Selalunya kita biasa membaca akronim yang bertulis ‘BFF’,  bermaksud ‘Best Friend Forever’ yang sering menjadi nota singkatan digunakan generasi masa kini. 

Tetapi bagaimana pula sebaliknya iaitu  ‘BBF’? Apa pula maksudnya? Mesti anak-anak muda sekarang tahu kan?

Apa pun, Inilah yang menjadi judul nama lagu kumpulan kugiran yang menamakan diri mereka ‘Muah!’ diasaskan oleh penyanyi popular yang pernah meraih gelaran Anugerah Juara Lagu beberapa tahun yang lalu iaitu Naim Daniel.


Kumpulan Muah! diasaskan oleh Naim Daniel.


Sebagai vokalis serta pemain gitar utamanya, Muah! ditubuhkan bersama rakan-rakan muda sebayanya seperti Zenith (gitar), , Mairil (dram), Ayai (keyboard) dan satu-satunya anggota wanitanya, Tasneem (bass), dan tidak hairanlah mereka mengambil perkataan-perkataan yang sering menjadi bualan atau bahasa pasar generasi sebaya mereka seperti ‘Muah’ mahu pun ‘BBF’.

Menampilkan irama pop rock sebagai genre utama dalam penciptaan lagu mereka, Muah! yang berpusat di Kuala Lumpur memilih untuk mengetengahkan ‘BBF’ sebagai buah tangan pertama mereka selepas bernaung di bawah Sony Music Entertainment Malaysia.

“Lirik lagu ni kami tulis dengan sangat mudah dan penggunaan bahasa dalam lagu ni pun boleh dikatakan menggunakan bahasa pasar supaya apabila pendengar mendengar lagu ni, mereka akan lebih mudah memahami serta merasa dekat dengan kehidupan mereka,” jelas Naim mewakili Muah! pada majlis pelancaran single mereka, “BBF”  di sebuah kafe di Petaling Jaya baru-baru ini. 

Turut hadir Kenny Ong, Pengarah Urusan Sony Music Entertainment untuk Malaysia, Vietnam, Singapura dan projek khas Asia Tenggara. 


Kumpulan Muah! menerima poster penghargaan di atas pelancaran single "BFF" daripada Kenny Ong.


Lagu 'BBF' (singkatan untuk Boy Best Friend) bertemakan masalah dalam perhubungan tentang seorang lelaki yang mempunyai kekasih namun pada masa yang sama kekasihnya itu mempunyai kawan lelaki lain yang cuba untuk menawan hatinya. 

“Kami juga saling bertukar idea untuk memastikan hasil lagu ini menjadi lebih baik. Sebelum kami mula merakam lagu BBF, kami pernah buat demo dan banyak kali berlatih di dalam studio. Dari versi pertama sampailah ke versi terakhir. 

"Bila semua ahli kumpulan dah tahu bahagian masing-masing yang perlu dimainkan, kemudian barulah kami rakam lagu BBF,” jelas Naim.

Menurut Muah!, sungguh pun proses rakaman lagu BBF sangat mudah kerana penerbit tahu apa yang mereka mahukan dalam lagu ini, namun terdapat juga cabaran dalam menghasilkan lagu tersebut.



“Cabaran yang terbesar kami lalui semasa proses rakaman adalah penerbit kami mengalami kecederaan pada telinga kerana dia baru pulang dari sebuah penerbangan ke satu destinasi. 

"Jadi semasa proses rakaman dia tidak dapat mendengar dengan baik. Jadi, dari situ kami kena saling membantu untuk teruskan rakaman lagu ini,” tambah Muah! sebulat suara. 

Saat ditanya mengenai harapan mereka terhadap lagu ini, Muah! hanya mengharapkan lagu BBF mendapat penerimaan dan sambutan yang baik daripada para pendengar. 

“Kami juga berharap lagu ni dapat menembusi pasaran industri muzik kita dan juga luar negara,” akhiri mereka penuh harapan.



Dalam perkembangan lain, Mohammad Naim Daniel Baharin, 27, yang juga terkenal sebagai seorang pelakon memperoleh kejayaan terbaharu dalam bidang lakonan apabila dinobatkan sebagai pemenang ‘Aktor Terbaik Dalam Peranan Utama’ untuk siri Astro Originals, ‘I.D.’ di Asian Academy Creative Awards 2024 yang berlangsung di Singapura baru-baru ini.

Dengan kemenangan itu, ia kali kedua Naim menerima anugerah pada peringkat luar negara di mana sebelum ini pada tahun lalu(2023), Naim turut memenangi gelaran Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dalam Program/Siri TV Buatan Asia melalui siri drama ‘Projek High Council’ pada Anugerah Content Asia 2023 yang berlangsung di Bangkok, Thailand.

Tahniah Naim Daniel! - KitaReporters

13
12
0
8
0

Copy Link: