Oleh MARIA MADELINA KIRI dan ANNISA’ AZLAN


Tingginya mungkin hanya 105 centimeter (cm) atau kira-kira 3 kaki 6 inci dan dengan ketinggian begitu, pastinya itu bukanlah ketinggian normal seperti mana insan lain.

Namun bagi Aiman Harith Zaharudin ketinggian yang dimilikinya bukanlah alasan kenapa beliau tidak boleh berjaya seperti graduan lain dan dia membuktikannya selepas berjaya menamatkan pengajian ijazah kelas pertama Sarjana Muda Teknologi Maklumat bersempena Istiadat Konvokesyen ke-99 UiTM di Shah Alam pada 4 September 2024.

Pemuda berusia 25 tahun itu menyifatkan saiznya yang lebih kecil berbanding rakan-rakannya yang normal lain sebenarnya menjadi pembakar semangat untuk beliau buktikan bahawa kekurangan fizikal bukan penghalang untuk mencipta kejayaan dalam akademik. 

“Saya melihat ilmu jurusan ini boleh membuka jalan kepada saya untuk memasuki ke alam pekerjaan yang kini banyak melibatkan teknologi tinggi,” kata Aiman.

Aiman mengakui bahawa dirinya pernah dipersenda dan beliau sendiri sudah “lali” dengan pandangan masyarakat sekeliling terhadap dirinya namun boleh dikatakan semasa di UiTM ramai rakan dan pensyarah serta pentadbir di UiTM yang banyak membantu beliau hingga urusan pembelajaran dapat dijalankan.

“Saya anggap perkara itu biasa saja dan tidak pernah mengganggu fokus saya untuk sentiasa memperbaiki diri sendiri. Kita perlu bersikap matang saja untuk menghadapi situasi ini.

“Bahkan ibu bapa saya sentiasa memberikan sokongan yang kuat di belakang saya supaya terus sambung pengajian seperti orang biasa ke peringkat lebih tinggi,” kata Aiman lagi.



Anak kedua daripada lima adik beradik itu merupakan graduan UiTM Cawangan Perlis yang memperoleh purata nilai gred kumulatif,(PNGK) 3.55, sekali gus membolehkan beliau menamatkan pengajian dengan ijazah kelas pertama serta merupakan anak kelahiran Taiping dan kini menetap di Parit Buntar, Perak.

Sementara itu, rakan-rakan sekelas Aiman, Anis Roslan, 25, berkongsi bahawa Aiman seorang yang pandai dalam pembelajaran dan tidak kedekut ilmu manakala Ahmad Tasnim Muhamad, 25 menyifatkan Aiman seorang yang sentiasa memberikan komitmen yang baik dalam tugasan berkumpulan.  

“Walaupun pada awalnya tugasan itu kelihatan susah, tapi dia mampu untuk menyelesaikannya,” ujar Ahmad Tasnim.

Aiman kongsikan bahawa kini beliau terlibat dalam Work Placement Programme (WPP) Maybank sebagai protege sejak Februari 2024. Tambah menarik lagi, program tersebut turut melibatkan golongan istimewa seperti Disleksia dan Autisme.

Aiman turut berkongsi harapannya agar pihak kerajaan membuka lagi banyak peluang pekerjaan untuk golongan istimewa seperti dia. - KitaReporters

8
11
0
17
0

Copy Link: