Cakna kemahiran mengajar! Sesi Libat Urus anjuran UPSI tingkatkan kefahaman pelaksanaan internship!
Published bySERAMAI 176 wakil institusi pendidikan menghadiri program Sesi Libat Urus (SLU) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersama Institusi Pengajian Tinggi (IPT) untuk menyelaras dan meningkatkan kefahaman mengenai pelaksanaan Latihan Mengajar dan Praktikum (Internship) di institusi pendidikan bawah kementerian berkenaan.
Program yang dianjurkan oleh Pusat Latihan Mengajar dan
Latihan Industri (PuLaMI), Universiti Pendidikan Pendidikan Sultan Idris (UPSI),
Tanjong Malim, Perak, dirasmikan oleh Timbalan Pengarah, Sektor Perancangan dan
Pengoperasian Pendidikan, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian
Pendidikan Malaysia, Ismail Ibrahim, di Bilik Seminar Aminudin Baki, Fakulti
Pembangunan Manusia, UPSI pada 20 Ogos 2024.
Hadiri sama Peguam Kanan Persekutuan, Unit Khidmat Nasihat (Dasar dan Perundangan), Pejabat Penasihat Undang-Undang, KPM, Hanim Abdul Rahman; Penolong Pengarah Unit Gubalan Akta dan Dasar, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Dr Noraini Abdul Latif; Pengarah Pusat Latihan Mengajar dan Industri, Prof Madya Dr Ashardi Abas serta Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat, Prof Madya Dr Mohd Izwan Shahril.
Ismail Ibrahim ketika menyampaikan ucapan perasmian SLU.
Antara wakil itu membabitkan 20 dari KPM, Jabatan Pendidikan
Negeri seluruh Malaysia (16), Institusi Pendidikan Tinggi Awam (20) dan Institusi
Pendidikan Tinggi Swasta (120) hadir dalam SLU berkenaan.
Ismail berkata, penganjuran SLU itu menjadi medium untuk KPM
menyampaikan maklumat yang tepat berkaitan tatacara pengoperasian dan
pelaksanaan latihan mengajar, praktikal, internship atau latihan industri di
institusi pendidikan di bawah KPM.
Menurutnya, Latihan Mengajar dan Latihan Industri sangat
memberi impak yang signifikan kepada warga institusi pendidikan di bawah KPM.
Jelasnya, platform itu bukan sahaja untuk guru pelatih atau pelajar mendapatkan pengalaman sebenar menjadi seorang pendidik tetapi juga adalah medan untuk pertukaran ilmu, pengalaman dan kemahiran antara guru pelatih serta guru terlatih.
“Perkembangan teknologi yang pesat memberi impak besar kepada dunia pendidikan negara dan kehadiran guru pelatih atau pelajar IPT yang kebanyakkan daripada dalam golongan Gen Z dilihat mampu menjadi pendorong kepada guru milenial (Gen Y) dan guru Gen X kerana mereka sangat mahir mengendalikan pelbagai aplikasi gajet, ini secara tidak langsung dapat berkongsi kemahiran dengan guru terlatih sedia ada di sekolah,” tambah beliau.
Prof Madya Dr Ridzwan.
Menerusi program itu, terdapat tiga perkara dasar yang dibincangkan iaitu prosedur kebenaran untuk ke sekolah bagi melaksanakan latihan mengajar; prosedur permohonan permit mengajar; dan elaun praktikal.
Sementara itu, Pengarah, Akademik dan Antarabangsa UPSI, Prof Madya Dr Ridzwan Che Rus, berkata UPSI sebagai sebuah universiti berteraskan pendidikan, amat menyokong usaha KPM mengadakan SLU berkenaan.
“Untuk rekod, UPSI sendiri mengeluarkan lebih 3,000
mahasiswa bagi menjalani Latihan Mengajar dan Industri Kaunseling dan lebih 3,000
mahasiswa bagi menjalani program Perantis Guru di sekolah dan institusi
pendidikan terbabit setiap tahun.
“Hal demikian ini sedikit sebanyak dapat membantu PuLaMI, UPSI mengendalikan pengurusan penempatan Latihan Mengajar dan Perantis Guru dengan lebih sistematik pada masa akan datang,” kata beliau dalam satu kenyataan. - KitaReporters
Ismail (tengah) bersama-sama wakil IPT Awam dan Swasta.