Sumbangan Kembali Ke Sekolah! 2,000 pelajar Tingkatan 5 Parlimen Bandar Tun Razak! Duit, beg sekolah!
Published byDalam usaha menyokong pendidikan generasi muda, hampir 2,000 pelajar Tingkatan 5 dari beberapa sekolah menengah di Parlimen Bandar Tun Razak menerima sumbangan menerusi program Kembali ke Sekolah..
Program ini bertujuan membantu pelajar yang bakal menduduki peperiksaan penting serta meringankan beban keluarga yang kurang berkemampuan. Ia akan diagihkan secara berperingkat-peringkat dan diselaraskan oleh Pejabat Parlimen Bandar Tun Razak.
Majlis ini merupakan kesinambungan daripada inisiatif sebelum ini, di mana hampir 1,000 murid Tahun 1 dan Tingkatan 4 telah menerima bantuan pada bulan Januari 2025 lalu.
“Generasi yang berada di hadapan saya hari ini adalah harapan negara. Oleh itu, belajarlah dengan tekun, penuh keikhlasan dan tawaduk, serta sentiasa beradab,” ujar Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Dato Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail pada Majlis Penyerahan Sumbangan untuk Murid-murid Tingkatan 5 Sekolah-sekolah Menengah Harian di Parlimen Bandar Tun Razak 2025 yang berlangsung di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada 13 Februari 2025.
Turut hadir menyerahkan sumbangan awal terdiri daripada antaranya Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin; Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan, Megat Affendi Datuk Wira Hj Ismail; Pengurus Besar Yayasan Gerbang Bandar Tun Razak, Saifulizan Haron dan Ketua Polis Daerah Cheras, Aidil Bohassan,
Dr Wan Azizah Wan Ismail mencuit hati khalayak apabila menjenguk dari belakang apabila diselindung oleh pelajar yang menerima sumbangan bag sekolah daripadanya. - Kredit foto: Zaman.
Dalam program berkenaan, lima daripada sepuluh sekolah yang hadir menerima sumbangan berupa sebuah beg sekolah, wang tunai, dan alat tulis.
Beg sekolah yang disumbangkan adalah direka khas dengan nama penerima, tingkatan semasa, logo sekolah, serta logo Malaysia Madani. Reka bentuk unik ini bukan sahaja memberikan kelainan, tetapi juga menjadi kenang-kenangan kepada pelajar setelah mereka menamatkan persekolahan.
Dr. Wan Azizah menekankan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim amat menitikberatkan pendidikan dan kebajikan rakyat, terutama dalam menghadapi perkembangan pesat dalam bidang ekonomi, sains dan teknologi, kecerdasan buatan (AI), serta pentadbiran yang bersih daripada rasuah dan ketirisan.
Jelas beliau, negara berada pada landasan yang betul untuk terus maju, dan untuk mencapai kejayaan lebih tinggi, Malaysia amat memerlukan tenaga kerja mahir serta golongan profesional dalam pelbagai bidang.
Beliau turut memetik kata-kata Yusuf bin Al-Hussain RA yang menegaskan bahawa seseorang akan lebih mudah memahami ilmu jika mempelajari adab terlebih dahulu, serta pandangan Imam Malik bin Anas RA yang mengingatkan bahawa adab perlu didahulukan sebelum ilmu.
Isteri Perdana Menteri Malaysia ini juga menyeru lebih banyak pihak, termasuk individu dan syarikat korporat, untuk turut serta dalam usaha kebajikan demi kepentingan pendidikan anak-anak..
Beliau turut menghargai peranan yang dimainkan golongan ibu bapa dan guru-guru atas komitmen mereka dalam mencurahkan ilmu serta kasih sayang kepada pelajar.
Doa dan harapan turut disampaikan agar anak-anak yang menerima sumbangan ini mencapai kejayaan dalam bidang yang diceburi dan dapat menyumbang kembali kepada keluarga, bangsa, dan negara.
Sementara itu, menyentuh kepentingan zaman persekolahan, Azman Abidin (gambar kiri) dalam ucapan aluannya terdahulu, menekankan bahawa kenangan di sekolah merupakan satu pengalaman berharga yang akan dikenang sepanjang hayat.
“Matlamat utama program ini adalah untuk meraikan pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan SPM tidak lama lagi, meringankan beban ibu bapa, serta memberikan penghargaan dan sokongan moral agar mereka terus bersemangat dalam pembelajaran,” ujar Azman.
Pendidikan, katanya, ditekankan sebagai medium penting dalam kehidupan, di mana usaha gigih dalam menuntut ilmu akan membentuk masa depan yang lebih cemerlang.
Beliau mengingatkan pelajar agar terus fokus dalam pelajaran dan menjadi kebanggaan ibu bapa serta guru.
Mereka diingatkan bahawa setiap individu mempunyai potensi untuk mengubah nasib diri dan keluarga melalui ilmu dan kerja keras.
“Sejarah telah membuktikan bahawa ramai pemimpin, jutawan, pakar perubatan, peguam, dan arkitek berjaya kerana usaha mereka dalam menimba ilmu dan mencapai cita-cita,” akhiri Azman.
Program berakhir dengan perasmian rasmi oleh Dr, Wan Azizah dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, menandakan permulaan inisiatif yang lebih besar dalam membantu pelajar-pelajar di Bandar Tun Razak. - KitaReporters