah lagu ciptaannya, ‘Andai’ dan ‘Close to You’ mendapat perhatian pendengar aplikasi Spotify.
Jadi jika anda berhasrat berhibur bersama artis-artis berkenaan apa kata tempah tiket yang berharga RM188 (Gold), RM288 (Platinum), RM388 (Diamond) dan RM488.00 (VIP) secara dalam talian melalui Ticket2U.com.
Sebarang pembelian tiket secara berkumpulan/pukal oleh syarikat korporat melayakkan anda mendapat pengurangan cukai.
Untuk sebarang pertanyaan berkenaan konsert Destiny Of Music serta pembelian tiket sila hubungi Hidayah melalui talian 017-2097482.
Jom! Sambil berhibur kita beramal untuk membantu pelajar yang memerlukan bantuan melalui Tabung Pelajar UiTM! - KitaReporters