Berita baik bagi Pusat Pengajian Islam At-Taiyyibin, Chemor di Perak. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan sumbangan sebanyak RM1 juta bagi pembangunan pusat pengajian ini.

"Petang tadi (20 Disember 2024) saya pulang ke Tambun untuk mengadakan lawatan mahabbah dan menghadiri kenduri rakyat di Pusat Pengajian Islam At-Taiyyibin, Chemor, Perak. 

"Turut bersama Menteri Besar Perak dan sahabat lama Dato' Dr Mohd Fadzilah Kamsah," katanya.



Menurut Perdana Menteri, beliau dibawa melihat model tapak Pusat Pengajian Islam At-Taiyyibin dan sebuah rumah daripada 80 unit yang dibina untuk menempatkan 160 pelajar tahfiz. 

Katanya, beliau dimaklumkan pusat pengajian ini turut menempatkan penuntut warga emas, mualaf dan asnaf.

"Alhamdulillah, saya berbangga dengan ikhtiar cukup bermakna oleh pusat pengajian ini yang berusaha mengumpul sendiri dana menerusi hasil wakaf dan memastikan setiap ahli kariah punya sumbangan dan jariah dalam pembinaan pusat ini.

"Selaras usaha Kerajaan Madani untuk memartabatkan pembudayaan ilmu serta menegakkan syiar Islam, saya mengumumkan sumbangan sebanyak RM1 juta bagi pembangunan pusat pengajian ini," tambah Anwar.



Beliau berkata, percambahan pusat-pusat ilmu dan masjid harus berterusan untuk menyuburkan tradisi ilmu, pencerahan serta melahirkan insan berakhlak bagi melawan usaha memporak-perandakan umat melalui fitnah dan cercaan.

"Semoga usaha mulia ini juga menghapuskan kejahilan dalam kalangan rakyat. 

"Ketahuilah bahawa zaman jahiliah itu bukan yang tiada ilmu, tetapi kerana ilmunya tidak membawa manusia mengenal Allah, tidak mendidik, tidak memperbaiki akhlak dan tidak mengangkat adab," tegas Perdana Menteri. - KitaReporters/Kenyataan Media


6
15
0
8
0

Copy Link: