Ismail Othman (kanan) menyampaikan sumbangan.

Pengarah Pendidikan Negeri Kedah Ismail Othman telah menyempurnakan Program Istiqbal Ramadan dengan menyampaikan sumbangan Bakul Ramadan kepada 42 orang pekerja keselamatan dan kebersihan yang bertugas di dalam kawasan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah.

Program mulia ini bertujuan menghargai jasa dan pengorbanan pekerja yang bertungkus-lumus memastikan keselamatan serta kebersihan persekitaran jabatan.

Inisiatif ini juga diharapkan dapat membantu meringankan beban mereka dalam membuat persiapan menyambut bulan Ramadan 1446H/2025M yang bakal menjelang.


Pastinya sumbangan ini dapat menceriakan Ramadan yang bakal tiba.
Jasa dan pengorbanan pekerja yang memastikan keselamatan dan kebersihan JPN dihargai sempena ketibaan Ramadan.

Dalam ucapannya, Ismail Othman menekankan kepentingan kebersamaan dan keharmonian dalam membangun sektor pendidikan di negeri ini.

“Semoga Ramadan kali ini lebih bermakna dan membawa kebahagiaan kepada semua. Kita harus terus mengamalkan sikap saling membantu dan menghargai antara satu sama lain demi memacu pendidikan Kedah ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Beliau turut mengucapkan Selamat Berpuasa kepada semua warga pendidikan Kedah dan keluarga besar sekolah rendah dan menengah. 


Keceriaan terpancar pada wajah penerima.

Majlis penyampaian sumbangan yang berlangsung di pekarangan JPN Kedah itu turut disertai para pegawai jabatan serta wakil-wakil dari pelbagai bahagian. Program ini juga menjadi simbolik kepada semangat kebersamaan dalam usaha membina persekitaran pendidikan yang lebih harmoni.

Dengan tema Kebersamaan dan Keharmonian Memacu Pendidikan Kedah, program ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif kebajikan pada masa hadapan. - KitaReporters


Rakaman gambar kenangan sempena majlis yang dianjurkan.
15
22
0
12
0

Copy Link: